Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Friday 29 March 2013

BAHAYA LISAN

Ketahuilah bahawa bahaya lisan (lidah) itu besar sekali, dan manusia tidak akan selamat dari bahya ini, melainkan dengan bertutur kata yang baik saja.
Nabi s.a.w. telah bersabda:

Tidak akan lurus keimanan seorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.” 

Berkata Mu’az bin Jabal kepada Rasulullah s.a.w.: Apakah kita akan dihisab juga atas apa yang kita katakan, wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Wahai Mu’az! Tidakkah engkau ketahui bahawa manusia itu akan ditelengkupkan menerusi hidung-hidung mereka disebabkan hasil tuaian lidah-lidah mereka.

Ibu Mas’ud (Abdullah bin Mas’ud) r.a. pernah berkata: Wahai lidah! Sebutkanlah yang baik-baik, nescaya engkau akan dapat faedah. Dan berdiamlah dari berkata buruk, nescaya engkau terselamat sebelum engkau menyesal.
Sabda Rasulullah s.a.w.:

 “Barangsiapa yang memelihara lidahnya, Allah akan menutup kecelaannya. Barangsiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya dari siksaNya. Dan barangsiapa yang menyatakan keuzurannya kepada Allah, Allah akan menerima uzurnya”. 

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun berdiam saja” 

Sabdanya lagi:

“Jagalah lidahmu kecuali bila berkata yang baik. Dengan berlaku demikian engkau akan mengalahkan syaitan.” 

Sunday 24 March 2013

SIAPA MEMPERALATKAN ISLAM?



Rakyat secara berterusan dikelentong oleh pemimpin UMNO. Mereka terus menuduh PAS mempergunakan Islam untuk kepentingan politik. Hanya kerana PAS bercakap tentang Islam. Hanya kerana PAS membaca ayat-ayat al-Quran dalam berhujah. Oleh kerana PAS tidak lekang dan tidak renggang dengan Islam mereka dengan mudahnya menuduh PAS memperalatkan agama untuk tujuan politik.

Sebaliknya,  hanya dengan banyak membina masjid dan menyambut maulidur Rasul, mereka mengangkat diri mereka sebagai pembela Islam. Mereka lupa tentang lesen judi, rumah sundal, rasuah, budaya hedonism yang mereka biak dalam negara. Mereka terlupa akan kehidupan pemimpin mereka dengan pendedahan auratnya, perlakuan sumbangnya dan amalan rasuahnya.

Rakyat yang berakal sepatutnya berfikir siapa yang berjuang untuk Islam dan siapa yang mempergunakan Islam. Sejak PAS tertubuh, Islam-lah dasar perjuangan PAS. Sudah berpuluh-puluh kali pilihanraya PAS kalah dengan dasar itu. Majoriti rakyat menolak dasar Islam yang diperjuang oleh PAS. Pernahkah PAS menggugurkan dasar Islamnya hanya kerana kalah pilihanraya? Kalaulah benar PAS memperalatkan Islam, sudah lama PAS tolak dasar Islamnya apabila dasar itu tidak menguntungkan PAS.

Bagaimana pula dengan UMNO? Mahathir dengan  Bersih, Cekap, Amanah berubah dasar apabila Abdullah Ahmad Badawi jadi PM. Dasar itu berubah menjadi Islam Hadhari. Ke mana perginya Islam Hadhari sekarang? Kalaulah benar UMNO memperjuangkan Islam mengapa Islam Hadhari fahaman rekaan UMNO itu dilongkangkan apabila Najib naik pula jadi PM?

Sepatutnya UMNO terus istiqamah dengan Islam Hadhari. Apabila dasar itu tidak laku dan menguntungkan UMNO, Najib mari dengan dasar 1Malaysia pula. Ini bermakna Islam bagi UMNO hanya ikut cita rasa pemimpin sahaja. Inikah caranya parti yang mendakwa diri sebagai pembela Islam? Siapakah yang mempergunakan Islam untuk kepentingan politik?

