Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Friday, 4 May 2012

Hisham Rais: Belum habis gas pemedih ditembak, saya ditanya bila BERSIH 4.0?

Sungguhpun adegan polis membelasah peserta perhimpunan BERSIH 3.0 yang menyarat dalam laman internet amat menyayat hati ketika disaksikan, namun semangat di sebalik perjuangan ini cukup memberangsangkan. Dalam satu forum semalam, Hishamuddin Rais, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH telah mengisahkan pengalamannya di situ, melihat bagaimana anak muda bangkit menentang penguasa.

 Pada kira-kira jam 6.30 petang, Hishamuddin Rais bersama kawannya duduk di situ sambil memperhatikan bagaimana anak muda berkejaran dengan polis. Apabila polis berundur, anak muda ini kejar dari belakang; dan apabila gas pemedih mata dilepaskan, anak muda itu pula melarikan diri. Kerja-kerja yang suka dilakukan dirinya dahulu, akui Hishamuddin Rais. Kemudian beliau menerima panggilan daripada Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, yang memesan agar Hishamuddin Rais "menyuruh budak-budak ini balik".

"Masalah yang paling besar sekali untuk saya ialah memadamkan perjuangan anak-anak muda. Saya tak berani. Apabila tiba-tiba saya lalu situ ada satu budak datang. Dia pandang muka saya. Eh, abang Hisham ke? Ya, betul. Tu masih tembak-tembak (gas pemedih mata di sana). Budak tu tanya, bang, BERSIH 4 bila?"

Semua hadirin bertepuk dan bersorak mendengar ceritanya. Hishamuddin Rais menghabiskan ayatnya, "Saya ingat saya nak tampar dia. Belumpun habis pertempuran, dia tanya pula bila BERSIH 4.0?"

 Selepas Hishamuddin Rais (gambar kanan) berkongsi kisahnya, seorang ibu mengambil kesempatan dalam sesi soal-jawab untuk berkata, bahawa dirinya telah bersedia dari segi fizikal mahupun mental, bahkan spiritual, untuk menghadiri BERSIH 4.0.

Demikianlah keadaannya dalam forum "Pasca BERSIH 3.0: Keganasan Polis dan Media 'Blackout'", anjuran Akademi Pak Sako dan laman JalanTelawi.com, di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Selain Hishamuddin Rais, panelis yang diundang termasuklah Aziz Bari (Pakar Perlembagaan), Latheefa Koya (pemimpin PKR), Haziq Abdul Aziz (Aktivis mahasiswa, KAMI) dan Haijan Omar, peguam yang dibelasah sewaktu himpunan BERSIH 3.0. Forum tersebut menarik kira-kira 200 orang, sehingga dewan tersebut penuh dan sesak.

Janji Hishamuddin Rais: Jutaan akan turun


Perbincangan dilanjutkan apabila seorang hadirin bertanya, apa seterusnya apabila kita berdepan dengan tiga kemungkinan senario, dengan pertamanya, Barisan Nasional menang; kedua, Pakatan Rakyat menang dan ketiga, "hung parliament" (parlimen tergantung, situasi di mana tiada parti mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mutlak).

 Pakar perlembagaan, Abdul Aziz Bari (gambar kiri) memperingatkan agar media memainkan peranannya untuk menghalang campur tangan istana, seandainya situasi "parlimen tergantung berlaku". Beliau menjangkakan pihak tertentu akan memohon agar istana mencampur tangan, namun Aziz Bari tidak yakin istana mampu memainkan peranannya dengan baik, melihat kepada pengalaman krisis negeri Perak pada tahun 2009.

Berbeza dengan Abdul Aziz Bari, yang mengelak untuk membincangkan senario "seandainya Barisan Nasional menang", Hishamuddin Rais terus menganjurkan perhimpunan jalan raya seandainya Najib Razak bersama kerajaannya menang dengan pilihan raya yang kotor.

"Ini bukan ancaman daripada saya, ini adalah janji," tegas Hishamuddin Rais. Beliau berkata, setelah melalui BERSIH 1, 2.0 dan 3.0, maka rakyat sudah menjadi graduan. Maka tidak perlu lagi rakyat menunggu kenyataan media Ambiga untuk BERSIH 4.0, dan boleh terus menganjurkan perhimpunan sendiri di jalan raya dengan melaungkan "Tipu! Tipu!", katanya.

Tuntutannya agar keputusan PRU dibatalkan, ditubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru yang bukan dari kalangan ahli UMNO, dan kemudian mengadakan pilihan raya yang baru - seandainya Najib enggan tunduk untuk membersihkan sistem pilihan raya sebagaimana yang dituntut dalam BERSIH 3.0. Untuk Hishamuddin Rais, kemenangan melalui penipuan perlu ditolak oleh rakyat.
 

No comments:

Post a Comment