Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Monday, 5 March 2012

MB KECEWA DASAR ISLAM DIEJEK

 

Oleh: NORHASRAM MOHAMAD 

KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana mengejek dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan Pas di negeri ini.

Beliau berkata, perbuatan itu memalukan kerana seluruh rakyat termasuk bukan Islam melihat bagaimana orang Melayu Islam menghina agama sendiri.

“Kenapa orang Melayu Islam datang ke sini (Kelantan) nak ejek dasar Islam? Saya malu kerana orang bukan Islam melihat perkara ini,” katanya ketika menyertai sesi penggulungan perbahasan titah Sultan Kelantan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, dasar Membangun Bersama Islam dengan menumpukan kepada ubudiyah, masuliyah dan itqan jelas bersumberkan al- Quran.

“Kita ambil semua itu daripada al-Quran bukan daripada mana-mana ideologi di dunia yang boleh diejek sesuka hati, kalau tolak al-Quran, tak jumpa jalan.

“Kita didik rakyat supaya apa sahaja yang kita lakukan mesti dengan taqwa kepada ALLAH SWT,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz meminta pelancong terutamanya dari luar negara agar menghormati tata susila ketika berkunjung ke negeri itu dengan tidak memakai pakaian yang menjolok mata.

”Ini tugas pihak berkuasa mengenai pelancongan agar memastikan suasana melancong di negeri ini berbeza berbanding negeri lain.

”Kalau di tempat mereka seperti di Eropah nak pakai apa pun tidak mengapa tetapi bila ke Kelantan ia sedikit berbeza dan mesti bersopan, berada di tempat awam mesti berbeza dengan di bilik air, mana bolah nak pakai pakaian sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment