Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Sunday, 29 April 2012

Terpaku dengan kebiadaban PDRM


Oleh Warga Marhain 

Saya amat kecewa dan terpaku dengan kebiadaban dan tindakan pihak PDRM membuat "search party" di Stesen LRT Bandaraya berhampiran pusat membeli belah SOGO yang ketika itu rata-rata sudah mahu pulang ke destinasi masing-masing. 

Waktu itu jam menunjukkan 7.00pm, saya berserta isteri dan anak keluar dari Pasaraya SOGO kerana dimaklumkan pasaraya tersebut akan ditutup kerana faktor keselamatan. 



Kami seterusnya menuju ke Stesen LRT Bandaraya yang tidak jauh dari situ. Ketika berada di platform atas, ramai orang sedang beratur untuk mengambil "token" di mesin tiket. Keadaan ketika itu begitu tenang dan kelihatan segelintir peserta Bersih 3.0 berpakaian kuning turut sama beratur untuk mengambil tiket untuk pulang. 

15 minit kemudian keadaan disitu menjadi tegang dengan kehadiran sekumpulan anggota PDRM beranggaran 15-20 orang berpakaian uniform operasi biru gelap. Mereka menyerbu stesen itu dengan tujuan membuat "search party" bagi menangkap mereka yang berpakaian kuning. Apa yang menyedihkan saya, anggota PDRM tersebut tidak menjalankan tugas dengan cara berhemah dan profesional dengan orang awam yang berada disitu. Mereka memasuki kawasan itu dengan jerit pekik seolah-olah hendak menakut-nakutkan orang awam di situ yang rata-ratanya terdiri daripada golongan bekerja, wanita dan kanak-kanak. Macam samseng jalanan dalam filem-filem bercorak gangster, cuma kali ini ianya dilakukan oleh mereka yang beruniform bertugas untuk melindungi ketenteraman awam. 

Mereka berada dalam keadaan seolah-olah hilang ingatan dan semacam dirasuk ketika "search party" tersebut. Untuk makluman saudara, keadaan disitu sama sekali tidak ada aktiviti perhimpunan. Semua orang sedang bergegas untuk pulang. Sangat menyedihkan saya apabila beberapa anggota PDRM berbangsa Melayu menarik baju salah seorang peserta Bersih berbangsa Melayu juga yang boleh dianggap seusia dengan bapanya dengan kasar sekali. Sungguhpun demikian, beliau tidak melawan dan memberi jawapan "dah nak balik.." dan diarahkan supaya menanggalkan baju kuning tersebut serta merta. rupa-rupanya beliau bekas anggota PDRM juga. Beliau meluahkan perasaan kepada saya, sewaktu bertugas dahulupun beliau tidak pernah berkasar sedemikian rupa, tidak dengan apa yang berlaku pada hari ini. Wajah kecewa beliau sangat ketara sekali.

Di satu sudut berhadapan dengan saya seorang remaja belasan tahun memakai baju jersi bolasepak Kedah turut dicekup dengan alasan berbaju kuning serta diheret keluar seolah-olah penjenayah besar. Saya amat hairan dan khuatir dengan keadaan yang berlaku ini. Begitu zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Mereka seolah-olah hilang kewarasan apabila melompat naik melintasi kaunter laluan untuk ke platform menunggu bagi mencari saki baki baju kuning yang lain. Samseng berlesen barangkali. 

Saya amat menghormati serta berterima kasih dengan tugas serta pengorbanan anggota PDRM, tetapi oleh kerana segelintir daripada mereka yang tidak profesional dan 'kekampungan' telah mengikis tanggapan tersebut. Memang jelaslah bahawa negara ini merupakan "police state" acuan dan tinggalan penjajah. Apabila agama dan lunas-lunas kewarasan ditinggalkan jauh dari jiwa mereka, hanya sekadar untuk mengisi kekosongan jawatan dan cari makan..maka kesan dan akibatnya amatlah serius. Inilah PDRM masa hadapan yang dicorakkan oleh pemerintah untuk melindungi ketenteraman awam abad mendatang. Sekiranya ini berterusan, kita khuatir budaya gangsterisma ini bakal menggugat keharmonian negara. 

Persoalannya, apakah peranan Institusi Raja Berperlembagaan ketika ini hanya sekadar tunggu dan lihat diatas segala kelancangan yang dilakukan oleh sekeliaan hulubalang-hulubalang dan juak-juak mereka? Apakah mereka tidak mengenal sejarah sebelum ini? Dimanakah rakyat disisi mereka? Apakah suara rakyat tidak laku lagi di istana-istana mewah mereka? Apakah mereka tidak akan disoal oleh Allah Azza Wajalla di atas amanah yang diberikan oleh rakyat kepada mereka? Apakah definasi rakyat ini adalah kakitangan awam sahaja dan bukan rakyat marhain seperti saya? 

Wallahualam. Hanya Allah SWT sahajalah tempat kita mengadu kali ini. 


Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment