Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Tuesday, 24 April 2012

22 tahun memerintah hanya 2 menteri yang hadir


SHAH ALAM - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dukacita kerana menteri-menteri dan timbalan menteri Kerajaan Pusat yang datang ke negeri itu tidak pernah mengunjungi pejabat beliau kecuali dua anggota Kabinet.
Nik Aziz berkata, Kelantan adalah sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang menteri besar, yang seharusnya menteri atau timbalan pusat mengunjunginya selaku ketua kerajaan di negeri yang mereka lawati.
“Dia nak datang tu, datanglah, (Kelantan) tetapi kalau boleh datanglah ke pejabat menteri besar, sebab dia ada kerajaan dan ada ketuanya sendiri.
“Sejak saya menjadi menteri besar hampir 22 tahun ini, hanya ada dua orang menteri sahaja yang bersedia datang bertemu saya, baik dia iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Mohamed Nazri Aziz.
“Seorang lagi yang sempat bertemu saya bekas Menteri Pertanian, kalau tak silap saya bekas Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, orang lain tak datang,” kata beliau dipetik Harakah Daily semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan awal Mei ini Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Nik Aziz mengetuai Kerajaan Negeri Kelantan sejak 1990.
Ketika ditanya adakah lawatan itu ada kaitan dengan pilihan raya semakin hampir, beliau berkata, terpulanglah kerana pilihan raya atau sebaliknya, sebab Pas sendiri turun ke seluruh negara khususnya sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.
“Tetapi soalnya sekarang rakyat mesti faham untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang ditadbir Pas apa dosa yang telah dilakukan oleh parti Islam ini,” ujarnya.
Tambah Nik Aziz, perjuangan Pas menarik manusia kembali pada ajaran ALLAH yang sebenar.
Mursyidul Am Pas ini berkata, selepas manusia mati sudah pasti akan dibangkitkan semula sama ada mahu atau sebaliknya tetap akan dihidupkan semula.
Sambil merujuk surah Yaasin ayat 51 dan 52, Nik Aziz berkata, setiap manusia yang mati akan dihidupkan semua untuk menerima pembalasan di akhirat.
Oleh itu jelas beliau, Pas telah membawa ajaran yang selari dengan Islam kerana ianya menjadi tanggungjawab perjuangan umat Islam.

No comments:

Post a Comment