Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Wednesday 28 November 2012



 

Biodata Rasulullah S.A.W


Biodata Nabi Muhammad S.A.W : 

Nama penuh: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
Nama datuk: Syaibah bin Hâsyim dikenal dengan nama ‘Abdul Muttalib

Bapa-bapa saudara:
• Al-Harith bin Abdul Muthalib
• Muqawwam bin Abdul Muthalib
• Zubair bin Abdul Muthalib
• Hamzah bin Abdul Muthalib
• Al-Abbas bin Abdul Muthalib
• Abu Thalib bin Abdul Muthalib
• Abu Lahab bin Abdul Muthalib
• Abdul Kaabah bin Abdul Muthalib
• Hijl bin Abdul Muthalib
• Dzirar bin Abdul Muthalib
• Ghaidaq bin Abdul Muthalib


Nama Ibu susuan Rasulullah:
- Ibu susuan pertama Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
- Ibu susuan kedua Halimah binti Abu Zuaib As-Sa‘diah (lebih dikenali Halimah As-Sa‘diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

Nama isteri pertama dan usia baginda berkahwin:
Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah pada 25 tahun

Nama isteri-isteri Rasulullah:
1. Khadijah bt. Khuwailid al-Asadiyah r.a
2. Saudah bt. Zam’ah al-Amiriyah al Quraisiyah r.a
3. Aisyah bt Abi Bakr r.a (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah bt. Umar bin al-Khattab r.a (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab
5. Ummu Salamah Hindun bt. Abi Umaiyah r.a (digelar Ummi Salamah)
6. Ummu Habibah Ramlah bt. Abi sufian r.a
7. Juwairiyah ( Barrah ) bt. Harith
8. Safiyah bt. Huyay
9. Zainab bt. Jansyin
10. Asma’ bt. al-Nu’man al-Kindiyah
11. Umrah bt. Yazid al-Kilabiyah
12. Zainab bin Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

Nama anak-anak Rasulullah:
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’
8. Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).[anak tiri Rasulullah]

Pengalaman bekerja Rasulullah:

* Semenjak kecil lagi, baginda telah menternak kambing dan berniaga membantu bapa saudaranya.
* Abu Talib telah membawa baginda ke Syam (Syria) bagi membantunya berniaga.
* Apabila baginda telah agak dewasa, baginda telah mula menjalankan perdagangan baginda sendiri secara kecil-kecilan dan menjalankan perniagaan dengan menggunakan modal orang lain kerana baginda sedar bapa saudaranya bukanlah terdiri daripada orang yang berada dan beliau terpaksa menyara sebuah keluarga yang besar.
* Ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, baginda telah pergi ke Syam untuk kali kedua bagi menjalankan perniagaan Sayidatina Khadijah. Bukti Rasulullah adalah seorang ketua keluarga yang patut dicontohi: Rasulullah merupakan seorang yang pengasih.
* Sebagai seorang suami, baginda sering membantu isteri menjalankan urusan rumah seperti memasak, menampal pakaian yang koyak, memmbersih rumah dan menjaga anak.
* Sebagai seorang bapa, baginda memberi pendidikan agama yang secukupnya dan menjadi seorang contoh yang baik kepada anak-anak.

Gelaran Al-Amin: Baginda merupakan seorang yang jujur, amanah dan budi pekerti. Perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai sehingga baginda diberi gelaran al-Amin oleh masyarakat Arab Quraisy.

Sifat-sifat terpuji Rasulullah:
- Berkata benar (siddiq)
- Boleh dipercayai (amanah)
- Penyampai ajaran Islam (tabliq)
- Bijaksana (fatanah)

kepimpinan Rasulullah disebalik peristiwa banjir di kota Mekah ketika Rasulullah berusia 35thn: Kota Mekah telah dilanda banjir kilat yang menyebabkan dinding kaabah pecah dan runtuh. Kaum Quraisy telah membina semula bahagian yang runtuh. Kemudian timbul perbalahan antara ketua kaum Quraisy yang berebut untuk mengangkat dan meletakkan Hajar Aswad di penjuru sebelah timur bangunan kaabah. Perbalahan ini hampir menimbulkan peperangan. Rasulullah telah menjadi hakim bagi menentukan kedudukan Hajar Aswad dan secara tidak langsung Rasulullah telah meleraikan perbalahan antara ketua kaum Quraisy.

