Oleh: al-bahanj
"Saya mendapat khabar bahawa pernah pada suatu musim haji, terdapat program soal-jawab yang disiarkan secara langsung di tanah suci melalui siaran radio. Siaran tersebut didengari oleh jutaan jemaah haji yang hadir. Kesemua soal-jawab telah dijawab oleh seorang Tuan Sheikh yang `alim dan sangat dihormati akan ilmunya. Program tersebut adalah khusus bagi menjawab soalan-soalan orang ramai sekitar tajuk ibadah haji dan lain-lain yang berkaitannya.
Tiba-tiba ada satu panggilan dari seorang wanita yang ingin
bertanya tentang mimpi dan apa tafsiran Tuan Sheikh tersebut. Walaupun pada
asalnya Tuan Sheikh agak keberatan untuk menjawab disebabkan ianya terkeluar
dari tajuk yang dibincangkan iaitu haji, namun beliau tidak mahu mengecewakan
wanita tersebut lalu dibenarkannya untuk bertanya.
“Saya pernah bermimpi terlihat seorang lelaki yang mengerjakan
ibadah tawaf mengelilingi Ka`bah pada musim haji dalam keadaan beliau tidak
berpakaian sedikit pun iaitu dalam keadaan telanjang. Bolehkah Tuan
Sheikh menafsirkan mimpi saya tersebut?” Wanita tersebut bertanya kepada
Tuan Sheikh melalui panggilan telefon yang didengari oleh jutaan jemaah haji
lain melalui radio secara langsung.
Agaknya apakah jawapan tuan puan apabila ditanya oleh seseorang
dengan soalan yang sama? Dan apa pula jawapan oleh para ustadz yang kita
kenali jika ditujukan soalan yang sama untuk mereka tafsirkan mimpi tersebut?
Lihatlah bagaimana reaksi Tuan Sheikh ini dan amatilah jawapan
yang diberikan beliau dengan kehikmahan yang ada pada beliau:
“WAllahu A`lam. Saya akan cuba menjawab soalan
puan berdasarkan sedikit pengetahuan yang saya ada.” Tuan
Sheikh memulakan jawapan beliau dengan memuji ALLAH yang Maha Mengetahui segala
sesuatu.
“Pada tafsiran saya terhadap mimpi puan yang melihat seorang
lelaki yang melakukan ibadah tawaf secara bertelanjang itu ialah bahawa lelaki
tersebut telah kembali dalam keadaan beliau tidak berdosa selepas mengerjakan
haji. Lelaki tersebut telah memiliki keampunan ALLAH dan semua dosanya
telah diampuni seperti seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan (dalam keadaan
telanjang). Ini sesuai dengan hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam
yang menyebut bahawa seseorang yang diterima hajinya itu kembali bersih tanpa
dosa seperti dia baru sahaja dilahirkan oleh ibunya…” Jawab
Tuan Sheikh tersebut.
“Beruntunglah lelaki tersebut kerana beliau telah dikurniakan
dengan haji yang mabrur.” Sambung Tuan Sheikh lagi.
“Oh begitu. Terima kasih kerana sudi menjawabnya.
Bolehkah saya memaklumkan kepada lelaki tersebut tentang berita ini?” Tanya
wanita itu melalui telefon.
“Ya, boleh. Puan kenalkah dengan lelaki tersebut?” sambut
Tuan Sheikh lalu diajukan soalan samada wanita itu kenal atau tidak dengan
lelaki di dalam mimpi beliau.
“Ya, saya kenal beliau.” Jawab wanita tersebut dengan
ringkas.
“Jika puan kenal dengan lelaki tersebut, puan ucapkanlah tahniah
buat beliau kerana ALLAH telah menerima haji beliau.” Saran
Tuan Sheikh agar wanita tersebut mengucapkan tahniah kepada lelaki yang bertuah
itu.
“Sebenarnya lelaki yang saya lihat di dalam mimpi saya itu ialah
Tuan Sheikh sendiri!!!” Wanita itu memberitahu siapa lelaki tersebut
melalui panggilan telefon yang disiarkan secara langsung melalui radio.
Jawapan yang diberikan oleh wanita tersebut sangat-sangat
memeranjatkan Tuan Sheikh itu setelah mendengarnya. Tuan Sheikh tidak
dapat menahan perasaan lalu menangis teresak-esak lantaran syukur dan insaf.
Program radio yang dilakukan secara langsung itu terpaksa dihentikan.
Pengendali radio tersebut memaklumkan bahawa program soal-jawab itu tidak
dapat diteruskan dan akan disambung pada hari yang lain.
Kisah di atas telah disampaikan di dalam satu ceramah yang telah
diadakan di Masjid Asy-Syarif, Meru, Klang oleh Ustadz Syed Nurhisham sekitar
tajuk haji pada 2 Dzulka`idah 1432H bersamaan 30 Sepmtember 2011. Beliau
tidak menyebutkan siapakah gerangannya nama Tuan Sheikh yang dimaksudkan.
SubhanAllah! Betapa hikmah dan luar biasa sekali jawapan
Tuan Sheikh tersebut. Beliau nampak apa yang saya dan orang lain tidak
nampak. Jawapan beliau sangat-sangat di luar jangkaan. Beliau
memberikan tafsiran yang bukan calang-calang tafsiran. Dan tafsiran
beliau dijawab berdasarkan pemahaman beliau terhadap nas dari al-Hadith.
Malah kebaikan dari ilmu tafsiran beliau dikembalikan kepada beliau oleh
ALLAH `Azza wa Jalla dalam bentuk kemuliaan!
Saya tidak dapat menahan emosi saya selepas mendengar kisah ini.
Sangat sebak rasanya. Betapa beruntungnya Tuan Sheikh tersebut.
Beliau telah diberikan kemuliaan oleh ALLAH `Azza wa Jalla di hadapan
jutaan manusia sejak di dunia lagi. Khabar gembira seperti ini jarang
didapati oleh mana-mana manusia melainkan sangat sedikit.
Saya telah menyemak hadith yang dimaksudkan oleh Tuan Sheikh
tersebut, iaitu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda yang
maksudnya:
“Barangsiapa yang mengerjakan ibadah haji dan dia tidak
melakukan jima’ dan tidak pula melakukan perbuatan dosa, dia akan kembali dari
dosa-dosanya seperti pada hari ketika ia dilahirkan oleh ibunya.” (HR.
Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan apabila melihat balasan yang disediakan oleh ALLAH Subhanahu
wa Ta`ala terhadap hamba-hambaNYA yang memperolehi haji mabrur, diri ini
tersangatlah rasa penuh harap dan memohon agar dikurniakan dengan haji yang
mabrur juga. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menyebut tentang balasan
kepada orang yang memperolehi haji yang mabrur, yang maksudnya:
“Umrah (yang pertama) kepada umrah yang berikutnya
sebagai kaffarat (peng-hapus) bagi (dosa) yang dilakukan di antara keduanya, dan
haji yang mabrur tidak ada balasan baginya, melainkan Syurga.” (HR. Malik,
Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah).
ALLAHU AKBAR! Mudah-mudahan kita semua memperolehinya.
Dan untuk memperolehinya, mestilah kita letakkan usaha yang sungguh-sungguh
mulai sekarang, doa, tawakkal dan penuh harap kepada ALLAH Jalla wa A`la agar
kita dimasukkan ke dalam golongan hamba-hambaNYA yang beruntung, amin…
LabbaiKA ya ALLAH! LabbaiKA ya ALLAH!
No comments:
Post a Comment