Kesimpulannya, rakyat jangan mudah dikelirukan oleh pemimpin yang takut tumbang disebabkan dosa-dosa rasuah dan jenayah mereka. Dalam mendakwa diri sebagai pejuang Islam, merekalah penyubur budaya rasuah dalam parti dan Negara. Dalam mendakwa PAS ada 7 dosa besar, mereka memakai rantai dan terkinja-kinja dengan Gangnam style. Tak mampukah ulama UMNO menyenaraikan pula  7 dosa besar pemimpin mereka?

Ingat tuan-puan, orang PAS dalam memperjuangkan dasar Islam, ada yang terbunuh di Memali dan Lubuk Merbau. Ada yang dinafikan bantuan dan kenaikan pangkat kerana istiqamah dengan Islam. Ada yang di-ISA-kan. Ada yang ditukarkan ke Sabah dan Sarawak. PAS pernah tinggal 2 batu nisan yakni 2 kerusi Parlimen. Semuanya orang PAS pernah tanggung. Adakah PAS mengubah dasar Islamnya sampai hari ini?  Mengapa berterusan untuk membebalkan diri dengan mendakwa PAS mempergunakan Islam?

Friday 22 March 2013

SAUDARA BOB LOKMAN BERSAMA JEMAAH SKJ


 
22 Mac 2013 Jumaat – kuliah maghrib yang sepatutnya disampaikan oleh Ustaz Nik Nasri Nik Malek AJk Dewan Ulama Pas Kawasan Kemaman telah digantikan dengan pengisian sejarah hijrah artis kepada yang inginkan ilmu akhirat yang disampaikan oleh saudara Bob Lokman. Apa yang ditekankan oleh saudara Bob ialah tentang akidah. “Apa itu akidah? Semua orang tahu apa itu akidah, tapi apakah pengertiannya? Apakah akidah itu tauhid? Tauhid itu akidah? Pemasalah remaja sekarangan pasal akidah. Buat apa kita bina masjid, sedangkan diri kita tidak dalam taqwa kepada Allah tidak takut kepada Allah. Lebih baik buat solat di tengah padang! Buat mimbar berjuta-juta! Baca khutbah pasal penyakit kencing manis kurang gula dalam minuman dan banyakkan senyuman. Adakah ini ciri-ciri takutkan Allah?”.
Dalam penyampaian 50minit, Saudara Bob memohon kepada sahabat-sahabat  membuat perubahan pada Pru 13 nanti, InsyaAllah. “Saya memohon agar diberi peluang lagi untuk datang ke SKJ bersama Tok Guru saya dalam menyampai dakwah khas untuk Jemaah SKJ”. InsyaAllah perkara ini akan dibawa kepada pihak pengurusan DUN. Apa yang tertariknya saudara Bob menyatakan “Saya tidak pernah melihat suasana surau lain seperti di SKJ, pelik tapi … kuasa Allah”.  

AL FATIHAH - USTAZ YA PASIR GAJAH 54th

 
21 Mac 2013 Khamis – Jam 12.30 tengahari matinya seorang pejuang Islam yang gigih di Pasir Gajah, Kemaman. Menurut keterangan yang diberikan oleh Isteri serta anaknya dan juga sahabat, Ustaz Ya sebelum ini menyatakan dia akan mati dalam minggu ini semasa dalam pengajaran kuliah (di SKJ, Surau Felda Neram  dan Surau kg Tengah depan pasar Cukai Kemaman) akhirnya terjawab juga. Kehilangan permata dakwah yang baru bertapak di Pasir Gajah. Ustaz yang sempat membina surau bersebelahan dengan rumahnya akan menjadi satu kenangan yang berpanjangan, InsyaAllah rumah Allah yang dibinanya akan disemarakan oleh pejuang-pejuang yang lain.

