Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Sunday, 11 March 2012

Bumbung Sekolah pun nak runtuh?

 

KUANTAN – Keadaan bumbung salah satu bangunan sebuah sekolah kebangsaan di sini yang hampir tercabut menjadikan ibu bapa tidak senang duduk selepas menghantar anak-anak ke sekolah.


Lebih membimbangkan, bahagian bawah bumbung yang rosak itu menjadi tempat permainan pelajar-pelajar ketika waktu rehat atau waktu pulang sekolah.

Seorang penjaga, Abdul Majid Ahmad, 63, berkata, dia yang setiap menghantar dan mengambil cucunya, Noor Aina Shafiqah Mohamad Shukri, 9, di sekolah berkenaan tidak mahu ada murid yang tercedera akibat kecuaian orang lain.

“Saya bimbang jika dibiarkan, satu hari nanti ada yang tercedera kerana saya lihat semakin hari bumbung itu sudah semakin jatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kawasan bahagian bawah bumbung itu juga tidak diletakkan tanda amaran supaya pelajar tidak menghampiri tempat itu.

Abdul Majid berkata, sebelum ini, ibu bapa pernah membuat aduan berkaitan masalah itu ketika mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pun begitu katanya, sehingga kini masih tiada tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab.

“Saya kesal, kerana hingga kini keadaan bumbung masih tidak dibaiki sedangkan aduan sudah dibuat tahun lepas.

“Takkanlah mahu tunggu sampai ada yang cedera baru nak ambil tindakan. Masa itu, semuanya sudah terlambat,” katanya.

Selain itu katanya, pelajar sekolah berkenaan turut berdepan dengan bahaya kerana longkang di hadapan sekolah yang tidak mempunyai pengadang.

“Saya minta pihak bertanggungjawab supaya lebih peka dengan keselamatan pelajar sekolah supaya ibu bapa rasa senang hati bila hantar anak ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Yahya Zainal Abidin berkata, pihaknya sudah menyemak senarai nama sekolah yang memerlukan penambahbaikan bangunan sekolah dan mengakui menerima aduan berkaitan sekolah SK Pandan.

“Kita akan menjalankan kerja-kerja membaiki bangunan sekolah secara berperingkat-peringkat.

“Insya-Allah, masalah di sekolah ini akan selesai setelah tamat cuti persekolahan ini kerana kita akan membaiki kerosakan tersebut sepanjang tempoh penutupan sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.

No comments:

Post a Comment