Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Tuesday 20 December 2011

‘Berilah saya peluang’

     

JOHOR BAHRU: “Demi meneruskan hidup, walaupun sudah berusia 50 tahun saya terpaksa menjaja tubuh sejak sembilan bulan lalu bagi mendapatkan antara RM5 dan RM10 sehari,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Kak Bi yang mendakwa terpaksa melacurkan diri untuk mencari rezeki selepas hilang tempat bergantung apabila suaminya yang berusia 35 tahun meninggal dunia pada Mac lalu.
Menurut Kak Bi, berikutan faktor usia kehadirannya di lorong gelap itu dianggap janggal di kalangan pelanggan menyebabkan dia terpaksa menunggu antara empat hingga lima jam setiap hari bagi mendapatkan seorang pelanggan.

“Memandangkan sebahagian besar wanita di sini masih muda kerana berusia kurang 40 tahun, ada lelaki berasa pelik dengan saya yang pada awalnya dianggap sebagai ibu ayam.
“Namun, saya terpaksa mengikis rasa malu, malah sentiasa memujuk lelaki berusia antara 20-an hingga 50-an untuk melanggan.

“Adakalanya saya terdesak dan terpaksa menceritakan kisah hidup sebelum mereka setuju melanggan dengan bayaran antara RM5 dan RM10. Ada yang simpati memberikan wang tambahan antara RM20 dan RM30,” katanya ketika ditemui di Jalan Wong Ah Fook di sini, semalam.

Kak Bi yang berasal dari Gelang Patah berkata, dia tidak pernah mendapat kasih sayang keluarga yang sempurna kerana dibesarkan keluarga angkat.
Menurutnya, pada usia 20-an, dia yang bekerja sebagai operator kilang terpengaruh dengan pujukan teman lelaki hingga terjebak dengan penagihan dadah, malah mendakwa pernah meringkuk dalam penjara dua kali dengan kali terakhir ketika berusia 32 tahun kerana memiliki dadah.

“Selepas keluar penjara pada usia 35 tahun, saya cuba berubah termasuk mencari pekerjaan, namun sia-sia kerana permohonan ditolak dengan alasan saya bekas banduan.
“Saya kembali menagih dadah dan akhirnya disahkan menghidap HIV positif ketika berusia 40 tahun. Ia berlaku kerana saya berkongsi jarum suntikan dengan penagih lain,” katanya.

Bagaimanapun, Kak Bi berkata, dia bersyukur kerana ketika berusia pertengahan 40-an, dia menerima bimbingan dan perlindungan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketika itulah berkenalan dengan arwah suami yang juga seorang sukarelawan.

“Arwah suami juga penghidap HIV positif, hubungan kami bertambah rapat dan mengambil keputusan berkahwin pada Oktober 2010.

“Saya dan suami kemudian berpindah ke rumah ibunya di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. Namun kebahagiaan kami hanya berkekalan lima bulan kerana suami meninggal dunia Mac lalu,” katanya.

Menurut Kak Bi, usahanya untuk kembali mendapatkan perlindungan dengan NGO terbabit gagal apabila permohonannya ditolak kerana tiada kekosongan di rumah perlindungan.

Katanya, dia merahsiakan penyakitnya bagi mendapatkan pekerjaan di beberapa restoran tetapi pengurusan restoran, enggan menerimanya dengan alasan mereka memberi keutamaan kepada pekerja Indonesia.

“Sejak sembilan bulan lalu, saya menyimpan impian untuk keluar daripada kehidupan ini kerana ia cukup menyeksakan. Setiap hari, saya berdoa kepada Allah supaya menunjukkan jalan yang benar dan memberi saya peluang,” katanya.


JKM sedia ringan penderitaan Kak Bi

    
JOHOR BAHRU: Kes membabitkan seorang wanita penghidap HIV berusia 50 tahun yang terdesak melacur bagi meneruskan kehidupan tidak pernah dilaporkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri Johor, Dr Robia Kosai berkata pelacuran bukan penyelesaian untuk mengatasi masalah kewangan sebaliknya ia mampu mengundang lebih banyak masalah pada masa depan.

“Seperti wanita yang menghidap HIV dan lanjut usia ini, dia mungkin boleh tampil ke JKM bagi menyalurkan masalah, memohon bantuan dan mendapatkan kaunseling untuk berubah.
“Saya yakin selain JKM, ramai bersedia membantu golongan seperti ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Menurutnya, hingga kini JKM masih belum mempunyai pusat perlindungan untuk golongan seperti itu sebaliknya menjalin kerjasama dengan NGO bagi menjaga kebajikan mereka.

Oleh itu, pihaknya terkilan dengan masalah wanita berkenaan yang mendakwa terdesak melacur kerana dia bebas untuk memohon bantuan daripada JKM tanpa halangan.
“Mungkin wanita itu tidak mengetahui saluran tepat bagi memohon bantuan dan hanya hilang semangat untuk menempuh masalah serta kesulitan hidup.

“Kami akan menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan masalah wanita terbabit dan menghulurkan bantuan sesuai kepadanya,” katanya.
Pada masa sama, menurut Robia, ini juga kes pertama dimaklumkan kepada pihaknya berkaitan pelacur berusia lanjut.

“Ia mengejutkan tetapi kami akan menghulurkan bantuan sesuai kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Negeri Johor, Khatijah Abdullah berkata, pihaknya boleh membantu pesakit HIV yang ditimpa masalah dengan menyerahkan golongan berkenaan kepada pusat perlindungan swasta yang diselenggara NGO.


No comments:

Post a Comment