Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Sunday, 13 May 2012

Hudud: Pas tak ambil kira bantahan Karpal

 

SHAH ALAM – Pas tidak akan ambil kira pandangan Karpal Singh yang berterusan menolak sistem pemerintahan Islam jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

“Ini kerana bagi parti itu, kerjasama dalam PR adalah atas nama parti, bukan individu,” kata Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Harun Taib.

Menurut Harun, beliau tidak pernah dengar ada parti dalam PR yang tolak sepenuhnya hukum hudud melainkan Pengerusi DAP itu sahaja.

Sehubungan itu, katanya, Pas menganggap penolakan Karpal atas sifatnya sebagai individu, bukan mewakili DAP.

“Individu kita tak ambil kira. Jadi Pas tetap dengan perjuangannya,” katanya.

Dalam pada itu, Harun menjelaskan, apa diperjuangkan Pas bukan semata-mata hudud, tetapi sistem pemerintahan Islam secara menyeluruh.

“Islam itu ‘addin’ atau cara hidup, bukan hanya hukum hudud. Islam yang kita perjuang meliputi aspek undang-undang, ekonomi, sosial, pendidikan­ dan lain-lain,” katanya.

Harun berkata, Pas konsisten dengan perjuangannya sejak parti ditubuhkan pada 1951.

Dalam satu kenyataan media disiarkan kelmarin, Karpal menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya berhenti mengeluarkan kenyataan bagi pihak PR mengenai hasrat parti itu melaksanakan hudud jika menang PRU13.

Karpal turut membidas Harun yang dikatakan mensabotaj keputusan parti itu pada muktamar Jun tahun lalu untuk tidak lagi mengutamakan agenda negara Islam sebaliknya negara berkebajikan.

“Saya akan tentang cubaan menubuhkan negara Islam,” demikian Karpal dilaporkan berkata dalam kenyataan itu.

Ini katanya kerana PR tidak pernah pun membincangkan sebarang agenda mengenai penubuhan negara Islam.

“Jadi tarikh PRU13 yang sangat hampir, saya harap mereka berhenti membuat kenyataan mengenai negara Islam,” katanya.

Sementara itu, Harun ketika ditanya mengenai spekulasi PRU13 diadakan paling hampir pada 9 Jun ini, berkata, Pas sudah cukup bersedia menghadapinya.

“Kita memang menunggu dan jentera kita sentiasa bersedia. Sama ada berjaya menawan Putrajaya atau tidak saya serahkan kepada ALLAH,” katanya.

No comments:

Post a Comment