Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Tuesday, 1 May 2012

Rafizi: Saya rela didakwa, hormati hak NFCorp


SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli menuduh NFCorporation (NFCorp), yang mengambil langkah susulan dengan membuat laporan polis dan Bank Negara, tidak menghormati undang-undang dan mengkhianati amanah rakyat dan rela didakwa.

Katanya, beliau sedia maklum bahawa keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang mengendalikan NFCorp, sedang berusaha untuk menyabitkan beliau di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) di samping tindakan saman yang telah dibuat setakat ini.

"Saya menghormati hak mereka membuat laporan sekiranya dirasakan ada peruntukan undang-undang yang telah dilanggar.

"Saya sedia bekerjasama jika ada siasatan demi menjamin proses undang-undang berjalan dengan sebaiknya.

"Malangnya, sementara (Pengerusi Eksekutif NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail dan keluarganya begitu tegas dalam soal Bafia, keadaannya cukup berlainan apabila mereka sendiri dilihat tidak menghormati undang-undang dan mengkhianati amanah rakyat," kata beliau lagi.

Semalam, Salleh menemui pegawai-pegawai Bank Negara untuk memberikan butir-butir perbuatan melanggar peraturan-peraturan kewangan yang didakwa berlaku melibatkan Rafizi. Salleh mengulangi dakwaannya bahawa pegawai PKR itu telah mengedarkan kepada media butir-butir perbankan peribadi dan sulit serta kredit rating NFCorp dan syarikat-syarikat berkaitan, serta butiran peribadi bank pengarah-pengarah dan pemegang saham syarikat tanpa kebenaran syarikat dan pengarah.  
Sejumlah 21 pelanggaran didakwa dilakukkan oleh Rafizi dan pelanggaran oleh sebuah bank tempatan telah dilaporkan kepada Bank Negara, menurut kenyataan NFCorp.

Mohamad Salleh membuat laporan polis mengenai pelanggaran yang dikata dilakukan di bawah Bafia pada 26 April.

Beliau menggesa polis dan Bank Negara menyiasat pelanggaran Bafia itu. 

Dalam kenyataannya, Rafizi menuduh bahawa sehingga hari ini mereka masih terus menggunakan dana rakyat sewenang-wenangnya.

"Mereka juga belum menyerahkan mana-mana harta mewah yang telah dibuktikan dibeli atau disyaki dibeli menggunakan dana RM250 juta yang sepatutnya digunakan bagi tujuan lain," katanya lagi.

Rafizi seterusnya mendakwa dalam siri pendedahan yang dibuat, buktinya jelas bahawa setiap ahli lembaga pengarah termasuklah anak-anak Salleh telah melanggar pelbagai undang-undang dan tatakelola yang baik, namun sehingga kini tidak ada seorang pun didakwa di mahkamah.

Malah menurut Rafizi, tidak ada satu pun dari kenyataan Salleh semalam yang boleh meyakinkan rakyat bahawa beliau telah menggunakan dana awam RM250 juta untuk mendapatkan pinjaman bank membeli lapan unit hartanah mewah di KL Eco City.

"Beliau mendakwa saya telah memfitnahnya kerana kononnya beliau tidak pernah membuat pinjaman untuk membeli unit-unit tersebut.

"Hakikatnya, beliau memang ada membuat pinjaman tersebut tetapi dibatalkan oleh bank apabila skandal NFC menjadi panas.

"Buktinya, tawaran pinjaman dibuat oleh bank pada 23 Mei 2011 tetapi dibatalkan pada 4 Januari 2012," kata Rafizi lagi.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, beliau rela berhadapan dengan apa-apa tindakan berikutan peranannya mendedahkan skandal NFCorp.

"Bukanlah sesuatu yang memalukan jika kita dihukum kerana berkata benar dan mengambil tindakan yang betul.

"Tetapi jika kita dibuktikan menyeleweng wang rakyat yang sepatutnya sampai kepada orang miskin tanpa sedikit pun rasa bersalah atau rendah diri, kita akan dipandang hina di mata rakyat," tambah Rafizi.

Rafizi menambah, cubaan NFCorp untuk meletakkan dirinya di kandang orang bersalah akan dipandang sinis oleh rakyat.

"Bukan saya yang dibicarakan rakyat tetapi NFCorp yang gerak gerinya terus dihakimi rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment