Para pembaca yang budiman,
Antara
sifat yang mulia ialah sifat merendah diri sesama insan lebih-lebih lagi kepada
orang yang lebih rendah kedudukannya daripada kita. Mulialah manusia yang
merendah diri. Mereka terdiri daripada orang-orang yang tawaduk dan soleh. Dipesan
oleh nenek moyang kita bahawa ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Ketahuilah
para budiman sekalian bahawa kedapatan manusia yang sanggup merendah diri dalam
situasi umum tetapi tidak pula rela melihat manusia yang lebih rendah
kedudukannya mengatasi mereka. Mereka mula rasa tercabar. Mereka terasa malu
apabila pada suatu ketika orang yang dahulunya rendah tiba-tiba ditakdirkan
naik kedudukannya melebihi dirinya. Kini orang seperti ini telah diganggui oleh
rasa besar dirinya.
Justeru
itu, para budiman mesti benar-benar mempunyai jiwa yang zuhud dan tawaduk dalam
merendah diri. Dan ketahuilah bahawa manusia yang lebih mulia di sisi Allah Ta'ala ialah manusia yang
merasakan dirinya rendah. Orang seperti ini tidak akan rasa hairan dan tergugat
apabila ada manusia yang lebih rendah kedudukannya tiba-tiba diangkat oleh
Allah berada pada kedudukan yang lebih baik daripadanya. Dia tidak akan berasa apa-apa dan tidak juga
merasakan bahawa Allah merendahkan kedudukannya kerana dia secara insaf dan
zuhud merasakan dirinya memang kerdil, rendah dan berjiwa hamba kepada Allah
s.w.t. Hanya dalam situasi begini manusia benar-benar bebas dari sifat riak,
takabbur, ujub dan segala sifat yang hanya wajar dimiliki oleh Allah Yang Mencipta
alam semesta.
Kata-kata
hikmat:
Orang
yang merendah diri ada ketikanya merasakan dirinya tinggi. Manakala orang yang
merasakan dirinya rendah tidak sedar dirinya tinggi di sisi manusia dan Allah.
No comments:
Post a Comment