Ustaz Ya yang dilahirkan di Paka dan berkahwin dengan isterinya yang berasal Kampung Pasir Gajah. Ustaz memulakan kerjayanya sebagai pendakwah bebas pada tahun 1990. Ustaz yang bersuara lantang serta tegas dalam penyampaian ilmu tauhid. Ustaz meninggalkan seorang balu dan beberapa orang anak.  Yang sulung berumur 22 tahun bekerja dengan syarikat dalam KSB.  Beliau yang sentiasa menemani Ustaz semasa berkuliah. Anak yang perempuan masih menuntut di UIA Gombak dan tiga orang masih bersekolah.

Pada malamnya Ustaz mengadu kepada isteri yang dirinya kurang sihat serta sakit dada. Awal pagi Ustaz berada di kebun, sekitar jam 10.30 isterinya menerima panggilan daripada Ustaz menyatakan dirinya sakit dada dan masih lagi berada di kebun. Isterinya menyuruh salah seorang kenalan Ustaz pergi mengambil ustaz di kebun lalu di bawa ke Hospital Kemaman. Jam 12.30 tengahari, Ustaz telah menghembus nafas yang terakhir. Ini disahkan oleh pihak Hospital Kemaman.  Jenazahnya dimandi dan dikapan di Hospital Kemaman seterusnya di solat jenazah oleh beberapa rakan taulannya. Kemudian jenazah dibawa pulang ke Suraunya jam 4.30 petang untuk disolat serta dikebumikan di kampong Pasir Gajah. Pengurusan jenazah Ustaz selesai jam 6.30 petang.

Pada malamnya pihak SKJ melancarkan dana Khas untuk waris Ustaz Ya yang dilancarkan Ustaz Harun. Alhamdulillah kesemua Dana tersebut telah dihantar kepada warisnya pada 22hb. Jam 11 pagi Jumaat yang diwakili oleh TSU Encik Rahim dan Encik Wan Marzuki yang disambut oleh anak sulungnya. Terima kasih kepada semua penderma. Dan kepada yang ingin menyampaikan sebarangan bentuk bantuan untuk waris Ustaz Ya kami pihak SKJ sedia membantu menjadi orang perantaraan. 

Monday 18 March 2013

INGAT MATI



“Perbanyakkanlah mengingati mati kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan menjadikannya zuhud dalam urusan dunia.”

                                                                                            Sabda Nabi s.a.w.

Wahai anak-anak yang dikasihi sekalian,
Apabila kita mengingati mati, maka hati kita akan terus hidup kerana mengingati mati menyebabkan hati kita sentiasa mengingati Allah. Orang yang tidak mengingati Allah bermakna hatinya telah mati.

Apabila fikir hal mati, mungkin kita terfikir tentang bila dan bagaimana kematian kita. Bila dan bagaimana kematian kita bukanlah perkara yang perlu difikirkan.  Semua orang akan mati apabila tiba saatnya. Yang penting direnung dan difikirkan ialah adakah mati kita sama dengan doa yang sentiasa kita baca selepas solat. Antaranya, kita mohon kematian kita dimulakan dengan keampunan oleh Allah, mati bersama rahmat dan kasihsayang Allah,mati dalam keadaan Allah terima taubat kita dan mati yang dimudahkan Allah. Inilah yang kita perlu pastikan. Kalau kita hidup sehingga 100 tahun  pun dan mati dalam keadaan tidur pula, itu tiada gunanya  jika kita mati dalam dosa dan kemurkaan Allah.

Apabila kita memikirkan tentang mati yang dimulakan dengan keampunan, penerimaan taubat, rahmat dan kasihsayang Allah tadi, maka itulah dinamakan tazkirah hati dan muhasabah diri. Tugas kita ialah bekerja untuk mencapai mati seperti itu. Tanpa hati yang mulia dan amal yang banyak, suci dan ikhlas, sukar untuk kita mencapainya. Masakan Allah memberi kematian yang baik itu sedangkan kita kurang amal, ahli fasik[1] dan semasa hidup kita selalu meminggirkan Allah dari hati kita.

Justeru itu, mulalah beramal, bertaubat dan akrab dengan Allah. Cara hidup dan amal kita menggambarkan cara kematian kita. Apabila kita telah melakukannya, maka bolehlah kita letakkan harapan kepada Allah akan satu kematian yang baik. Ketahuilah bahawa kematian adalah salah satu fasa dalam perjalanan kita untuk bertemu dengan kekasih kita yang sebenar.  Bukankah itu indah kalau semasa hidup kita selalu memuja, memuji dan merindui KEKASIH kita? Fikirkanlah wahai anak-anak remajaku sekalian agar hidup kita selamat di dunia dan akhirat dan kita semua dapat berkumpul di dalam syurga Allah yang indah.

“Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan menghadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata: Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia! Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.”
                                                                        Surah al- An’am: 31

Katakanlah “(wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
                                                                                                Surah al-Kahfi: 110



[1] Ahli fasik = orang yang berterusan dengan kerja-kerja maksiat.

Wednesday 13 March 2013

APA BEZA ANTARA MERENDAH DIRI DENGAN MERASAKAN DIRI RENDAH?


 Para pembaca yang budiman,
Antara sifat yang mulia ialah sifat merendah diri sesama insan lebih-lebih lagi kepada orang yang lebih rendah kedudukannya daripada kita. Mulialah manusia yang merendah diri. Mereka terdiri daripada orang-orang yang tawaduk dan soleh. Dipesan oleh nenek moyang kita bahawa ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Ketahuilah para budiman sekalian bahawa kedapatan manusia yang sanggup merendah diri dalam situasi umum tetapi tidak pula rela melihat manusia yang lebih rendah kedudukannya mengatasi mereka. Mereka mula rasa tercabar. Mereka terasa malu apabila pada suatu ketika orang yang dahulunya rendah tiba-tiba ditakdirkan naik kedudukannya melebihi dirinya. Kini orang seperti ini telah diganggui oleh rasa besar dirinya.

Justeru itu, para budiman mesti benar-benar mempunyai jiwa yang zuhud dan tawaduk dalam merendah diri. Dan ketahuilah bahawa manusia yang lebih mulia  di sisi Allah Ta'ala ialah manusia yang merasakan dirinya rendah. Orang seperti ini tidak akan rasa hairan dan tergugat apabila ada manusia yang lebih rendah kedudukannya tiba-tiba diangkat oleh Allah berada pada kedudukan yang lebih baik daripadanya.  Dia tidak akan berasa apa-apa dan tidak juga merasakan bahawa Allah merendahkan kedudukannya kerana dia secara insaf dan zuhud merasakan dirinya memang kerdil, rendah dan berjiwa hamba kepada Allah s.w.t. Hanya dalam situasi begini manusia benar-benar bebas dari sifat riak, takabbur, ujub dan segala sifat yang hanya wajar dimiliki oleh Allah Yang Mencipta alam semesta.

Kata-kata hikmat:
Orang yang merendah diri ada ketikanya merasakan dirinya tinggi. Manakala orang yang merasakan dirinya rendah tidak sedar dirinya tinggi di sisi manusia dan Allah.

Friday 8 March 2013

BEZA ANTARA PENGAJAR DENGAN PENDAKWAH

PENDAKWAH ATAU PENGAJAR
(sumber : asqalani.blogspot.com)

Secara umumnya, tugas sebagai pendakwah mahupun sebagai pengajar adalah seiring. Mengajar dalam masa sama ianya juga dinamakan sebahagian daripada urusan dakwah. Begitu juga kerja sebagai pendakwah turut sama mengembeling usaha sebagai seorang muallim. Itu pandangan secara umum. Tapi, secara khususnya apabila kita meletakkan diri kita diantara kedua 'title' tersebut, maka akan terdapat sedikit perbezaan yang mungkin kita tidak sedari. Walaubagaimanapun ini hanyalah sekadar hujah akal yang amat lemah. Dan ianya disandarkan hanya kepada pengalaman. Walaubagaimanapun ianya bolehlah dikongsi bersama sebagai satu percambahan dan perkongsian ilmu.

Antara perbezaan pengajar dan pendakwah adalah :

1 ) Pengajar selalunya dijemput oleh anak murid. Manakala pendakwah selalunya menjemput anak murid.

