Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Saturday 14 January 2012

Hafal al-Quran dalam ladang


PANORAMA indah vila yang terdapat di Syamille Agro Farm & Resort.

SEKUMPULAN sepuluh pelajar berjalan penuh ceria menuju ke surau Maahad Tahfiz AnNuri untuk meneruskan pengajian. Pada masa tertentu, mereka bebas menunggang basikal di sekitar resort atau mandi-manda di sungai yang mengalir jernih di tepi madrasah.
Mereka merupakan kumpulan pertama pelajar sekolah tahfiz itu yang memulakan pengajian sejak enam bulan lalu. Mereka berusia di antara 10 hingga 20 tahun.
Belajar di sini kedengaran mengujakan. Tiada yuran pengajian dikenakan bahkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dibiayai sepenuhnya oleh pihak sekolah.
Semua kemudahan ini disediakan sehingga mereka memasuki universiti atau berhenti daripada sekolah berkenaan.
Maahad Tahfiz AnNuri berbeza berbanding sekolah tahfiz lain di negara ini kerana lokasinya di dalam kawasan resort ladang Syamille Agro Farm & Resort, terletak di Kampung Chuar Hulu dekat pekan Kati, Kuala Kangsar, Perak.


AKTIVITI penduduk pekan Kati tertumpu kepada pertanian dan juga menoreh getah.

 Di sini, pelajar bukan sahaja didedahkan dengan ilmu al-Quran bahkan boleh mempelajari cara menternak kambing, lembu dan rusa pada hujung minggu.
Haiwan itu juga merupakan sumber makanan utama mereka selain menjadi punca pendapatan sekolah berkenaan.
Malah, seorang pelajar dari Pengkalan Chepa, Kelantan, Muhammad Aiman Akraf Shamsuriah, 14, menyifatkan aktiviti memasak makanan bersama rakan lain merupakan pengalaman paling menarik di situ.
"Biasanya kami masak daging ayam kampung, rusa, kambing dan lembu yang baru disembelih.
"Kami juga berpeluang menikmati madu lebah di resort ini," katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera.
Selain menghafal 30 juzuk al-Quran dan belajar agama, pelajar turut didedahkan dengan kurikulum pendidikan yang sama seperti di sekolah biasa.
Aktiviti sekolah tahfiz ini bermula pukul 5 pagi setiap hari. Selepas solat sunat tahajud dan diikuti sembahyang Subuh, barulah rutin pembelajaran dilakukan sehingga pukul 9 malam.

PANORAMA indah vila yang terdapat di Syamille Agro Farm & Resort.

RUSA yang pada mulanya diternak sebanyak lima ekor kini membiak kepada 27 ekor


 "Sistem tahfiz yang diterapkan di sini berbeza kerana ia mengikut sistem Turki berbanding maahad tahfiz lain di Malaysia yang menggunakan sistem hafalan al-Quran seperti di Pakistan dan Bangladesh.
"Mengikut sistem Pakistan dan Bangladesh, pelajar perlu hafal daripada surah pertama sehingga akhir secara berturutan.
"Sebaliknya bagi sistem tahfiz ala Turki pula ia boleh melompat surah lain tanpa ikut turutan tetapi konsepnya sama iaitu menghafal keseluruhan surah yang ada dalam al-Quran," beritahu seorang tenaga pengajar, Akmal Jamaluddin, 25.
Akmal yang berasal dari Johor Bahru memberitahu, sekolah tahfiz itu mengutamakan pengambilan pelajar yatim piatu atau daripada keluarga berpendapatan rendah.
"Mereka datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Sebenarnya, anak yatim piatu dan orang miskin lebih komited untuk belajar kerana mereka sedar akan kesusahan keluarga mereka.
"Tahun ini kami akan mengambil seramai sepuluh lagi pelajar," ujar Akmal.
PEMBIAKAN lebah madu turut diusahakan di resort ini.

Pencetus idea sehingga wujudnya Maahad Tahfiz AnNuri bukan calang-calang orang.
Walaupun bukan lulusan bidang agama, penasihat dan Ketua Pegawai Eksekutif Syamille Agro Farm Sdn. Bhd., Mohd. Zainuri Mohd. Idrus mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsi.
Bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu bersyukur kerana beliau dikurniakan rezeki yang lebih baik akhir-akhir ini.
"Rezeki yang kita terima sebenarnya ada bahagian untuk orang lain. Itulah antara punca saya membina sekolah tahfiz di sini," ungkap Zainuri yang berasal dari Perlis tetapi menetap di Subang Jaya, Selangor.
Beliau juga mahu sekolah tahfiz itu menjadi contoh dari segi kos operasi.


KOS pengajian pelajar tahfiz ini ditanggung sepenuhnya sehingga mereka menamatkan pengajian di universiti.

"Kerana itu pelajar mengusahakan sendiri ternakan kambing dan lembu yang mana hasil jualannya digunakan mereka sendiri.
"Malah, konsep ini juga akan dikembangkan di sekolah tahfiz lain dengan memberi mereka haiwan ternakan untuk dijadikan sumber pendapatan mereka," jelasnya.
Berbicara mengenai resort, beliau berkata, Syamille Resort lebih menampilkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D)
Pada mulanya, kawasan seluas empat hektar termasuk tahfiz itu hanya terhad untuk pembinaan sekolah tahfiz serta lima buah resort untuk kegunaan keluarga. Bagaimanapun, idea itu semakin bertambah.
Kini, resort itu mengandungi sebuah vila, sepuluh bilik resort dan empat bilik asrama.
Bagaimanapun, ia belum membenarkan kehadiran pelancong asing kerana dikhuatiri cara pemakaian mereka boleh mengganggu tumpuan pelajar menghafal al-Quran.
Di sini juga terdapat 27 ekor ternakan rusa, kambing (836) dan lembu betina (23 ekor). Ia turut mengusahakan ternakan ikan tilapia, keli, ayam kampung dan itik selain dusun buah-buahan.
Najis haiwan itu pula tidak dibuang begitu sahaja. Sebagai contoh, najis lembu dan kambing digunakan untuk menjana gas metana bagi tujuan memasak.
Bagi pekerja resort, tempat ini banyak kelebihannya. Seorang pekerja, Muslim Mardenir, 40, yang berasal dari Jakarta, Indonesia menganggap resort berkenaan sebagai tempat kerja dan universitinya sekali gus.
"Saya dapat menambah ilmu agama dan mendalami al-Quran. Sambil bekerja saya boleh menuntut ilmu agama," katanya.
Pengurus Syamille Resort, Norzihan Abdul Halim, 32, pula berasa lucu apabila teringat gelagat segelintir pengunjung yang terkejut kerana dapat makan buah-buahan seperti langsat, rambutan serta nangka tanpa dikenakan bayaran.
"Ada pelanggan yang makan buah-buahan tersebut sehingga kembung perut. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan yang melaksanakan kursus di sini," cerita beliau.
Seorang lagi pekerja, Rafidah Rafee, 26, ingin mempelajari cara menternak kambing dan lembu sebelum dapat menjalankan perniagaan sendiri.
"Memang bau kambing dan lembu busuk tetapi jika kita bersabar dan bersahabat baik dengan haiwan ternakan itu, hasilnya lumayan kelak," terangnya berfalsafah.

No comments:

Post a Comment