Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Friday, 21 October 2011

SUDAH LAMA AZIZ BARI MENBINA RUMAH DITEPI PANTAI

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menggantung tugas Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Abdul Aziz Bari mulai semalam. Penggantungan itu ekoran siasatan polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) terhadap penysrah kanan itu. Aziz Bari disiasat polis ekoran terdapat lima laporan polis berhubung kenyataanya yang dianggap sebagai menyentuh kedudukan sultan Selangor.

Salah seorang makhluk yang membuat laporan polis ke atas Aziz Bari ialah seorang senator dari Umno. Mudah-mudahan sempena ulang tahun sultan nanti senator itu akan dikurniakan gelaran Datuk memandangkan jasa-jasa dan bakti besarnya kepada Umno termasuk memburukkan bekas bosnya sendiri dan 'mendolor' bos barunya. Manusia seperti itulah yang mendapat sanjungan Umno.

Saya tidak mahu mengulas sebab musabab mengapa siasatan itu dibuat ke atas Aziz Bari dan apakah ianya relevan atau tidak. Umum sudah mengetahuinya serba sedikit sebab-sebabnya. Tetapi apa yang hendak saya ulas di sini ialah mengenai keberanian Aziz Bari dalam mengeluarkan suaranya berhubung bidang yang beliau arifi, iaitu perlembagaan. Juga keberaniannya dalam menyatakan sesuatu yang hak dan tidak hipokrasi seperti beberapa orang profesor kangkung menjalar lainnya.

Persoalannya apakah salah kalau Aziz Bari bercakap sesuatu dari sudut ilmu - perlembagaan yang beliau tahu? Jangan peduli apakah topik yang beliau sentuh itu sultan atau siapa? Yang penting apa yang beliau perkatakan itu kebenaran dari segi ilmunya. Islam menuntut kita memperkatakan kebenaran. Sebuah hadtih bermnaksud; katakan kebenaran itu walaupuin pahit.

Sebuah negara yang mengakui mengamalkan demokrasi dan memberi kebebasan kepada rakyat, salahkan tindakan Aziz itu? Apakah ilmu yang dipelajarinya hanya untuk dikenang semata-mata dan tidak boleh dimanfaatkan untuk umum. Sarjana yang dimilikinya bukan saja untuk membolehkan dia lulus periksa kemudian mendapat wang, tetapi mendauluatkan ilmu itu untuk kepentingan semua. Bahkah itulah matlamat sebenarnya mempergunakan ilmu untuk hidup.

Soal teguran itu menderhaka ia hanya persepsi pihak tertentu yang sudah lama membenci Aziz Bari kerana Aziz tidak pernah condong kepada bayangan politiknya dan juga membenci kepada keberanian dan kebenaran Aziz Bari. Tanggapan itu dari minda orang yang otat kemeto. Saya yakin kalau apa yang Aziz Bari cakapkan itu memberi untung kepada Umno beliau tidak dipengapa-apakan. Usahkan hendak dikenakan tindakan menggantungkan tugas, hendak siasat jauh sekali.

Sudah ada banyak contoh sebelum ini, sesiapa yang bercakap tidak menguntungkan Umno kalaupun benar dia akan dikenakan tindakan. Akan disiasat dan didatangi polis. Tetapi kalau dia bercakap menguntungkan Umno walaupun telah dipecat dari Umno tujuh kali dia akan dipuji melangit. Polis pula akan membisu untuk memanggil orang itu disiasat walaupun ada beratus laporan polis terhadapnya. Tindakan polis sebeginilah yang dianggap sebagai tidak profesional dan menjadi alat kepada Umno.

Sekitar tahun 1982 dulu hampir semua pemimpin Umno mempertikaikan kedudukan dan kuasa raja-raja Melayu. Ada raja yang diaibkan dengan mendedahkan harta dan juga skandal mereka di media massa. Tetapi anihnya tiada seorang pun yang terlibat dalam kerja mengaibkan raja-raja Melayu itu tidak dikenakan tindakan. Kenapa? Jawabnya kerana mereka Umno parti yang memerintah, bukan saja memerintah negara tetapi turut memerintah raja-raja Melayu.

Di Malaysia ini mudah saja kalau anda ingin mengkritik raja dan selamat tidak disiasat polis, masuk atau kritiklah raja-raja dari rumah Umno, nescaya anda akan selamat. Raja-raja juga tidak ada kuasa dan hak untuk mengambil tindakan ke atas orang mengaibkan mereka kerana tidak ada peruntukan undang-undang? Raja kita raja berperlembagaan. Perlembagaan pula bukan perlembagaan Malaysia tetapi perlembagaan Umno! Perlembagaan Umno pula bukan berlandas kepada tatabudi dan agama tetapi kepada nafsu pemimpin tertingginya.

Rasanya kita semua tahu akan hakikat ini. Tindakan ke atas Aziz Bari menunjukkan negara ini tidak menghormati ilmu yang ada kepada seseorang. Ilmu atau pun kebebasan dibenarkan hanya slogan sahaja. Di samping itu tindakan itu sebagai isyarat kepada yang lain. Kepada pensyarah yang cuba hendak bercakap benar dan mengkritik Umno perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku ke atas Aziz itu. Itulah tujuannya. Makanya kalau profesor yang hati 'kie' penakut akan urung ke belakang sebelas ini dan terpaksa mengajar anak muridnya menggunakan selibas Umno kembali.

Tindakan seumpama ini bukan baru berlaku, tetapi sudah lama terjadi. Orang yang cuba menegakkan kebenaran berlandaskan ilmu dan undang-undangnya akan dikenakan tindakan sekiranya ia bertentangan dengan kepentingan parti yang memerintah. Kecerdikan dan kelogikan akan mengatasi kuasa politik 'gedebe' di negara ini. Sebab itu di negara seperti Malaysia ini lebih baik jadi orang bodoh dan tolol dari jadi orang cerdik. Dalam kloni politik tidak kira Umno atau apa orang bodoh memimpin orang cerdik.

Mengenai masalah dan risiko dihadapi Aziz Bari ini, saya sudah lama menaruh kebimbangan. Saya sudah fikir dengan ketelusan dan keberanian beliau mentafsir sesuatu yang berlaku di dalam negara ini berdasarkan ilmunya tanpa 'perdamian', lama kelamaan beliau akan berhadapan dengan masalah. Kerajaan ini mana boleh menerima sesuatu yang benar dan hak.

Apabila beliau disiasat polis kemudian dikenakan tindakan tunjuk sebab oleh majikannya, apa yang saya bimbangkan sudah menjadi kenyataan. Tetapi tidak mengapa Aziz... mungkin ada pihak yang bergembira dengan tindakan itu walaupun natijah ia membodohkan diri sendiri, tetapi ada segolongan rakyat akan bersama anda. Saya sendiri sudah melalui apa yang baru terjadi ke atas Aziz Bari itu.

Mereka yang sihat otak berpegang kepada prinsip ilmu dan kebebasan bersuara akan menyanjungi apa yang Aziz lakukan. Pembawa kebenaran adalah Aziz. Keberanian ialah menyuarakan apa yang difikirkna betul berlandaskan ilmunya tanpa gayut kepada tekanan dan ugutan. Aziz dalam erti kata lain seorang pratikal, kerana dia mengamalkan ilmu yang ada kepadanya. Orang yang ikhlas, berani dan jujur beginilah pemimpin sebenarnya. Aziz juga bererti berani.

Kepada Aziz beliau jangan risau dan sedialah menerima apa sahaja hukuman. Umno berkuasa ke atas segala-galanya. Jalan terbaik bagi Aziz ialah turun ke gelanggang. Kalau kampus tidak membenarkan dan cuba memotong lidahnya dari menyatakan kebenaran beliau boleh tukar gelanggang. Terjunlah ke gelanggang siasah. Bukan pula bermakna bila terjun ke gelanggang siasah beliau terlepas dari menghadapu ujian. Siasah lagi banyak dan mencabar ujiannya.

Waktu ini adalah terbaik untuk Aziz memulakan gelanggang baru. Sementara UIA mengantung tugasnya, Aziz boleh menjelajah ke seluruh negara untuk memperkatakan kebenaran. Masa yang diberikan ini gunalah seluas mungkin untuk mempraktrik langkah baru dalam medan juang baru.

Saya tidak fikir orang seperti Aziz yang simple dan tawaduk, memikirkan soal wang. Beliau lebih memikirkan kebenarannya. Orang seperti beliau merasa bersalah kalau dia tidak mempraktikan ilmu yang ada kepadanya. Kalau beliau memikirkan soal wang pasti beliau akan menjejaki beberapa orang pensyarah universiti yang menjadi majikan beliau itu yang kini senang lenang dan kaya raya menurut kamus materialistik.

Sebenarnya orang macam Aziz Bari tidak ramai. Di universiti di kalangan pensyarah dan tenaga akademi hanya beberapa orang saja. Ada yang cuba melawan Umno tetapi bila umno menawarkan kerusi usang mereka kembali berpaling menjadi alat bukan penentang lagi. Mungkin ada mengatakan Aziz bodoh kerana tidak sedia untuk memutarkan lidah dan melacurkan ilmunya tetapi rakyat nun jauh di kampung merasa bertuah kerana memiliki seorang Aziz. Aziz telah menjadikan dirinya harta rakyat bukan menjadikan ilmunya mengejar kekayaan untuk dirinya.

Percaya dan yakinlah rezeki untuk hidup bukan bergantung kepada satu sumber sahaja. Allah telah memberi jaminan akan menyediakan rezeki dan kemudahan kepada mereka yang berjuang dijalan-Nya. Aziz tidak perlu gundah dan bimbang. Selagi nawaitunya betul dan hatinya ikhlas kepada Allah, Allah akan bersamanya. Kalau tidak percaya cubalah Aziz bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya akan datang, beliau tentu akan disokong rakyat. Sokongan rakyat itu adalah sokongan Allah kerana Allah menggerakkan hati dan kalbunya untuk berbuat begitu.

Saya mendoakana semoga Aziz tidak akan cemas dengan apa yang berlaku. Dan saya percaya Aziz sudah pun bersedia untuk berdepan dengan angin dan ombak, kalau tidak masakan dia berumah di tepi pantai; mendokong perjuangan rakyat menerusi Pakatan Rakyat samalah dengan pelaut yang berani mendirikan rumah di tepi laut

No comments:

Post a Comment