2 ) Pengajar selalunya diberi 'angpau' selepas majlis ilmu yang disampaikan. Manakala pendakwah selalunya ia yang mengeluarkan duit untuk menyampaikan ilmunya.

3 ) Pengajar selalunya dihormati, dicium tangannya dan dipuji-puji. Manakala pendakwah selalunya dibenci, dicemuh, malah kadang-kadang dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.

4 ) Pengajar selalunya dicari oleh mad'u. Manakala pendakwah selalunya ia sendiri yang mencari mad'unya.

5 ) Pengajar sekiranya ia mengajar 2, 3, 4 ilmu kepada orang ramai, maka secara tidak langsung ia mempunyai 40, 50 ilmu. Manakala pendakwah, sekiranya ia ada 10 ilmu, maka sepuluh lah yang diajarkannya. ( kenyataan ini bukanlah bermaksud pengajar sering menyembunyikan ilmunya dan ini juga merupakan amaran kepada pendakwah supaya jika ilmunya hanya 10, 20, maka janganlah diajar sehingga 50, 60 ilmu. Takut terjebak dalam golongan yang mendustakan agama )

6 ) Pengajar selalunya dihidangkan makanan terutamanya selepas mengajar di masjid-masjid mahupun di forum-forum. Manakala seorang pendakwah kadang-kadang ia sendiri yang menjamu hidangan kepada mad'unya. Lapar dan dahaga menjadi jadual hidupnya.

7 ) Pengajar kena ambil tauliah kat Jabatan agama. Manakala pendakwah perlu mengambil tauliah dari hati-hati yang sudi mendengar.

Itu sebahagian dari perkongsian bersama. Mungkin ada yang bersetuju dan tidak bersetuju. Itu adalah sebahagian dari kematangan dalam perbezaan pendapat. Kesimpulannya, jadilah seorang pendakwah walaupun anda memegang title sebagai pengajar, muallim, ustaz, ulama', tok guru dll. Kerana bukan semua pengajar mampu menjadi pendakwah. Dan jadilah pengajar yang alim dan berilmu sekiranya anda ingin turun ke padang sebagai panglima dakwah. Ini kerana jalan dakwah bertunjangkan ilmu. Dek kerana ilmu jugalah, Nabi SAW menghantar Muaz Bin Jabal ke Yaman untuk menyampaikan dakwah.

Ingat....

Ada banyak perbezaan diantara mengajar Sunnah dan mengajak orang mengamalkan Sunnah. Mengajar orang cara solat dengan betul dan mengajak orang untuk solat dengan betul. Mengajar orang fadhilat solat berjemaah dengan mengajak orang untuk solat berjemaah. Wallahua'lam.

Saturday 2 March 2013

ABG LI SABAH KEMALANGAN : AJK SKJ BUAT LAWATAN MAHABBAH

Sebahagian AJK yang turut  hadir mnezahirkan simpati kepada abg Li yang kemalangan ketika membaiki atap Surau AnNur minggu lepas.  Dilaporkan tulang belakangnya rosak sedikit dan perlukan rehat secukupnya untuk kembali pulih.  Doakan abg li cepat sembuh.


PERASMIAN UPU GONG PAUH CWG KG JAYA: MERIAH DAN BERSEMANGAT!

SEKITAR PERASMIAN MARKAZ UPU GONG PAUH CAWANGAN KG JAYA.

 Ustaz Sheikh Mohd Hanafi merasmikan majlis perasmian diiringi Tn Hj Hanafiat Mat.
 Kehadiran amat memberangsangkan.



 Ucapan Sheikh Mohd Hanafi banyak menyentuh peranan petugas menarik masyarakat menyokong PAS.


 Simbolik.  Tn Hj Hamed menerima segulung panji Islam sebagai gimik perasmian.

 Ketua Cawangan/UPU  Gong Pauh Tn Hj Othman Abdullah membaca doa munajat memohon  keberkatan untuk kemenangan PR

Bergambar kenangan bersama Perasmi Ustaz Mohd Sheikh Hanafi.