Peristiwa Rasulullah menerima wahyu:
- Wahyu pertama diterima Rasulullah pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Ketika itu Rasulullah berusia 40 tahun.
- Wahyu tersebut diterima baginda di Gua Hirak al-Jabar Nur.
- Surah al-Alaq, wahyu pertama yang berbunyi “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. ”
- Wahyu kedua, surah al-Muddasir (ayat 1-7) diturunkan di Bukit Nur berhampiran Makkah.
- Wahyu kedua ini menandakan pelantikan baginda sebagai Rasulullah atau pesuruh Allah.

Tokoh-tokoh awal memeluk Islam:
• Zaid bin Harithah (anak angkat nabi)
• Ali bin Abu Talib (sepupu nabi berusia 10 tahun)
• Khadijah binti Khuwailid (isteri nabi dan orang pertama memeluk Islam)
• Abu Bakar al-Siddiq (sahabat karib)

wahyu pertama yg diterima oleh Rasulullah, masanya dan usia Rasulullah:
- Wahyu pertama iaitu dari surah al-Alaq yang berbunyi “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. ”
- pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Berusia 40 tahun.

Keadaan Rasulullah ketika menerima wahyu:
Pada suatu ketika sedang dia bertafakkur itu datanglah malaikat kepadanya, lalu berkata: “Bacalah!” (Iqra’). Lalu Rasulullah menjawab; “Saya tidak pandai membaca.” Lalu kata beliau: “Maka diambilnya aku dan dipagutnya sampai habis tenagaku. Kemudian dilepaskan¬nya aku dan dia berkata pula: “Bacalah!” Tetapi aku jawab: “Aku tidak pandai membaca!” Lalu dipagutnya pula aku sampai habis pula tenagaku.

Kemudian ditegakkannya aku baik-baik dan dikatakannya pula: “Bacalah!”, yang ketiga kali, lalu berkatalah malaikat itu: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menjadikan,” sampai kepada ujung “Yang telah mengajarkan kepada manusia apa yang dia tidak tahu.” Setelah sampai pada ujung ayat tersebut malaikat itu pun ghaiblah dan tinggallah beliau seorang diri dalam rasa kengerian.

Lalu beliau segera pulang kepada isterinya Khadijah. Lalu beliau berkata: “Selimutilah aku, selimutilah aku.” (Zammiluuni, zammiluuni). Maka segeralah orang-orang dalam rumah menyelimuti beliau, sampai rasa dingin itu hilang. Lalu berkatalah beliau kepada Khadijah: “Hai Khadijah, apakah yang telah terjadi atas diriku ini?” Lalu beliau ceriterakan segala yang telah beliau alami itu, akhirnya beliau berkata: “Aku ngeri atas diriku.”

Monday 26 November 2012

MUHASABAH DIRI



Telah bersabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Ada empat perkara yang berharga dalam diri manusia dan dia boleh hilang dengan empat perkara juga. Adapun yang berharga itu ialah akal, agama, malu, dan amal soleh, maka:
  1. Akal boleh hilang disebabkan marah
  2. Agama boleh hilang disebabkan dengki
  3. Malu boleh hilang disebabkan tamak
  4. Amal soleh boleh hilang dan terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.
Manusia akan menghadapi empat penarikan:
  1. Malaikat pencabut nyawa akan menarik rohnya
  2. Para ahli waris akan menarik hartanya
  3. Ulat akan menarik tubuhnya
  4. Orang yang dimusuhi atau dianiayai akan menarik barang kepunyaannya di hari kiamat iaitu amalnya.”
Dari Ali r.a yang bermaksud:
“Sesungguhnya amalan yang paling sukar ada empat macam:
  1. Memberi maaf pada waktu marah
  2. Suka memberi pada waktu susah
  3. Menjauhi yang haram pada waktu sunyi
  4. Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.”
Dari Hatim al-Asom yang bermaksud:
“Empat perkara yang hanya diketahui oleh empat jenis orang akan nilainya iaitu:
  1. Nilai masa muda hanya diketahui oleh orang- orang tua
  2. Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah ditimpa bencana
  3. Nilai kesihatan hanya diketahui oleh orang- orang sakit
  4. Nilai kehidupan hanya diketahui oleh orang-orang yang telah mati.”
Pesan Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda:
“Peliharalah titah perintah Allah nescaya Dia akan memelihara engkau(sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati Dia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu memohon hendaklah kamu memohon pertolongan dari Allah.
Ketahuilah,
Seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan suatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan semuanya.” 

Thursday 22 November 2012

TAUBAT DAN ISTIGHFAR KUNCI REZEKI


DALAM kita dituntut mencari rezeki yang halal demi kelangsungan hidup ini, tidak kurang sebahagian daripada kaum Muslimin memandang bahawa berpegang dengan Islam akan mengurangi rezeki mereka.

Kemudian tidak hanya sebatas itu, bahkan lebih parah dan menyedihkan bahawa ada sejumlah orang yang masih mahu menjaga sebahagian kewajipan syariat Islam tetapi mengira bahawa jika ingin mendapatkan kemudahan di bidang kebendaan dan kemapanan ekonomi hendaknya menutup mata daripada hukum-hakam Islam, terutama yang berkenaan dengan hukum halal dan haram.


Mereka itu lupa atau berpura-pura lupa bahawa Allah s.w.t mensyariatkan agama-Nya bukan hanya sebagai petunjuk bagi umat manusia dalam perkara-perkara kebahagiaan di akhirat saja. Allah s.w.t juga mensyariatkan agama ini juga untuk mengajar  manusia dalam urusan kehidupan dan kebahagiaan mereka di dunia.

Di antara sebab terpenting diturunkannya rezeki adalah istighfar (memohon ampun) dan taubat kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfriman tentang Nabi Nuh a.s yang berkata kepada kaumnya:

“Maka aku katakana kepada mereka, ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu’, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh: 10-12)

Apa yang dimaksudkan dengan istighfar dan taubat di sini bukan hanya sekadar diucapkan pada lisan sahaja, tidak membekas di dalam hati sama sekali, bahkan tidak berpengaruh dalam perbuatan anggota badan.

Sebaliknya, apa yang dimaksudkan  dengan istighfar dan taubat di sini adalah sebagaimana dijelaskan oleh Imam ar-Raghib al-Asfahani, iaitu “memohon ampun dengan disertai ucapan  dan perbuatan dan bukan sekadar lisan semata-mata.”

Monday 19 November 2012

Anda Bersalam: Ikut Adat Atau Ibadat?



Di sekolah, antara didikan guru kepada anak muridnya ialah cara-cara menerima hadiah. Biasalah budak-budak naik pentas kerana menang pelbagai pertandingan dan cemerlang dalam bidang akademik. Apa yang diperhatikan, ada anak-anak yang menyalahi adab ketika menerima hadiah. Lantas, para guru selalu mengajar anak-anak didik cara yang betul.

Apakah antara kesalahan dalam adab menerima hadiah? Antaranya, tidak mengucapkan terima kasih atau ucapan yang tak didengari kerana terlalu perlahan, tidak bersalam dan tidak memandang wajah penyampai hadiah.  Budak-budak katakan. Bukan mereka sengajakan. Mereka masih dalam peringkat belajar. Peranan guru dan ibu bapalah membina sahsiah mereka.

Orang dewasa mudah peka apabila anak-anak melakukan kesalahan. Macam kes berikut. Apabila anak tersepak gelas di atas lantai, lalu si ayah akan berkata, “Budak ni, mata letak kat mana?” Tetapi apabila si ayah pula tersepak gelas, si ayah akan berkata pula,” Siapa yang letak gelas atas lantai ni?” Inilah sikap orang dewasa yang lebih dulu makan garam.

Mari kita perhatikan orang dewasa yang beriman , ya beriman, ketika berjabat salam selepas selesai solat jamaah. Ramai yang berjabat tangan ala kadar, macam sudi tak sudi menyambut jabatan salam dari rakan jamaah.  Bertentang wajah pun tidak. Tangan berjabat tetapi pandangan mata ke lain. Yang lebih teruk lagi; sambil berjabat salam, sambil bercakap dengan orang lain. Betulkah cara bersalam begini mengikut sunnah?

Contoh bersalam penuh ukhuwah dan mesra
Agaknya berjabat salam itu dah jadi rutin, maka keistimewaannya tidak terserlah lagi. Macam orang  yang tak pernah naik keretapi, sekali-sekali naik keretapi rasa amat seronok. Tetapi apabila tiap-tiap hari berulang kerja naik keretapi, tak rasa apa-apa keistimewaan lagi. Begitulah agaknya analogi yang sesuai untuk para jamaah yang dah merutinkan salam selepas berjamaah. Bukan semua, tetapi kalau itulah kita, bagaimana?

oleh:
BayangDiAir.
 

Saturday 17 November 2012

Dr. Zakir Abdul Karim Naik


Berlatar belakangkan bidang kedoktoran, Dr. Zakir Abdul Karim Naik merupakan seorang pakar dalam bidang perbandingan agama diperingkat antarabangsa. Beliau sangat terkenal dengan teknik pidato dan debatnya yang sangat mantap dan berkesan, menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih serta beberapa kitab-kitab agama lain seperti kita Bible, kitab Veda, kitab Bhagwad Geeta, kitab Upandishads dan banyak lagi.
Dilahirkan pada 18 Oktober 1965 di Mumbai, India beliau juga terkenal dengan kebolehannya mematahkan hujah pihak lawan serta memberikan jawapan yang menyakinkan terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan secara sepontan.
Menjelang tahun 2002, beliau sudahpun memberikan lebih daripada 1000 ceramah di peringkat antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Arab Saudi, United Arab Emirates, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Afrika Selatan, Itali, Mauritius, Australia, Malaysia, Singapura, Hong-Kong, Thailand, Guyana (Amerika Selatan) dan banyak lagi termasuklah ceramah ditempat asal beliau sendiri; India.
Dr. Zakir Naik mendapat pendidikan awal di St. Peter’s High School (I.C.S.E), Mumbai sebelum ke Kishinchand Chellaram College, Mumbai dan Topiwala National Medical College, Nair Hospital, Mumbai. Akhirnya, beliau mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang perubatan, M.B.B.S (Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery) di University of Mumbai, India.
Beliau aktif melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti dialog antara agama, dan antara yang paling berjaya adalah dialog bersama-sama Dr.William Campbell (Amerika Syarikat) pada 1 April 2000. Beliau digelar oleh seorang individu yang tidak asing lagi dalam dunia perbandingan agama; Sheikh Ahmad Deedat, sebagai ‘Deedat Plus’ pada tahun 1994.
Beliau juga menerima sebuah plag pada Mei 2005 sebagai anugerah daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya : “Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish, Alhamdulillah.” Ia bermaksud, “Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama 4 tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun. Alhamdulillah.”
Beliau sering dijemput untuk menyampaikan ceramah dibeberapa stesen televisyen dan radio di pelbagai negara, dan kini ratusan daripada video rakaman ceramah beliau boleh didapati dalam bentuk pita video dan cakera padat (CD)
Beliau kini telah meninggalkan karier beliau sebagai seorang doktor perubatan untuk menumpuhkan seluruh masa dan tenaga beliau untuk aktiviti dakwah islamiyah. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Presiden Islamic Research Foundation (I.R.F), Pengerusi I.R.F. Educational Trust, dan Presiden Islamic Dimensions, Mumbai.
Antara buku-buku yang telah dikarang oleh Dr. Zakir Naik termasuklah Replies To The Most Common Question Asked by Non-Muslim, Quran And Modern Science – Compatible Or Incompatible, Concept Of God In Major Religions, Islam And Terrorism, Women’s Right In Islam – Protected Or Subjugated?, Al-Quran – Should It Be Read With Understanding?, Is The Qur’an God’s Word? Dan banyak lagi.

ISLAMIC RESEARCH FOUNDATION

Islamic Reseach Foundation yang diasaskan pada bulan Februari 1991 merupakan satu pertubuhan rasmi yang tidak berasaskan keuntungan yang berperanan menyebarkan dakwah serta mesej Islam kepada masyarakat, sama ada Islam mahupun bukan Islam.
Kerja-kerja yang dihasilkan oleh I.R.F termasuklah buku-buku, dokumentari dan video-video ceramah telah sampai ke jutaan manusia di serata dunia melalui saluran TV satelit antarabangsa, Internet dan media cetak; kebanyakkan menumpukan kepada memberikan kefahaman terhadap kebenaran dan kesempurnaan agama Islam berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadis sahih dan juga logik akal.
Islamic Reseach Foundation dinaungi oleh Dr. Zakir Naik Abdul Karim Naik. IRF boleh dihubungi di alamat:
56/58 Tandel Street ( North),
Dongri, Mumbai – 400 009 India.
Tel : (0091-22) 23736875 (8 lines)
Fax : (0091-22) 23730689.
Laman web: 
http://www.irf.net
Dr. Zakir Naik Vs Dr. William Campbell
Tajuk: “Qur’an and Bible in the light of Science”
Sinopsis: Debat Hebat ini berlangsung di Skokie, Illinois, USA. Dr. Zakir Naik telah bertindak menerima cabaran Dr. William Campbell yang pernah menulis buku menghina al-Quran bertajuk “The Qur’an and the Bible in the light of History and Science”. Dalam buku tersebut Dr.William Campbell menghina Al-Quran dengan mengatakan fakta-fakta di dalamnya bertentangan dengan Sains manakala ayat-ayat Bible menunjukkan fakta sains. Beliau juga mencabar Orang Islam untuk menjawap dakwaan beliau.
Antara kandungan menarik Debat ini ialah:…
- Pembuktian Al-Quran firman Allah menerusi Sains dan logik akal
- Konsep salah Holy Trinity
- Penyimpangan ajaran Kristian daripada ajaran Nabi Isa AS
- Kandungan Bible yang telah diubah
- Hujah-hujah Dr. William Campbell yang mudah dipatahkan oleh Dr. Zakir Naik
- Pembuktian KeRasulan Nabi Muhammad SAW
Dr Zakir Naik mematahkan hujah-hujah Dr William Campbell menerusi:…
- Firman Allah dan Hadis Nabi SAW
- Petikan Ayat-ayat Bible
- Kajian Sains dan Teknologi
Biodata Dr. Zakir Bin Naik
Beliau berkelulusan Doktor Perubatan adalah seorang pendakwah bebas yang mendapat gelaran ‘walking Computer’ kerana ingatan beliau yang luar biasa, beliau juga digelar ‘Deedat Plus’ kerana kebolehan beliau berhujah mengenai Islam dan Kristian sebagaimana Ahmad Deedat, tetapi Dr. Zakir Naik memiliki lebih banyak kelebihan lagi. Di dalam perdebatan, beliau secara bersahaja memetik kandungan Al-Quran, Hadith, Bible serta buku dan kajian terkini sains dan teknologi. Semuanya beliau lakukan dari ingatan luarbiasa beliau tanpa merujuk kepada sebarang teks.
Biodata Dr. William Campbell
Beliau adalah seorang Missionary Kristian yang berkelulusan PhD bahagian teologi Kristian dan fasih berbahasa Arab. Beliau bertaraf ‘Ulama’ Kristian adalah seorang yang sangat kritis kepada ajaran Islam dan Al-Quran. Berbanding Dr Zakir Naik, beliau berhujah dengan merujuk kepada bahan-bahan bertulis yang beliau sediakan…tetapi yang ajaibnya adalah semua rujukan beliau itu dihafal secara ‘ayat ke ayat’ oleh Dr Zakir Naik.
Sesungguhnya melihat perdebatan tersebut akan membuatkan kita merasa takjub akan kurniaan Allah terhadap Dr Zakir Naik. Debat tersebut juga berjaya membongkar segala kesalahan ajaran Kristian secara ilmiah dan bukti konkrit yang sukar untuk ditolak oleh Dr William Campbell sendiri. Adalah dilaporkan, ratusan orang yang memeluk agama Islam setelah melihat perdebatan tersebut.
Debat ini adalah debat terakhir yang dibuat oleh Dr.Zakir Naik kerana cabarannya kepada pendeta-pendeta agama Yahudi, Buddha, Hindu, Atheis malahan Kristian untuk berdebat tentang kebenaran Islam tidak berani lagi disambut selepas itu. Mungkin mereka gentar kepada Dr. Zakir Naik yang memperlakukan Dr. William Campbell seperti seorang yang ‘hilang arah’ dan hujah ketika bertemu beliau.
Video salah seorang wanita beragama Hindu memeluk Islam secara LIVE di Peace TV selepas bertanya satu soalan kepada Dr. Zakir Naik. Setelah berpuas hati mendengar penjelasan daripada Dr. Zakir Naik, tanpa teragak-agak wanita ini mengucap 2 kalimah syahadah. Alhamdulillah.

Semasa ceramahnya di sebuah daerah dalam negeri Johor, hadirin datang tanpa paksaan oleh mana-mana pihak telah mengejutkan orangramai apabila majlis penutupnya datang seorang hamba Allah berstatus hindu lalu mengucap kalimah Islam didepan Dr Zakir Naik. Alhamdulillah. Hidayah daripada Allah.
Penulis mengucapkan terima kasih kepada pihak TV Al Hijrah kerana memberi liputan dan pembahasan yang disampaikan oleh Dr. zakir Naik. Seterusnya menaikan lagi jumlah tontonan dan peminat TV Al Hijrah itu sendiri yang sebelum ini hanya Ustaz Don sahaja yang memikat hati penonton.

Sekarang sudah ada anak muda tempatan di Malaysia yang berani tampil diri dalam majlis pembandingan agama dengan mana-mana mubaglil kristian. Antaranya Ustaz Muhammad Robby Zaid Tandang bekas EKSEKUTIF TV AL HIJRAH & PENGACARA PROGRAM STUDIO MUALLAF. Ustaz Muhammad Amin Bin Yaacob daripada PERKIM Melaka yang pernah bertandang ke Surau kampung Jaya dalam program Forum Perdana.

Oleh itu sukalah bagi pihak penulis blog ini memohon kerjasama daripada anda semua untuk terus memberi sokongan kepada mereka-mereka ini dalam apa jua bentuk sumbangan agar dakwah yang disampaikan menjadi lebih berkesan sehingga tertegaknya perintah Allah S.W.T atas muka bumi.

Penulis memohon maaf kerana sudah terlalu lama membiarkan blog ini tanpa pengisian harian. Untuk makluman, penulis sebenarnya mengalami masalah komputer dan internet. Tambahan pula dengan masa yang terhad. Terima kasih kepada blogger-blogger kerana tolong up to date blog ini.

Thursday 15 November 2012



DETIK MULA MENGAPA AKU CENDERUNG KEPADA PAS

Anak saudaraku, N (nama samaran)  mula berubah sejak menghadiri persembahan konsert di Pantai Batu Buruk. Itulah cerita rintihan kakakku bagaimana N mula derhaka kepadanya. Kini N bukan lagi seperti N yang dulu. N dulu tak berani bantah cakap ibu ayah. N dulu tak berani keluar rumah pada waktu malam, kalau orang tuanya tak izin. N dulu tak intim dengan lelaki yang tak dikenalinya. Tetapi N kini terbalik kuang. Entah apa yang dilakukannya ketika keluar rumah bersama teman lelakinya, hanya Tuhan yang tahu.

Saudara-mara dah tahu perubahan pada diri N. Orang kampung dah lihat N bermotor ke sana-sini dengan budak lelaki.  Bukan sahaja ibu bapa N, aku sebagai ayah saudaranya juga turut tebal muka melihat perlakuan N. Pantang ada konsert, N akan pergi. Keluar sebelum Isyak balik lewat malam. Kakakku kata N pernah pulang waktu pagi. Di mana N bermalam entahlah.

Susahnya hati ibu bapa N. N pernah dirotan. Pernah juga dia dikurung berhari-hari tapi N tidak juga berubah. Takkan nak kurung sepanjang masa. Sekolah nak kena pergi. Takkan nak rotan separuh mati, lain pula jadinya nanti. Yang lebih mengejutkan ibubapanya ialah N dah mula ugut tak akan balik ke rumah lagi kalau dia dikurung. Mengalir  air mata kakakku apabila menceritakan kisah N.
Dari wajah cengkung kakakku, aku tahu betapa penderitaan batin kakakku. Bagaimana nasib N seterusnya nanti? Mengandungkah dia? Buang anakkah dia? Malu. Malu. N dah sukar dikawal.

Demikianlah senario yang mula mencipta detik dalam hatiku hingga aku mula mendekati PAS. Aku lihat konsert yang seperti cendawan tumbuh selepas hujanlah yang merosakkan anak saudaraku. Konsert yang berleluasa di bawah kuasa kerajaan BN menyebabkan remaja semakin rosak akhlaknya. Bila jadi begini ibu bapa yang disalahkan. Ibu bapa yang dikatakan tak pandai didik anak. Di rumah kita didik anak, di luar sana terhidang segala program dajal. Kerajaan tak rasa bertanggungjawab pun.
Terfikir juga aku, manakah program pembinaan sahsiah remaja yang dianjurkan oleh kerajaan negeri? 

Di manakah institusi pemulihan akhlak remaja? Kerajaan yang aku pilih buat apa? Apa yang aku bimbangkan ialah nasib anak-anakku pula. Kini mereka masih di sekolah rendah. Apa akan terjadi apabila mereka meningkat remaja nanti? Apakah nasib yang dialami oleh kakakku akan tertimpa pula padaku?

