Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Monday 5 December 2011

IBARAT KERETA TIADA BREK

 

SHAH ALAM, 5 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno sebagai 'kereta tiada brek' kerana tidak mempedulikan suruhan dan larangan Allah SWT.

Ini kerana, katanya Umno berpegang kepada dasar kebangsaan dan membelakangkan Islam dalam perjuangannya sehingga menyebabkan tidak ada kawalan dalam melakukan perkara duniawi.

Katanya, kerana membelakangkan Islam, maka Umno menolak mukallaf iaitu seseorang itu dipertanggungjawab menjalankan perintah dan larangan-Nya setelah mencapai usia dewasa atau akil baligh.

"Mukallaf ini Umno tak peduli. Kerana apa? Kerana Umno ini dasarnya kebangsaan. Agama kemudian. Jadi mana mukallaf? Umno sudah buang satu kerja yang ditetapkan oleh Allah bahawa tiap-tiap manusia bila akil baligh mesti buat ini, dan mesti tinggal itu.

"Dalam Umno, sebab dia singkir Islam dan ambil kebangsaan, maka tidak ada mukallaf. Sebab itu timbul rasuah, timbul dadah, pecah rumah, rompak, jual bayi, timbul macam-macam perkara kerana rakyat di bawah pemerintahan Umno sudah hilang brek. Kereta tak ada brek. Kereta lumba pun ada brek," kata beliau sewaktu berucap di majlis Rapat Rakyat di perkarangan Stadium Malawati, dekat sini malam tadi.

Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan, brek bagi seseorang manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum ialah takwa kepada Allah.

Jika tiada takwa katanya, manusia akan melakukan apa sahaja yang disukainya.

"Brek ialah takwa kepada Allah. Tiap-tiap manusia Allah bekalkan dengan nafsu. Ada nafsu amarah dan nafsu-nafsu lain.

"Nafsu amarah, kerja dia turut nafsu. Apa sahaja yang nafsu nak, kena buat. Breknya apa? Tak ada.

"Sebab itu Allah suruh bertakwa. Melayu ke kamu, Cina ke, India ke, Orang Asli ke, kena bertakwa. Ini brek. Brek ini ialah bila ada rasa sayang kepada Allah.

"Mahu tidak mahu, Melayu khususnya Melayu muslim kena ingat, takwa kepada Allah ialah brek untuk mengikat nafsu amarah," katanya sambil mengingatkan, syurga dan neraka tetap wujud sama ada manusia yakin atau tidak dengan kewujudannya.

"Syurga, neraka ini bukan projek kerajaan, projek Allah," katanya di hadapan kira-kira 10,000 yang hadir.

Rapat Rakyat itu diadakan sebagai menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin Umno sepanjang perhimpunan agung parti itu yang berakhir Sabtu lalu.

Turut berucap ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan ahli jawatankuasa DAP, Teresa Kok.

No comments:

Post a Comment