Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Sunday, 7 August 2011

TAZKIRAH DAN MERAIKAN ORANG FAKIR BERBUKA PUASA BERSAMA USTAZ AZHAR IDRUS

  
KEMAMAN: Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai meraikan kira-kira 80 orang fakir miskin bagi setiap Unit Peti Undi (UPU) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai.


Program tersebut diadakan sempena Iftar Ramadan bersama Pendakwah Bebas, Ustaz Azhar Idrus di Puteri Foodcourt, Bandar Baru Bukit Mentok, Chukai, Kemaman pada 5 Ogos lalu.


Berikutan itu, tidak kurang dari RM10,000 akan dibelanjakan setiap bulan bagi tujuan kebajikan memperbaiki rumah, bantuan fakir miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim.

Pengerusi MTD Chukai, Haji Hanafiah Mat berkata objektif utama program seumpama ini diadakan bagi merealisasikan konsep Negara Berkebajikan.


Katanya, program tersebut telah lama diamalkan oleh PAS sebagai sebuah parti gerakan Islam sebelum dikomersialkan pada Muktamar Agung Tahunan PAS yang lalu.


“Majlis (Iftar) hari ini juga bertujuan mengumpul Dana Infak Dun Chukai. 80 orang fakir miskin diraikan dengan pengagihan sumbangan berupa beras, barangan dapur dan wang tunai.

“Objektif kita (PAS) jelas, untuk merealisasikan konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan dan dikomersialkan oleh PAS pada muktamar kita yang lalu,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis tersebut.


Menurutnya, pihak MTD menetapkan empat bulan sekali setiap cawangan PAS dalam Dun Chukai ini akan mengagihkan sumbangan tersebut. 


Malah, katanya MTD Chukai komitmen memperuntukkan sejumlah tertentu dari dana infak tersebut bagi melaksanakan aktiviti berkenaan.


Selain itu, Hanafiah mendakwa kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu hanya memberikan bantuan ‘terpilih’ dan tidak adil kepada rakyat.


“Umno-BN hanya beri bantuan ‘terpilih’ kepada yang sokong parti mereka sahaja. Ini (bantuan) tidak adil kepada rakyat.


 “Kita (PAS) semasa jadi kerajaan dan memerintah negeri Terengganu ini semua orang tanpa mengira fahaman politik dan kaum dapat bantuan kerajaan kita (PAS),” jelasnya.


Tinjauan mendapati hampir 1000 orang hadir pada majlis tersebut dan sempat mendengar tazkirah Ramadan serta sesi soal jawab agama bersama Ustaz Azhar Idrus.

Selepasmajlis berbuka puasa beramai-ramai turut diadakan solat maghrib berjamaah yang diimamkan oleh Ustaz Azhar serta solat Isyak dan Terawih bersama anggota Unit Amal.








No comments:

Post a Comment