Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Wednesday, 6 June 2012

Mohon pertunjuk?


Malam tadi sampai rumah pukul 11.00 mlm, ada lagi malam2 orang nak jumpa, hujan pun dia datang juga, wanita berusia 50 an saya jemput masuk, biasalah masaalah anak-anak, anak lelakinya berusia 14 tahun, tak suka duduk rumah, sekolah tak nak. Anak perempuan pulak umur 17 tahun, SPM tahun ni, selalu keluar malam, suami pulak uzur, lumpuh kemalangan jalan raya setahun lepas. adik2 yang 3 orang lagi nampaknya cenderung nak ikut perangai abangnya..dia menangis dan rakan yang mengikutnya juga menangis.

Kasihan sungguh saya melihatnya, tidak ada apa yang saya boleh buat, sekadar nasihat dan tumpang mengalirkan air mata, dia kata " saya orang bodoh ustaz! , saya tak sekolah, saya tak pandai didik anak, tapi saya nak anak2 saya jadi orang baik. sedih sungguh mendengar keluhannya, airmatanya hampir sama dengan curahan hujan malam tadi.

Saya cuma nasihatkan agar perbanyakkan berdoa dan tak jemu-jemu untuk menasihati anak-anaknya, bangunlah ditengah malam , bermunajat kepada Allah moga Allah buka pintu hati mereka untuk menjadi insan yang baik, berdoalah dengan penuh pengharapan, jangan hanya menangis dihadapan saya, tetapi menangislah dihadapan Allah, merayulah dengan Allah kerana dia adalah Rabb yang sangat mengasihani hamba-hambaNya.

Saya sebenarnya sangat takut ,kerana anak saya ramai dan masih kecil-kecil lagi dan selalu saya sebut dalam kuliah saya supaya jangan suka menghina anak orang dan memuji anak sendiri, kerana pada masa akan datang kita tak tahu apa akan terjadi, fitnah hari ni terlalu hebat, sekelip mata terlepas pandang, anak kita akan terjerumus, keliling kita adalah suasana yg banyak mengajak kepada kehancuran, kejahatan sentiasa melambai-lambai dan memanggil-manggil. 

Bukan semua ibubapa berkemahiran untuk mendidik anak, tidak boleh disalahkan mereka 100%, setiap orang ada tahap pemikiran dan kemampuan bertindak yang berbeza, mereka memiliki sifat yang berbeza, ada yang tegas, ada yang lembut, ada yang terlalu tegas dan ada pula yang terlalu lembut, semua sifat ini akan ada pengaruh pra dan kontra dalam usaha pendidikan anak-anak, begitu juga tahap pengajian ibubapa, maka tidak patut disalahkan ibubapa sepenuhnya. Saya terkadang tidak bersetuju dengan ustaz2 didalam TV dan Radio yang hanya berhujjah bahawa gejala sosial berpunca dari ibubapa semata-mata, sedangkan masih ada lagi faktor besar selain ibu bapa yang mempengaruhi sikap anak-anak.

Saya pernah dipanggil oleh pihak polis kerana mereka mendapat aduan dari seorang pengerusi Masjid, setelah tidak berpuas hati dengan khutbah jumaat saya yang menegur tiga buah pusat video game yang beroperasi ditempat saya. Rakyat memiliki sifat yang berlainan tetapi ciri-ciri pemimpin yang wajib kita pilih telah diberi garispandu oleh Allah dan RasulNya. Kita disuruh memilih pemimpin yang bertaqwa yang takutkan Allah, pemimpin yang bukan sahaja tidak menzalimi rakyat tetapi juga mendidik rakyat supaya menjadi manusia yang takutkan Allah, pemimpin yang sentiasa berusaha untuk mencegah rakyatnya dari melakukan kemungkaran, pemimpin yang sentiasa berusaha untuk menutup pintu-pintu kemungkaran, supaya rakyatnya selamat dari terjerumus kedalam lembah kemurkaan Allah. Pemimpin yang sentiasa membina bi'ah atau suasana negara yang mendorong rakyatnya supaya cenderung kepada agama.

Saya juga sempat menasihati beliau supaya kembali kepada Islam, hanya Islam sahaja yang akan memuliakan penganutnya, disamping kita berdoa, kita kena jauhi dari menjadi penyokong golongan zalim, kerana golongan zalim adalah golongan yang doanya tidak diterima Allah. Jika kita merasakan bahawa Islam adalah jalan penyelesaian terbaik, maka kita kembalilah kepada Islam, Jika kita merasa yakin bahawa Islamlah yang memuliakan kita, maka kita pilihlah pemimpin yang cintakan Islam, supaya ia dapat memimpin kita kepada Islam..dia angguk " InsyaAllah Ustaz, saya faham" sambil menghulur cebisan kertas tertera nama dua orang anaknya untuk saya dan pelajar solat hajat.

Dia bangun dan tersenyum, terpancar diwajahnya sinar harapan, sampai muka pintu selendang birunya jatuh, dia tunduk mengambilnya, rambut keritingnya berjebak, moga tiada dosa untuk saya kerana tidak sengaja memandangnya. sekali lagi dia senyum t.kasih ust ye! .saya mengharapkan dia datang lagi tetapi dengan keterampilan yang berbeza.

No comments:

Post a Comment