Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Wednesday, 4 July 2012

Pengamal perubatan

 

Mendengar kisah seorang pengamal perubatan tradisional. Pada saya, orangnya handal juga. Rawatannya banyak menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan zikir. Ujian berlaku ke atas anaknya yang tinggal ratusan kilometer jauh. Selepas 5 hari sakit dan sudah 2 hari masuk wad, barulah anaknya telefon meminta bantuannya. Menurut anaknya, sudah 5 hari tidak tidur. Doktor itu kata masalah jantung, doktor ini kata buah pinggang, doktor inun kata paru-paru……. Biasalah. 

Pengamal perubatan tradisional ini tiba di hospital pada pukul 3 pagi. Anaknya turun dari wad. Rawatan dilakukan di kaki lima. Sekejap sahaja rawatannya, si anak terus sihat. Tidak ada sakit apa-apa lagi. Esoknya terus keluar dari hospital. 

Kemudian anaknya itu ke luar negara, ribuan batu jauhnya ke Timur Tengah. Jatuh sakit lagi. Panas, menyucuk dan serba-serbi lagi dalam badan. Dia minta bapanya ikhtiarkan. Oleh kerana jauh, bapanya dan sanak saudara hanya mampu berdoa. Gerak yang diminta oleh si bapa tidak sampai-sampai. Terpaksalah meminta agak anaknya banyak bersabar. 

Suatu ketika sampai bantuan daripada Allah melalui teknik seakan-akan teknik TKR. Terbuka hijab dan si bapa dapat melihat pancang kayu yang tergantung padanya hati beruk. Hati beruk itu dicucuk dengan benda-benda tajam dan dinyalakan api pula di bawahnya. Patutlah si anak sakit teruk. Begitulah permainan sihir. 

Secara makrifat, si bapa memukul dari jauh. Jatuh binaan yang dibuat itu tapi belum rosak. Pukulan kali kedua berjaya menghancurkannya. Kemudian terlihat seorang bomoh orang asli cuba hendak lari. Si bapa menikam dari belakang, tersungkur. Kemudian nampak pula seorang wanita. Itulah pengupahnya. 

Setakat itu sahaja cerita orang lama ini. Ketika kejadian di atas berlaku, anaknya sudah memakai baju untuk menjalani pembedahan. Tiba-tiba sahaja dia berasa sihat. Pembedahan dibatalkan lalu dia keluar dari hospital. Kalau tidak, asyik kena ‘sembelih’lah (bedah) dengan doktor dari semasa ke semasa kerana para doktor pun tidak jelas akan masalah yang dialami oleh si anak. 

Sebenarnya saya meminta khidmat pengamal perubatan ini untuk mengesan satu barang sihir kepunyaan seorang tukang sihir melalui teknik TKR. Malangnya tak dapat kerana tukang sihir dan jin sihirnya pandai mendinding barang mereka. 

Berbalik kepada kisah para doktor tadi. Kita akui ilmu kedoktoran sangat bagus. Jahillah kita jika kita menafikannya. Namun di sini saya juga ingin mengkongsikan satu pengalaman sendiri untuk direnungkan bersama-sama. 

Suatu ketika anak saya sakit dalam badan, menangis menjerit-jerit dan berhempas-hempas serta muntah-muntah sampai lembik. Bawa ke klinik seorang doktor veteran. Dia gagal menyatakan masalah yang sedang dihidapi oleh si anak. Akhirnya dia beranggapan anak saya keracunan. Makanlah ubat. 

Bawa ke klinik kedua, juga seorang doktor veteran, wanita. Pertama kali saya melihat seorang doktor duduk tersandar dan termenung panjang. Dia tidak punya penjelasan. Katanya mungkin sebab badan panas. Akhirnya doktor ini memberi petua tradisional pula. Antaranya suruh minum air didih nasi. Dia mencadangkan agar dibawa ke wad sekiranya keadaan bertambah teruk. 

Berjumpa pula seorang doktor pakar kanak-kanak. Yang ini boleh tahan. Dia mengesan punca sakit dari dalam perut, terus dia ‘paksa’ buang air. Dia juga tidak punya penjelasan yang tepat, tapi sekurang-kurangnya dia menemui lokasi punca masalah. 

Berjumpa pula seorang doktor muda. Katanya virus dalam perut. Berjumpa pula seorang lagi doktor muda. Katanya appendiks. Lagi karut! 

Bawa anak masuk di hospital yang cawangannya di beberapa negara Asia, kata pakar bedahnya mungkin appendiks. Sejahil-jahil kita pun, dengan serba sedikit ilmu perubatan Islam, kita tahu ia bukan appendiks. Saya buat keputusan akan bawa keluar anak sekiranya mereka mahu membedahnya. 

Datang pula seorang doktor pakar kanak-kanak. Dia juga tiada penjelasan kerana keputusan ‘scan’ dan ujian darah memang cantik, normal. Akhirnya dia menurut sahaja kata-kata saya iaitu suntik ubat tahan sakit, masukkan air, dan turunkan panas badannya. Sehari semalam sahaja di wad, sudah boleh keluar dan kembali sihat. 

Semua peristiwa ini berlaku hanya dalam masa beberapa hari. Sangatlah sibuknya kami ketika itu, tidak terurus hidup. “Gangguan’? Ya, memang ada. Bersusah-payah kami dan para perawat lain berusaha berhari-hari. Gangguan kita rawat dengan kaedahnya, tapi sakit fizikal tetap dirawat dengan kaedah fizikal juga. Dua-dua berjalan serentak. 
WaAllahua’alam. 
Buah Zakar Naik ke Atas 

Seorang kanak-kanak lelaki mengaduh sakit perut lalu dibawa kepada seorang perawat. Perawat itu memeriksa perut kanak-kanak itu. Kemudian dia meminta kebenaran untuk melihat bahagian kelangkang kanak-kanak itu. Dia menunjukkan kepada keluarga kanak-kanak itu, memang jelas yang kedua-dua buah zakar si kanak-kanak tidak ada. Maksudnya sudah naik ke atas. Perawat itu pun melakukan sedikit urutan dan dalam beberapa minit dia berjaya menurunkan semula kedua-dua belah buah zakar kanak-kanak itu. Dia menyarankan agar kanak-kanak itu mendapatkan rawatan daripada orang yang lebih berkeahlian. Semua yang di atas berlaku di depan mata saya sendiri. Bahkan saya sendiri turut memeriksa kantung buah zakar kanak-kanak itu. 

Beberapa jam kemudian ketika di rumah, buah zakar kanak-kanak itu naik lagi. Bapa saudaranya berusaha melakukan urutan dan berjaya. Beberapa jam kemudian, berlaku lagi. Ibunya pula melakukan urutan dan berjaya. Malam itu giliran saya pula, dan dengan izin Allah, saya juga berjaya meletakkan buah zakar si kanak-kanak ke tempatnya walaupun saya tidak pernah belajar ilmu ini.

Esoknya seorang otai yang sudah lebih 80 tahun usianya dibawa dari Kuala Kangsar. Ketika dia datang, hanya ada sebelah buah zakar. Dia melakukan urutan yang ringkas di samping bacaan ayat-ayat Al-Quran, tidak sampai 2 minit dan berjaya. Cuma caranya nampak macam kasar sedikit (pada kita yang tidak ada ilmu ini). Saya melihat dengan mata kepala sendiri rawatan otai ini. 

Dengan izin Allah SWT, sejak itu kanak-kanak ini terus sihat. 

Sekarang sampailah kepada isi utama yang hendak saya bawa. Sehari kemudian, saya ada berbual dengan seorang doktor tentang hal ini. Bersungguh-sungguh di doktor tidak percaya. Katanya, tidak mungkin berlaku buah zakar boleh turun naik sebegitu. Dia juga tidak percaya yang kaedah urutan bisa menurunkan semula buah zakar. Saya anggukkan sahaja kerana tidak mahu memanjangkan perbezaan pendapat dalam hal ini. 

Pada saya, 100 peratus saya percaya kerana saya melihat sendiri, melakukan sendiri dan dilakukan pula oleh 5 orang pada 5 masa berbeza. 

Anda bagaimana? 

Abu Zulfiqar 
28 JUN 2012 

Admin: Hanya kepada Allah kita berserah diri, bertawakal dengan jalan yang betul lagi direhdai olehNYA.

No comments:

Post a Comment