Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Tuesday, 12 June 2012

Bebaskan Mat Sabu


Harakahdaily, 11 Jun 2012 

PULAU PINANG: Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu yang didakwa kerana dikatakan memfitnah polis Bukit Kepong di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaaan menyaksikan kegemparan apabila pengadu kes tersebut beberapa kali meminta maaf kepada beliau dan meminta Mahkamah membebaskannya dari pertuduhan. 

Saksi pendakwa tersebut Visvanathan a/l Muthu iaitu seorang pesara polis yang memberi keterangan beliau hari ini berulang-ulang kali meminta maaf kepada Mat Sabu sambil mengangkat tangannya kepada Mat Sabu dan meminta mahkamah membebaskan beliau. 

Beliau berkata demikian apabila di soal balas secara panjang lebar oleh peguambela Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin di Mahkamah Sesyen hari ini. 

Semasa pemeriksaan balas tersebut beliau mengakui bahawa laporan polis yang beliau pada 27 Ogos 2011 adalah semata-mata berdasarkan laporan Utusan Malaysia pada tarikh yang sama. 

Berikut adalah antara lain petikan soal balas Hanipa dengan saksi tersebut. 

Soalan peguambela (S): Kamu setuju kamu sendiri tak dengar ceramah Mat Sabu? 
Jawapan saksi(J): Ya, setuju. 

S: Kamu setuju apabila kamu tak dengar apa yang Mat Sabu kata, kamu sebenarnya tak tahu apa yang Mat Sabu kata? 
J: Ya. Setuju. 

S: Cuba kamu lihat laporan laporan akhbar Utusan dan petikan ucapan Mat Sabu, setuju tak apa yang ditulis oleh Utusan adalah tidak sama dengan apa yang Mat Sabu kata? 
J : Ya, setuju. 

S : Mat sabu tak ada kata perkataan komunis langsung dalam ucapan beliau tapi Utusan ada kata, betul tak? 
A : Betul. 

S: Kamu setuju atau tidak apa yang kamu tulis dalam laporan polis kamu yang katakan Mat Sabu menfitnah polis dan menyokong komunis adalah tidak betul? 
J : Ya, setuju. 

S : Jadi laporan polis kamu tidak betul dan saya katakan bukan Mat Sabu yang memfitnah polis tetapi kamu yang sebenarnya memfitnah Mat Sabu dalam laporan polis kamu? 
J : Ya, saya setuju. Saya mahu minta apology (maaf) kepada beliau (sambil tunjukkan tangan minta maaf pada Mat Sabu yang ada di kandang orang kena tuduh). 

S : Dalam laporan polis kamu ada sebut minta polis ambil tindakan undang-undang Mat Sabu, kamu masih mahu 'stick' kepada apa yang kamu katakan? 
J : Tidak, saya mahu minta maaf pada Mat Sabu dan 'he is now my brother'. Saya mahu Mat Sabu dibebaskan. 

S: Kamu kata Mat Sabu derhaka pada Yang Dipertuan Agong, saya ingin tanya pada kamu macam mana kamu boleh kata dia derhaka kepada Agong, sedangkan pada masa peristiwa Bukit Kepong Malaysia belum wujud dan Yang Di Pertuan Agong pun belum ada. Macam mana Mat Sabu boleh derhaka pada benda yang belum ada? 
J :Saya tidak boleh jawab soalan itu. 

S: Jadi kamu setuju kamu tidak cakap benda betul dalam laporan polis kamu? 
A: Setuju. 

Saski juga mengakui dia tidak tahu di mana Bukit Kepong dan apabila terus ditanya oleh Hanipa beliau menyatakan Bukit Kepong terletak di Selangor dan Hanipa lantas menyampuk "Itu Kepong bukan Bukit Kepong!" 

Saksi tersebut yang mengidap diabetik beberapa kali terpaksa berhenti memberi keterangan kerana dikhuatiri akan pengsan kerana berdiri terlalu lama. 

Apabila disoal semula oleh pihak pendakwa saksi sekali lagi meminta maaf pada Mat Sabu dan berkata beliau menyesal (kerana buat laporan polis ke atas Mat Sabu). 

Selepas selesai memberikan keterangan saksi tersebut dilihat berjalan menuju ke kandang Mat Sabu dan terus bersalam dengan beliau dan meminta maaf sekali lagi. 

Kes kemudiannya ditangguhkan ke 13,16 dan 17 Julai depan kerana Hanipa memaklumkan mahkamah bahawa Mat Sabu sedang menunggu tarikh rayuannya di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang enggan membatalkan pertuduhan ke atas beliau. 

Mat Sabu diwakili oleh Mohamed Mohamed Hanipa Maidin, Amin Zulkifli dan Nasar Khan manakalan Encik Husaini mewakili pihak pendakwa. 

Galeri Mahkamah yang dipenuhi pemerhati turut menyaksikan kehadiran Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan Ahli Majlis dari DAP iaitu saudara Francis.

No comments:

Post a Comment