Sejak itulah aku curi-curi ke ceramah PAS. Kadang-kadang aku beli Harakah. Ada masa aku buka internet. Kini aku hanya menunggu hari mengundi PRU13. Aku harap berlaku perubahan. Ya perubahan sebelum anak-anakku melangkah ke alam remaja. Aku takut terlambat. Kisah yang terjadi kepada anak saudaraku, N, adalah detik mula mengapa aku mula cenderung kepada PAS.







Tuesday 13 November 2012

STADIUM RUNTUH TAK TERBAIKI...KERUNTUHAN AKHLAK BAGAIMANA?

"Bercakap tentang stadium runtuh baik bercakap dengan lembu daripada bercakap dengan kerajaan negeri. Lembu, kalau tak jawab pun, padanlah dengan sifat haiwan itu. Orang pun ada umpamakan sebagai otak lembu. Bercakap dengan kerajaan negeri, dah masuk empat tahun, begitulah rupa paras stadium runtuh sekarang.

Tak masuk akal langsung. Lembu yang dikatakan dungu pun tak dapat fikir macam mana sebuah kerajaan TOP IT tak mampu nak pulihkan maruah stadium yang bernama sultan itu. Menggeleng kepala, lembu. Kata orang Terengganu, dok rok cetong. Kerajaan dok rok cetong itukah yang nak dikekalkan oleh rakyat?

Kita tak mahu lagi bercakap tentang siapa yang bertanggungjawab membaiki kerosakan stadium itu sama kerajaan negeri atau pemaju. Kita tanya tentang tanggungjawab dan kapasiti sebuah kerajaan yang ada akauntabiliti. Apakah kalau stadium runtuh itu berlaku di Brunei atau Singapura, maka sampai ke hari ini stadium itu dibiarkan sebegitu rupa?

Rumit sangatkah hinggakan beratus juta wang rakyat dibazirkan begitu?
Aku melihat secara sinis komitmen dan akauntabiliti kerajaan negeri yang siang malam berkempen untuk memujuk rakyat agar terus mengekalkan kuasanya. Kalaulah stadium runtuh pun tak mampu diselesaikan apakah jaminan kerajaan negeri berkemampuan untuk menyelesaikan  keruntuhan akhlak rakyat? Pernahkah pemimpin kerajaan negeri bercakap tentang keruntuhan akhlak rakyat secara seius? Bak akhlak, mereka bersikap macam lembu kenyang tadi. Dalam mulut mengunyah rumput, usus rancak memproses najis.

Mereka bergegar bercakap tentang ICT, kemampuan TOP IT, bercakap tentang minda kelas pertama. Bab rakyat nak lingkup kerana dadah, bebas bergaul jantan betina berkepit atas motor macam belangkas, tak sembahyang, botol arak bertimbun di kampung Melayu, persundalan hingga buang bayi dan bab remaja bunuh diri kerana gagal cinta.........semuanya dianggap remeh, kes terpencil dan masalah peribadi.

Sebagai kakitangan kerajaan negeri, aku banyak kali juga terdedah dengan majlis dan program yang dianjurkan oleh jabatan. Sebagai kakitangan kerajaan kita akurlah. Lagipun tangan akulah yang angkat kerajaan ini pada tahun 2008 dulu. Tetapi lama-kelamaan mari juga terfikir dalam hati ini, inikah standard sebuah kerajaan negeri. Mampukah sebuah kerajaan yang gagal  menyelesaikan masalah stadium runtuh, diberikan amanah untuk menyelesaikan masalah keruntuhan akhlak hidup rakyat? Akan terbinakah nanti sebuah masyarakat yang tinggi kualiti akalnya tapi kohong (busuk) budinya? Sedangkan budi dan akhlak itulah nanti menjadi penentu syurga neraka di akhirat kelak.

Rakyat yang celik akan menggunakan akal untuk menilai dan memilih. Manakala rakyat yang tidur akan merapu dalam mimpi. Inilah analogi yang agak sesuai untuk membezakan antara intelek kaca dan intelek permata. Pada PRU12 dulu, intelek aku adalah intelek kaca. Setiap hari melintasi stadium runtuh telah membuka mindaku. Kalau pada 2008 tangan ini pernah menaikkan kerajaan ini, insya-Allah tangan yang sama tidak sabar-sabar untuk membuat pembetulan atas kesilapan diri.

"


- oleh AntiKarat.