Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Saturday, 16 February 2013

MURAH HATI DAN DERMAWANNYA RASULULLAH S.A.W.



 Gambar hiasan

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang murah hati dan dermawan terhadap para ummatnya. Terutama sekali pada bulan Ramadhan, murah hati dan kedermawanannya laksana angin yang menghembus, yakni tidak putus-putusnya sehingga tidak ada sesuatu pun yang akan tinggal lagi dalam tangannya yang mulia itu.

Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a., ketika mensifatkan peribadi Nabi s.a.w., katanya: Baginda adalah orang yang amat murah hati di antara sekalian manusia, tangannya sentiasa terbuka untuk memberi, dadanya sentiasa lapang untuk memaafkan, tutur bicaranya sentiasa benar pada segala hal, janjinya sentiasa ditepati, sikapnya sentiasa lunak, pergaulannya sentiasa atas dasar kemuliaan, siapa saja yang melihat Baginda tetap merasakan kehebatannya, siapa yang pernah bergaul dengan Baginda secara berkenalan terus akan mencintainya.

Orang yang menceritakan tentang sifatnya berkata: Saya belum pernah melihat seorang pun seperti Baginda, baik di masa dahulu, mahupun sekarang. Tidak pernah dimintai sesuatu barang, melainkan Baginda akan memberi si peminta itu.

Suatu masa, seorang telah mendatangi Nabi s.a.w. seraya meminta sesuatu daripadanya. Maka Baginda pun memberinya sekelompok kambing yang banyak, sehingga menutupi jalan antara dua bukit. Orang itu kembali kepada kaumnya seraya berkata: Wahai kaumku! Masuklah Agama Islam, kerana Muhammad memberi pemberian orang yang tidak takut menjadi miskin. Dan ia tidak pernah menolak sesiapa yang meminta atau tidak tahu berkata: Tidak ada.

Pernah dalam suatu peristiwa, Baginda telah dibawakan wang sebanyak 90,000 dirham, lalu diletakkannya wang yang banyak itu di bawah tikar. Maka mulalah Baginda membahagikannya kepada sesiapa yang memerlukan wang itu, tiada seorang pun yang ditolaknya sehingga habis semua wang itu dibahagi-bahagikan.

Dalam peristiwa yang lain pula, telah datang seorang menemui Baginda seraya meminta darinya sesuatu. Maka jawab Baginda: Dukacita, masa ini saya tidak mempunyai apa-apa. Tetapi pergilah beli sesuatu dan harganya hutangkanlah atas saya. Nanti bila ada rezeki yang datang, akan saya lunaskan hutang itu.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab yang kebetulan ada di situ merasa kurang senang dengan sikap Baginda sampai begitu sekali, lalu berkata kepada Baginda: “Wahai Rasulullullah! Tuhan tiada memberatimu atas hal-hal yang engkau tiada berkuasa atasnya.”

Ucapan Umar itu agak menyinggung perasaan Baginda s.a.w. Tetapi orang itu pula segera menyahut: Belanjakanlah hartamu dan jangan takut dari Zat (Tuhan) yang menguasai Arasy akan dikurangi harta itu. Mendengar itu, Baginda segera tersenyum dan kelihatan pada raut wajahnya tanda kegembiraan dengan ucapan orang itu.

Dalam suatu peristiwa yang lain lagi, setelah selesai Rasulullah s.a.w dari peperangan Hunain, Baginda telah didatangi oleh kumpulan orang-orang Arab dusun meminta-minta kepadanya, sehingga Baginda terpaksa berlindung di bawah sebatang pohon. Dalam pada itu, kain rida’nya (selendangnya) juga sempat direnggut oleh mereka. Kembalikanlah kepadaku kain rida’ku! Seandainya aku mempunyai harta yang banyak seperti banyaknya duri-duri di pohon ini, nescaya aku akan bahagikan di antara kamu sekalian. Kemudian sesudah itu, kamu tidak akan mendapatiku lagi sebagai seorang yang kikir atau pembohong atau pengecut.


No comments:

Post a Comment