Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Sunday 28 April 2013

SIAPA WAKIL KITA UNTUK N32 DUN AIR PUTIH KEMAMAN?


Calon PAS bagi N32 DUN Air Putih, Kemaman ialah  Cikgu Razak Ibrahim. Beliau merupakan bekas guru yang bersara awal kerana tidak rela secara berterusan menerima tekanan politik. Dikatakan sebagai mangsa tekanan politik zalim UMNO kerana sejarahnya yang ditukar dari Besut ke pedalaman Kemaman kerana fitnah politik yang dihadapinya ketika mengajar di Besut.  

UMNO tak boleh terima manusia yang cenderung dan terlibat dengan PAS sedangkan berapa ramai guru yang bergiat di dalam UMNO tanpa apa-apa tindakan malah diberi pula cuti khas apabila menghadiri Perhimpunan Agung UMNO. Contoh terkini yang terbaik ialah Ketua Sektor di Jabatan Pelajaran Terengganu, Zubir Embong, seorang pemimpin dalam pendidikan boleh diangkat menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Takkan Zubir Embong tup-tup diangkat menjadi calon kalau tidak aktif dalam politik UMNO. Inilah agaknya keadilan acuan UMNO.

Cikgu Razak ialah seorang yang besar jasanya dalam bidang pendidikan. Cikgu Razak merupakan seorang guru pakar dalam bidang pendidikan pemulihan khas apabila dilantik menjadi Ketua jurulatih utama Pendidikan Pemulihan Khas peringkat negeri dan Negara. Bukan sekadar itu, Timbalan Pengarah PASTI Kawasan Kemaman ini turut menerbitkan CD dan buku bacaan untuk Pendidikan Pemulihan Khas. Hasil kerjanya ini sudah banyak manfaatnya kepada anak didik dan kaum keluarga mereka di seluruh Negara amnya, dan di DUN Air Putih khususnya. Sebab itulah beliau mendapat Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Pemulihan Khas

Penampilannya nampak agak bersahaja atau low-profile. Ini adalah fenomena biasa bagi kebanyakan pemimpin-pemimpin yang lebih menekankan kerja daripada berkata-kata. Ini kontradik dengan Zubir Embong yang dikatakan amat pandai berkata-kata tetapi kerjanya ciplak belaka, termasuk ‘epantau-nya’. Di DUN Air Putih, ramai orang mengenali Cikgu Razak ini. Mereka terdiri daripada bekas murid-murid dan ibu –bapa murid-murid beliau. Keterampilannya bukan sahaja terserlah dalam bidang pendidikan malah dalam bidang kemasyarakatan seperti program qurban perdana di Kampung Mak Chili dan PASTI. Inilah contoh kepimpanan PAS yang menjalinkan sifat kepimpinan, keilmuan, jujur dan bekerja untuk agama Allah.

Lawan yang akan ditentangnya dalam PRU13 ialah Wan Abdul Hakim Dato’ Wan Mokhtar. Calon UMNO ini merupakan penyandang bagi N32. Secara peribadi, penulis menghormati beliau atas akhlak yang agak baik berbanding dengan sesetengah pemimpin UMNO yang bobrok dan pelahap. Namun, bapa borek anak memilih untuk menjadi rintik apabila menyambung perjuangan ayahandanya dalam perjuangan kebangsaan. UMNO zaman 80-an tidaklah serakus sekarang. Walaupun bersekolah tinggi, namun beliau tidak mampu melihat dan membezakan kebenaran. Hendak tak hendak beliau terpaksa meneruskan legasi UMNO yang terpalit dengan rasuah, fitnah seks, penolakan hukum hudud, meruntuhkan masjid dan kezaliman perampasan tanah rakyat.

Antara kegagalan manusia yang membawa bendera keris telanjang ini ialah projek  jambatan Sungai Pinang dan Pasar Baru Binjai atau Binjai Souq. Beruntungnya beliau berada dalam kalangan rakyat di pedalaman Kemaman ini. Beliau tak pernah didesak untuk menyelesaikan masalah Jambatan Sungai Pinang dan tak pernah dipersoalkan tentang kegagalan projek Binjai Souq. Oleh itu, Wan Abdul Hakim hanya perlu lihat sahaja kegagalan dua projek Barisan Nasional itu tanpa susah hati dimarahi oleh penduduk tempatan. Namun anak-anak muda yang berpendidikan dan terdedah dengan media baru mula melihat petaka kepimpinan yang tak amanah ini. Sudahlah projek meningkat juta-juta; apabila siap rosak sana rosak sini baiki sana baiki sini dan tak dapat digunakan setimpal dengan duit cukai rakyat.

Justeru kita melihat, seorang yang kelihatan cakna rakyat dan berakhlak baik tidak akan ada sinar barokah apabila bergelumang dalam satu perjuangan yang kotor dan rosak. Penulis hanya mendoakan agar suatu hari nanti beliau akan melihat kesilapannya dalam perjuangan kebangsaan lalu membawa diri dan keluarganya ke dalam perjuangan Islam melalui wadah PAS.

Sebagai natijah untuk pengundi-pengundi N32 DUN Air Putih, undilah manusia yang benar akhlaknya selaras dengan perjuangan agamanya. Jangan diundi manusia yang kelihatan elok akhlaknya tetapi tercemar sudah perjuangannya agar kita tidak berterusan menerima bahananya.


No comments:

Post a Comment