Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Friday, 8 February 2013

TAWADHU' RASULULLAH S.A.W.



Dalam kemelut kehidupan kita yang terkadangnya ego dan sombong menjulang tinggi peribadi, kesukaran mencari model contoh yang terbaik dan cerminan kepada diri maka dalam beberapa siri Renungan Jumaat akan datang kita akan siarkan ciri dan sifat Rasullullah SAW untuk renungan dan penghayatan kita.

 Sekalipun tinggi kedudukannya dan mulia martabatnya antara para sahabat sekalian, namun Baginda sentiasa bersifat merendah diri.

Baginda mengenderai keledai dengan beralaskan sekeping tikar saja, dan terkadang-kadang membiarkan di belakangnya diboncengi orang lain pula.

Baginda sering melawat pesakit-pesakit dan mengiringi jenazah ke perkuburan. Baginda mengkabulkan undangan hamba sahaya, menjahit kasutnya sendiri, menampal bajunya sendiri. Baginda selalu membantu ahli rumah dalam urusan kerja rumah tangganya.

Para sahabat tidak pernah bangun untuk menghormatinya ketika ia tiba, kerana perkara itu amat dibencinya.

Bila Baginda berlalu di tempat kanak-kanak bermain, Baginda selalu memberi salam kepada mereka. Baginda duduk bersama-sama para sahabatnya bercampur aduk, seolah-olah ia salah seorang dari mereka, sehingga apabila ada orang gharib (asing) yang datang, sukar baginya untuk mengenal, mana satu Nabi kecuali setelah diberitahukan kepadanya.

Ketika sedang duduk-duduk dalam suatu majlis bersama-sama para sahabat, mereka berbual-bual mengenai urusan keakhiratan, Baginda turut bersama-sama membicarakan tentangnya. Jika mereka berbual-bual tentang makan-minum, Baginda turut juga membicarakan perkara yang sama, sebagai tanda belas kasihan dan tawadhu’nya kepada mereka sekalian.

Para sahabat sekalian selalu juga melagu-lagukan syair-syair dalam majlisnya. Dan terkadang-kadang mereka menyebut-nyebut beberapa perkara yang pernah dilakukan dalam zaman jahiliyah dahulu, sehingga menimbulkan perasaan geli hati dan tertawa. Apabila mereka sekalian tertawa, Baginda hanya turut tersenyum.

Baginda tidak pernah melarang para sahabat sekalian dari perkara-perkara tersebut, melainkan jika ada yang haram, maka ketika itu Baginda tidak akan tergesa-gesa lagi untuk melarangnya.

No comments:

Post a Comment