Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Saturday, 12 May 2012

Nik Aziz: "Akan ada Bersih 4.0'


FAKHRURRAZI USULDIN 
12 Mei 2012 

 
Nik Abdul Aziz menerima borang penyertaan ke dalam Pas daripada Wan Aishah di Gombak, malam tadi. - Foto ihsan telokbakong.blogspot.com 

GOMBAK - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata akan ada perhimpunan Bersih 4.0 jika isu-isu berkaitan dengan tuntutan pilihan raya bersih dan adil tidak diselesaikan dengan segera. 

“Bila timbul masalah Bersih (perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu), Syeikhul Azhar, Mufti Mesir masa itu mengatakan perhimpunan yang berlaku di Mesir haram. “Tetapi rakyat Mesir membandingkan dengan fatwa Dr Yusuf Al-Qardawi melalui buku ditulis beliau dan hasilnya tujuh juta rakyat Mesir turun ke jalan kerana fatwa Qardawi betul,” katanya. 

Nik Abdul Aziz sebelum ini menggalakkan orang ramai khususnya ahli-ahli Pas agar menyertai Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 April lalu. Malah beliau sendiri mengakui ada membiayai beberapa peserta perhimpunan itu. 

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Langkah Rakyat ke Putrajaya di Markas Tarbiah Pas Pusat Taman Melewar dekat sini, malam tadi. 

Pada majlis itu, penyanyi popular bersuara lunak dan Juara Lagu 1990, Wan Aishah Wan Arifin menyerahkan borang keahlian menyertai Pas. 

Ceramah itu turut dihadiri bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Jui Meng dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar Baba. 

Aishah ketika berucap pada majlis itu berkata, beliau mengambi keputusan menyertai Pas kerana merasakan ia fasa kedua dalam hidupnya selepas mendapat hidayah Allah. 

“Saya merasa terharu kerana diberi peluang memberi borang keahliannya kepada Tuan Guru Nik Aziz dan inilah perkara yang ingin saya buat setelah mendapat hidayah Allah,” katanya. 

Dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz berkata, rakyat negara ini perlu menukar parti yang memerintah Malaysia menerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan parti yang mendukung Islam. 

“Tidak kisahlah kaum mana pun yang akan berada di Putrajaya itu, Melayu ke, Cina Muslim ke, India Muslim ke asal dia berasas Islam seperti yang di bawa Nabi Muhammad, Insya-Allah kita boleh selamat,” katanya. "Saya menyokong Bersih, itu baru 3.0, akan ada yang keempat lagi," kata beliau. 

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin PKR memberitahu Sinar Harian Online bahawa pihaknya tetap dengan pendirian untuk terus menyokong jika akan ada perhimpunan Bersih 4.0. 

“Pihak kami belum berbincang apa-apa lagi mengenai perkara ini kerana belum ada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat mengenai Bersih 4.0," kata Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli. 

Ahli Parlimen Subang, Sivarsa Rasiah pula berkata, pihaknya juga akan terus menyokong tindakan Bersih kerana setakat ini, kerajaan belum memberi sebarang jaminan mengenai tuntutan-tuntutan Bersih. 

“Saya juga akan terus menyokong kerana rakyat sendiri inginkan pilihan raya dibuat secara bersih, adil dan saksama,” katanya lagi. 

Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah memberi amaran perhimpunan yang lebih besar akan diadakan jika kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi pilihan raya yang bebas dan adil. 

No comments:

Post a Comment