1
Sebelum balik berhari raya
Dalam seronok-seronok jangan terlupa
Kerja dibereskan segera
Jangan ingat cuti saja
2
Dalam seronok-seronok jangan terlupa
Keselamatan rumah hendaklah dijaga
Pintu dan tingkap dikunci mangga
Maklumkan jua ke jiran tetangga
3
Kenderaan pastikan di teliti diperiksa
Biar berada dalam sempurna
Jangan nanti rosak di mana-mana
Kelak tak sempat pulang beraya
4
Akhir sekali paling utama
Patuhilah keselamatan jalan raya
Jika memandu jangan berlumba
Biar lambat asal selamat tiba.
EHSAN JAMILY
FAJAR SYAWAL YANG BERKACA DI UFUK TIMUR
Bicara bayu membelai singgah di ranting diam
Seperti petang
Sangat garang baginya; masa lalu dipenuhi
Lampu-lampu pecah
Berserakan di lantai dan sayap-sayap patah;
Kebahagian
Terbelenggu pada langit yang menggambar
Sejumlah wajah kelabu;
Nasib luka tersedu-sedu.
Kini aku rindu memeluk orang-orang ketawa;
Sejuta kembang
Tumbuh mesra di matamu
Menerbitkan kasidah merdu semanis fajar
Syawal di ujung muara
Suara Ramadan
Saat manis kemenangan dalam perjuangan
Mematahkan setiap ranting godaan nafsu
Yang selalu ingin merosakkan citra kemanusiaan
Sang hamba Tuhan
Yang hakiki
(semoga besok masih ada jalan
Yang menyampaikan akau di tebing Ramadan
Yang telah banyak mengasuh dan mendidik
Menjadi insan yang matang)
Fajar Syawal yang berkaca di ufuk timur
Adalah salam wangi yang dihulur
Maniskan hubungan persaudaraan; segumpal
Sosok insan
Yang telah gugur daun-daun dari pohon dosanya
Lalu menjelma mawar putih wangi; “Selamat
Hari raya
Idul Fitri” ucapanmu penuh kebiruan langit
Lewat telefon
Seperti memanggilku segera pulang
Mendapatkanmu yang masih biru
Yang setia menunggu.
Aku kan degupkan ombak-ombak di laut
Memburu hilang segala pedih peri
Cengkam luka ini.
MOHD ADID AB RAHMAN
SMK Selandar, Melaka.
BERHATI-HATI MENYAMBUT RAYA
Berhati-hati menyambut raya
Jangan kerana hendak beraya
Bertukar baru serbi serba
Jangan sampai bergadai pula
Berhati-hati menyambut raya
Dalam ghairah sakan berbelanja
Berjimat-jimat beringatlah jua
Jangan sampai berzakat dilupa
Berhati-hati menyambut raya
Dalam suka-suka hendaklah berwaspada
Bermain mercun memasang pelita
Jangan sampai terbakar terluka
Berhati-hati menyambut raya
Berziarah sini berziarah sana
Dalam seronok bersuka-suka
Jangan sampai solat terleka
Berhati-hati menyambut raya
Dalam seronok nak pulang ke desa
Memandulah dengan cermat sentiasa
Jangan sampai mengundang bahaya.
EHSAN JAMILY
Parit Keroma, Muar.
DI PIAMA AIDILFITRI
Seuntai sujud
Ketika menyelusuri tanah benua
Yakin wibawa semangat ada
Bersyukur penuh pasrah
Menghirup nafas suci
Lunjak usaha kesinambungan
Di ambal sejadah wangi
Wujud suasana kehidupan berseri
Serlah mulia berkat ratib doa
Ghairah kudus setiap gerakan
Seuntai sujud sepanjang hayat
Ujana semakin wangi
Di piama aidilfitri ini.
JAMALUDIN D
Sungai Petani.
No comments:
Post a Comment