Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Tuesday 2 April 2013

Parti PAP Fokus PAS.




Bila-bila masa dari sekarang Parlimen dibubarkan. Masa untuk berkempen semakin singkat. Strategi peringkat merah perlu diaplikasikan. Tawaran Negara Berkebajikan mesti diangkat kembali setelah sekian lama berlalu lewat siri ceramah PGU. Rakyat makin  lupa tentangnya apatah lagi tawaran BR1M, pelarasan gaji baru dan pelbagai manisan dihamburkan oleh pemerintah. Kini segala gerakerja pilihanraya perlu diklimakskan. Namun, bagi penulis PAS/PR sewajarnya membuat peruncingan dengan memberi fokus kepada sebuah parti yang tidak berdaftar.

‘Parti’ yang dimaksudkan itu ialah PAP, iaitu Pengundi Atas Pagar. Golongan ini merupakan sekelompok manusia politik yang mengikut kajian terdiri daripada 30% pengundi di Negara kita. Sebahagiannya pula  pengundi Islam yang terdiri daripada ahli jamaah Tabligh.
Penulis optimis jika 70% daripada ahli PAP ini  keluar mengundi dan mengundi PAS/Pakatan Rakyat, pasti PR dapat mengambilalih teraju pemerintahan negara. Apa yang berlaku pada hari ini ialah sikap golongan ini yang tidak mendaftar sebagai pengundi, tidak keluar mengundi dan tidak mengundi PAS/PR kerana tidak mendapat penjelasan yang efektif. Diberitakan bahawa antara faktor kekalahan parti Islam di Pakistan dan Bangladesh  kerana jutaan pengikut Tabligh di negara tersebut tidak mengundi.  Tidak mustahil fenomena ini turut berlaku di negara kita. PAS sewajarnya mempunyai akses dan data tentang sejauh mana golongan Tabligh melibatkan diri dalam pilihanraya.

Hanya baru-baru ini Presiden PAS mengadakan kunjungan hormat ke ‘markaz’ Jamaah Tabligh dengan menemui pemimpin mereka. Usaha ini semestinya diteruskan oleh setiap pemimpin negeri dan kawasan. PAS tidak patut menjarakkan diri dari ahli Tabligh. Setakat ini tidak pernah didengari komunikasi antara PAS dengan Tabligh walaupun sebahagian kecil ahli PAS melibatkan diri dalam Tabligh dan begitu juga sebaliknya. Tiada majlis pertemuan, perundingan dan aktiviti bersama yang boleh merapatkan dua jamaah Islam ini. Jamaah Tabligh berkemungkinan tidak kepingin untuk duduk bersama dalam majlis ini agar tidak dilihat oleh masyarakat sebagai pro-PAS. Agenda mereka ialah menarik semua manusia tanpa mengira parti agar bergerak bersama mereka. Jika mereka dilihat rapat dengan PAS, mereka bimbang orang yang pro-UMNO awal-awal lagi akan menolak seruan mereka.

Namun PAS dan ahli Tabligh sendiri perlu sedari bahawa pemimpin utama Jamaah Tabligh sendiri telah membetulkan salah faham ahli mereka tentang penglibatan dalam politik. Beliau telah mengarahkan agar setiap ahli Tabligh perlu memberi sokongan kepada parti Islam yang ada di negera masing-masing.  Maklumat ini penulis dapati melalui perbincangan dengan salah seorang pemimpin Jamaah Tabligh kawasan. Ini bermakna PAS dan Tabligh perlu duduk bersama demi agenda dakwah yang lebih besar.  

Selain itu, masih ramai ‘ahli PAP’ yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. Mereka dikatakan sebagai penentu parti yang akan menguasai negeri dan Negara. Ahli PAP ini lebih mudah untuk diberi penjelasan kerana sikap mereka yang masih terbuka. Bak pantun, pat pat si paku lipat, siapa cepat dia dapat. Penulis optimis sekiranya semua pengundi atas pagar ini berjaya dikempen melalui siri-siri penjelasan dan perbincangan, sudah pasti hasrat dan telahan ‘Selangkah Ke Putrajaya’ bukan suatu omongan kosong.

Justeru , PAS/PR perlu berusaha untuk memenangi hati pengundi atas pagar. Golongan ini biasanya cuba dipikat dan dibasuh melalui media massa. BN menguasai media massa dan golongan ini pula sentiasa berminat dengan media massa perdana. Jika BN mampu mengasak minda mereka dengan dakwaan kebobrokan PAS/PR dan terus mengasak minda mereka pada saat-saat akhir pengundian, pasti BN yang berjaya memukat sokongan mereka yang memang tidak sedikit jumlahnya.  Maka apakah PAS hanya meneruskan pendekatan sedia ada untuk mendominasi undi  mereka? Inilah yang perlu difikirkan dan diambil tindakan segera oleh PAS/PR.
                                                                                                                   
Pendek kata, kepimpinan dan kader-kader PAS/PR perlulah sentiasa segar dengan pendekatan-pendekatan baru di samping menambahnilai kaedah-kaedah sedia ada.  Ambillah semangat ‘post-mortem’ sesuatu pilihanraya iaitu mengkaji data, fakta dan faktor untuk dibaiki segala kekurangan dan dimantapkan segala kekuatan. Buka semula fail laporan post-mortem pilihanraya kerana waktu inilah masa paling sesuai kita membakar semula dada ini dengan semangat perjuangan yang sudah mula membahang.

No comments:

Post a Comment