Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Thursday, 28 February 2013

PEMIMPIN UMNO 'MELEMBUKAN' ORANG KAMPUNG



Sempat bersembang dengan seorang pengawal keselamatan. Tinggalnya di kampung pedalaman. Aku saja-saja bawa tajuk politik ringan-ringan. Maklumlah mungkin pakcik ini seorang yang totok birunya. Saja-saja nak tengok reaksinya dan fikrahnya. Niat aku nak bagi ilmu politik sikit kepada orang tua yang dah menjangkau umur 50-an ini.

Nampak benar hujah dan cerita politiknya datang dari sumbatan pemimpin BN yang berceramah di kampung-kampung. Aku nak ambil tiga perkara sahaja bagaimana pemimpin UMNO loyar buruk dengan orang kampung dan bagaimana pula sikap mental orang kampung macam pakcik jaga ini.


Pertama, dikondemnya PAS kerana minta derma dalam ceramah. Katanya, sepatutnya PAS bantu rakyat. Ini terbalik, rakyat pulak yang bantu PAS. Kedua, rakyat nak tengok juga bangunan tinggi-tinggi. Takkan nak tengok semak dan hutan saja. Ketiga, dari mana DS Anwar Ibrahim dapat  banyak duit  selepas jadi Timbalan Perdana Menteri kalau tidak dibantu oleh Yahudi.

Aku tak bercadang nak terangkan tiga isu tersebut kepada pembaca yang cerdik politik. Apa yang aku nak bawa ialah bagaimana cara pemimpin BN ‘melembukan’ orang kampung dengan hujah-hujah yang sangat tidak cerdik. Kalaulah pemimpin BN dibawa berdebat dengan anak muda tingkatan 6 pun, aku pasti terkantoi pemimpin keris telanjang (simbol sebuah parti politik haprak)  ini.

Apa pula peranan kita? Ya, orang kampung terutamanya orang tua perlu didekati selalu. Hati mereka hendaklah diikat dengan budi. Hanya dengan berbudi baru karat-karat biru mula luntur daripada menyaluti tubuh badan mereka. Kalau miskin, dibantu dengan benda. Kalau mangsa bencana, dibantu dengan tenaga. Kalau sakit atau kematian, lawati dan tunjukkan simpati kepada mereka.

Ayuh, lakukan apa sahaja dalam tempoh sebulan atau dua bulan sebelum hari mengundi ini. Gerakkan segala tenaga, gadaikan masa dan harta demi mengaut undi-undi Melayu sebanyak 5% lagi untuk kita sama-sama menuju ke Putrajaya.

Tuesday, 26 February 2013

KERJA MENUMBANGKAN KERBAU BULU BIRU



Setiap orang ada pengaruh masing-masing. Bukan sahaja menteri ada pengaruh terhadap rakyat, malah seorang tekong bot ada pengaruh terhadap awak-awaknya, apatah lagi bos sebuah syarikat atau jabatan.  Ada orang yang sangat berpengaruh dalam persahabatan. Ada pula yang berpengaruh dalam keluarga.

Ada orang membawa pengaruh melalui kepetahan berkata-kata. Ada orang berpengaruh melalui intelek dan harta-benda. Dan ada orang yang berpengaruh melalui kehebatan akhlak dan peribadi. Pengaruh mampu menjana kekuatan diri. Pengaruh adalah ‘besi berani’ yang menarik massa kepada menyokong, mentaati, kebersamaan terhadap seseorang.

Politik adalah bercirikan aspek ini. Politik melibatkan kepimpinan dan kepengikutan. Justeru, pengaruh amat relevan untuk menarik sokongan massa kepada suatu idealisma. Pilihanraya merupakan penilaian suatu sokongan pengundi untuk membentuk kerajaan. Orang akan menyokong sesuatu parti apabila berjaya dipengaruhi minda dan inteleknya.

Penyokong Pakatan Rakyat amat mengharapkan berlaku perubahan dalam PRU13 yang tidak beberapa lama lagi ini. Harapan ini mesti disokong oleh usaha yang gigih dan pengorbanan yang besar. Bukan kerja yang senang hendak menumbangkan ‘kerbau biru’  yang kuat makan itu. Kebarangkalian untuk PR menang dan BN tumbang pada PRU13 ini pada kedudukan terbaik dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. PR jangan buat sebarang kesilapan yang menjejaskan sokongan rakyat. Kata, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, kini PAS kena berada dalam tempoh berpantang.

Kemenangan pasti milik kita jika setiap ahli dan penyokong menggunakan pengaruh masing-masing secara maksimum. Tauke kedai  mesti mempengaruhi pekerjanya. Bos jabatan mesti mempengaruhi orang bawahannya. Kawan mempengaruhi kawan. Jiran mempengaruhi jiran.  Anak-anak  yang berpengetahuan mempengauhi ayah di Felda dan di kampung. Inilah peranan setiap orang yang ingin melihat perubahan politik dalam negara berlaku.  Marilah kita semua membawa semangat  “INI KALILAH”.


Sunday, 24 February 2013

APA ERTI PENGORBANAN?

Ada guru yang buat kelas tambahan untuk murid. Ada guru yang sanggup setiap petang ke sekolah untuk latih murid-murid dalam sukan. Ada guru yang guna duit sendiri untuk urusan sekolah dan murid-murid. Ada guru balik lewat dan ada yang datang pada waktu malam demi kejayaan murid-murid dan memartabatkan nama sekolah. Ini semua adalah pengorbanan.

Pelbagai pengorbanan dilakukan oleh para guru baik menerusi wang, masa dan tenaga. Semua ini adalah nilai-nilai yang besar di sisi Allah. Ini yang perlu kita yakini. Apabila dinilai oleh Allah, sudah pasti ada balasan pahala. Dosa dan pahala adalah perkara yang sentiasa tercatat dalam kehidupan. Di dunia kita dapat balasan material berbentuk gaji manakala di sisi Allah kita dapat pahala yang amat diperlukan untuk menampung segala kekurangan dan kesilapan kita.

Apabila kita menyedari hal ini, lahirlah keikhlasan dan kepuasan dalam bekerja. Kita tidak akan mudah merungut, rasa kecewa apatah lagi stres. Inilah antara apa yang terkandung dalam ucapan murni setiap murid iaitu, TERIMA KASIH, CIKGU.

Thursday, 21 February 2013

PESAN TUAN GURU HJ ABDUL HADI

Allah Taala berfirman di dalam al-Quran, bermaksud:

"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah : ayat 195).


Makna bagi ayat "...mencampakkan diri ke dalam kebinasaan" di sini ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam, nanti kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan, "...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan". Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah Taala, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.


Diriwayatkan oleh Imam at-Tabari ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Constantinople (Istanbul, Turki), tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai. Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani, menawarkan untuk masuk ke dalam pasukan tentera Rom yang ramai bersendirian walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, "Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran; “...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan?"


Kebetulan di dalam peperangan tersebut ada seorang Sahabat Nabi yang umurnya telah menjangkau 80 tahun, namanya Abu Ayub al-Ansari RA iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah SAW berhijrah, unta Baginda SAW telah berhenti di laman rumah Abu Ayub sebagai isyarat Baginda memilih rumahnya untuk bermalam di situ sebelum Baginda memiliki rumah sendiri di kota Madinah. Abu Ayub telah tua ketika bersama tentera Islam dalam peperangan menentang Rom.


Apabila Abu Ayub al-Ansari mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata, "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa (pentakwilan yang menyeleweng). Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah Taala, iaitu ketika Allah memenangkan agama-Nya dan ramai orang yang menolong agama-Nya.”

"Maka berkatalah segelintir kami kepada segelintir yang lain. Kami berbisik sesama kami, dengan harapan hal itu tidak diketahui oleh Baginda Rasulullah SAW bahawasanya harta manusia sudah banyak; Kita ketinggalan dalam memajukan dan mengumpul harta benda kerana terlalu mementingkan jihad (di medan perang), kita tidak dapat menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik (kerana asyik berjihad).”

"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam sudah ramai, maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, agar kita dapat mengatasinya semula.”

"Justeru, Allah Taala menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan, "...Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".


Abu Ayub RA adalah seorang Sahabat yang berani, sekalipun dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (Kota Constantinople) dan melarang tentera Islam membawa pulang mayatnya ke Madinah. Hal ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.



Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Constantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.


Akhirnya Allah Taala memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bahawa Baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya.


Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es Sophia (Aya Sophia)yang besar itu berhasil ditawan oleh orang Islam. Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini. Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid al-Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.


Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub al-Ansari, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga ke peringkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain.


Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah Taala, di hadapan matanya hanyalah balasan baik daripada Allah dan janji-Nya. Apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.


Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah.

Monday, 18 February 2013

UPU GONG PAUH SIAP SEDIA HADAPI PRU13

3 Feb.2013.  UPU Gong Pauh Cawangan Kg. Jaya,Chukai Kemaman telah bersiap sedia untuk menumbangkan UMNO dalam  PRU13.  Gambar dibawah menceritakan segala-galanya.

















Sunday, 17 February 2013

Forum Perdana SKJ: Lebih 700 orang memenuhi SKJ

6 Feb. 2013 (Rabu):  Forum perdana menampilkan 2 tokoh muda, ustaz Yo dan ustaz Afis Ibrahim telah diadakan di SKJ anjuran bersama SKJ dan MPPPIK. Kehadiran amat memberangsangkan dan ramai yang respons minta supaya diadakan siri kedua menampil tokoh yang sama. kedua-dua mereka mempunyai gaya tersendiri dan berjaya memikat hati penonton dengan jawapan-jawapan yang bernas yang sesekali diselitkan dengan lawak jenaka.  Syabas kepada kedua-dua meraka dan juga moderator yang berjaya menhendalikan forum dengan baik.









MAULIDUR RASUL 1434 SKJ: HAMPIR 300 PESERTA MENYERTAI PERARAKKAN

16 FEB.2013- SABTU JAM 8.30 Telah berlangsung majlis MaulidurRasul saw Anjuran bersama Kafa Afnan, Kafa Alfalah dan Pasti alfalah dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Kg Jaya.  Majlis dimulakan dengan Perarakan sejauh 2 KM.  Walaupun cuaca hujan renyai-renyai namun para peserta yang terdiri anak-anak pelajar, guru serta ibubapa bersemangat berjalan sambil berselawat.  Kumpulan selawat diketuai oleh adik-adik pelajar dari Pengajian Pondok Mustaqim.  Acara seterusnya ialah selawat burdah, tazkirah maulid oleh ustaz Faizan dan tayangan video. Sebelum bersurai hadirin dijamu dengan nasi lemak ayam goreng.

Terima kasih kepada semua yang telah memberi kerja sama menjayakan program ini.  Jumpa lagi tahun hadapan.