Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Sunday, 20 May 2012

Lubang maut ancam nyawa

 

Wan Zakaria menunjukkan jalan berlubang di laluan pintasan Jalan Kuala Terengganu - Kuantan yang membahayakan penunggang motosikal

KIJAL – Gara-gara jalan berlubang, nyawa beberapa pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang melalui laluan pintasan Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Kemaman Bitumen Company (KBC), di Teluk Kalong nyaris melayang selepas beberapa kenderaan secara tidak sengaja termasuk ke dalam lubang maut terbabit.

Terdapat tiga lubang di laluan berkenaan yang salah satu daripada lubang terbabit agak besar dengan lebar satu meter dan kedalamannya kira-kira 28 sentimeter yang terletak kira-kira 200 meter dari selekoh tajam di laluan berkenaan.

Malah, pagi semalam seorang penyelia di Perwaja Steel Sdn Bhd tercampak ke atas jalan bersama motosikal yang ditungganginya apabila tidak sempat mengelak lubang terbabit yang dibiarkan tanpa dibaiki sejak beberapa bulan lalu.

Akibatnya, mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Kemaman dan mengalami luka di beberapa bahagian badan.

Rakan mangsa yang turut bekerja sebagai penyelia di Perwaja Steel Sdn Bhd, Che Wan Zakaria Che Wan Sulaiman, 43, berkata, bukan sahaja rakannya malah ramai lagi pengguna jalan raya lain pernah terjatuh dari motosikal mereka kerana tidak nampak atau tidak sempat mengelak lubang terbabit.

“Keadaan lebih bahaya apabila waktu malam, pengguna jalan raya tidak akan nampak lubang sebab laluan ini gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan,” katanya yang sering berulang alik melalui laluan itu untuk ke tempat kerja kerana dia tinggal di Kawasan Perumahan Perwaja, Geliga.

Laluan pintasan berkenaan adalah laluan utama kepada lebih 1,000 pekerja industri di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong termasuk pekerja di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) untuk berulang alik dari tempat kerja ke rumah selain turut menjadi laluan kepada pengguna jalan raya lain termasuk kenderaan berat yang mahu mengelakkan kesesakan di lampu isyarat Bukit Kuang.

Lebih teruk, laluan itu juga mengalami kesesakan pada waktu puncak ketika pekerja industri pergi dan pulang dari kerja iaitu pada jam 7.30 hingga 8.30 pagi dan jam 5 hingga 6 petang.

Sehubungan itu, Che Wan Zakaria sebagai mewakili pengguna jalan raya yang lain memohon agar lubang terbabit dapat ditampal dengan tar yang berkualiti.

Ini penting supaya jalan berkenanan tidak cepat rosak sebelum berlaku kejadian yang meragut nyawa apatah lagi kewujudan lubang terbabit juga mendatangkan risiko kerosa-kan kepada kenderaan orang ramai.

No comments:

Post a Comment