Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Tuesday, 22 November 2011

DENGARLAH WAHAI ALIM ULAMA



Kenapa umat Islam, hatta di kalangan ulama-ulama terbuang di Malaysia, tidak bersependapat dan sepakat dalam hal pelaksanaan hukum hudud? Malah mereka dilihat bertentangan antara satu sama lain. Seolah-olah hukum hudud itu ada pilihan untuk melaksanakannya atau tidak melaksanakannya. Berikutan kecelaruan itu, apakah pandangan Dato' dalam perkara ini?
Dato' Dr. Haron Din : Berlainan dan percanggahan pendapat dalam Islam adalah perkara lumrah dari dahulu hingga sekarang. Bagaimanapun perlulah diketahui bahawa berlainan pendapat itu, ada yang diharuskan syarak dan ada yang dilarang. Malah ada yang amat-amat dilarang.

Yang diharuskan adalah pada perkara-perkara/ furu'iyyah (masalah-masalah cabang) yang tidak ada nas syarak yang memastikannya. Adapun yang diharuskan berkhilaf, adalah pada ruang berijtihad pada perkara yang ada tiada nas syarak, tidak ada ayat yang menetapkan hukumnya. Lebih-lebih lagi pada perkara yang baru timbul, di mana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Contoh jelas yang diharuskan berkhilaf. Seperti bila mana sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W tidak bersependapat, sama ada hendak menghimpun dan menulis semula Al Quran. Abu Bakar As Siddiq R.A berpendapat tidak boleh dibuat kerana Rasulullah S.A.W tidak melakukannya dan tidak pernah ada suruhan melakukannya. Oleh kerana itu beliau berpendapat, ia tidak boleh dilakukan. Manakala Umar Al Khattab R.A berpendapat, perlu dilaksanakan usaha pengumpulan dan penulisan Al Quran kerana dibimbangi akan hilang daripada hafalan ummah. Sebabnya pernah berlaku, ramai penghafal Al Quran yang terkorban syahid. Generasi kemudian akan kehilangan Al Quran. Setelah mereka bertelagah, akhirnya mereka bersetuju perlu dihirnpun dan ditulis semula Al Quran.

Demikian juga mereka bertelagah dalam memilih seorang ketua negara untuk menggantikan Rasulullah S.A.W, bagi meneruskan pemerintahan Islam. Mereka bertelagah pada memilih orang, yang akhirnya mereka bersetuju memilih Abu Bakar As Siddiq.

Dalam permasalahan hudud, perlu atau tidak melaksanakannya, telah dijawab oleh amalan Rasulullah S.A.W, para sahabat dan juga as-salafussoleh. Perlu melaksanakannya. Mereka tidak pernah bertelingkah kerana wujud nas-nas syarak yang amat jelas, menyuruh kita, khasnya pihak berkuasa agama, pada setiap generasi, pada setiap negara, wajib melaksanakannya.

Sepatutnya tidak berlaku pertentangan pendapat di kalangan ulama-ulama muktabar, khasnya ulama 'amilin (yang beramal dengan ilmunya), jika kesemua mereka benar-benar takutkan Allah dan melaksanakan perintah Allah. Bagaimanapun jika ada di kalangan mereka, yang takut akan kehilangan maslahat keduniaan, daripada kemurkaan Allah Taala dan azabnya, maka akan berlakulah apa yang anda ajukan pada persoalan di atas, bahawa ada ulama bertelingkah.

Setiap satu dalam kesalahan hudud (mencuri, merompak, berzina, menuduh zina, meminum arak, murtad) semuanya telah ditetapkan Allah hukumannya di dalam Al Quran (dan terang hukumnya) dan juga hadis-hadis sahih, maka pelaksanaannya adalah wajib.

Seperti Allah Taala memerintahkan kita melaksanakannya dalam perintah-Nya menerusi ayat (mafhumnya), "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik". Surah Al Maidah:49

Di kalangan ulama-ulama muktabar tidak berlaku khilaf dalam kewajipan melaksanakannya. Ini kerana mempertikaikan kewajipannya, adalah bererti melawan dan mempertikaikan hukum Allah yang sabit wajibnya. Jika berlaku demikian, maka bererti mereka melawan hukum Allah. Mengendalakan hukum Allah, mempertikaikan hukum Allah adalah menentang Allah. Firman Allah (mafhumnya), "Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar". Surah At Taubah:63

Ayat-ayat yang sedemikian maksudnya, banyak berulang dalam al-Quran. Antaranya firman Allah (mafhumnya), "Orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu daripada mereka ditimpa kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang menghina.

"Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, mereka termasuk dalam golongan yang amat hina. Surah Al Mujadilah, ayat 5 dan ayat 20.

Ulama muktabar atau ilmuan yang terbilang, tidak mungkin bertelingkah kerana mereka tahu akibat penentangan itu akan menghadapi seksa Allah yang amat keras menunggu mereka. Ada kalangan ulama yang menjadi ahli politik, menggunakan akal pendek mereka dan menilai kepentingan dan pulangan-pulangan duniawi, atau membela dan mempertahankan kedudukan, atau kepentingan-kepentingan khusus, yang mereka berselindung di sebalik kalimah (bahasa) yang seolah-olahnya mereka bukan menentang, tetapi sebenarnya menentang.

Ini kerana dalam hati mereka, mereka tidak mahu melaksanakan hukuman hudud. Sebenarnya hukum-hukum hudud tidak ada pilihan bagi kita, melainkan mencari jalan yang terbaik untuk melaksanakannya, dan sama-sama menggalas amanah untuk memahamkan masyarakat tentang kebaikan hukuman itu, bagi dilaksanakan sebaik-baiknya tanpa sebarang kecelaruan.

No comments:

Post a Comment