Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Tuesday, 1 May 2012

Nafi penyokong penyebab keganasan

 

KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan penyokong Bersih 3.0 dengan menafikan mereka sebagai penyebab keganasan dalam demonstrasi Bersih 3.0 di Kuala Lumpur, 28 April lalu.
Beliau percaya kesemua mereka mengikut arahan dikeluarkan pemimpin untuk memastikan demonstrasi berjalan lancar.
Abdul Hadi sebaliknya menyalahkan golongan tertentu dengan mendakwa perbuatan terbabit dilakukan segelintir pihak yang diistilahkan sebagai ‘pelakon’ dalam kala­ngan golongan pemerhati.
Beliau turut menolak sumber tertentu yang mendakwa mereka diupah Pakatan Rakyat (PR) dan menjelaskan PR tidak mampu berbuat demikian.
“Pemerhati pula pelbagai kalangan dan saya dimaklumkan mereka ada ‘pelakon’. Pelakon ikut sama dalam demonstrasi ini dan ada menye­but-menyebut diupah. Mana kita ada nak upah orang, kita tiada duit, kita fakir miskin, bagaimana parti bergantung kepada orang nak upah orang.
“Yang hadir itu beratus-ratus ribu dan itu bukan kemampuan kitalah. Jadi pelakon inilah yang boleh menimbulkan perkara negatif,” katanya.
Beliau turut meminta perkara itu disiasat secara adil dan telus untuk memastikan siapa dalang bertanggungjawab menimbulkan kekacauan ketika demonstrasi tersebut.
Diminta mengulas me­ngenai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan isyarat tangan kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali supaya peserta membuat rempuhan bagi memasuki kawasan Dataran Merdeka, Abdul Hadi meminta media memberi peluang kepada Anwar untuk membela diri.
Katanya, media perlu membuat liputan secara langsung dalam media pe­nyiaran dan bukan sidang akhbar biasa yang selalunya disunting terlebih dahulu sebelum penyiaran.
“Biar dia keluar RTM, TV3. Biar beliau menjelaskannya. Wartawan boleh soal dia, itu cara yang betul macam dilakukan negara lain,” katanya. 

ZIARAH AJK SKJ YANG CEDERA SEMASA BERSIH 3.0




 

30 April 2012 jam 9.15 malam. 4 orang AJK SKJ bersama Al Fadhil Ustaz Harun mengunjungi sahabat Encik Khairuddin yang cedera di tangan kanan, sakit tulang rusuk sebelah kanan dan cedera kaki sebelah kiri yang masih berehat dirumahnya. Katanya, “saya tidak mampu untuk bergerak kerana masih terasa sakit”. Untuk pengetahuan Jemaah, Encik Khairuddin adalah bekas pekerja Petronas yang “diberhentikan awal” kerana mengalami sakit kencing manis yang tahap serius. Penyakit Kencing manisnya menyerang di bahagian mata menjadikan pandangan Kabul.

Menceritakan kisah yang dialaminya, “saya terpaksa berjalan melalui bangunan yang gelap untuk menggelak daripada tembakan gas pemedih mata dan semburan air. Saya berpesan kepada orangramai yang turut sama melalui jalan ini agar berhati-hati kerana banyak lubang dan sepihan kayu serta besi. Tanpa disedari, saya sendiri yang terjatuh didalam lubang. Alhamdulillah, ada bangsa cina yang datang membantu saya".

Dan kepada Jemaah yang ingin membantu atau menghulurkan sumbangan bolehlah berjumpa dengan SU atau TSU SKJ. JazakaAllah. 

Ususnya cedera serius

 

“Dahi mak koyak, ususnya pecah dipijak sekumpulan polis berpakaian preman,” kata Khalid Ismeth, anak kepada Faridah Abdul yang parah akibat dizalimi pihak berkuasa itu pada perhimpunan Bersih 3.0. Pemimpin Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen(Kami) itu hairan mengapa ibunya menjadi sasaran kerananya ibunya sudah berusia 50 tahun.

Beliau yang mengetahui hal ini selepas diceritakan kakaknya, Nurul Hanilah yang menyaksikan kezaliman itu, berkata, ia berlaku selepas ibunya jatuh di depan pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ibu mahu lihat kebangkitan anak muda. Sebab itu beliau hanya lihat situasi dari perkarangan pejabat DBKL, malah ibu bukan berbaju kuning,” katanya.

Ibu Khalid kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menerima tujuh jahitan di dahi manakala ususnya mungkin dibedah selepas dipijak dan diterajang sekumpulan polis yang memakaki kasut but keras.
“Ibu hanya boleh minum air, sukar bercakap dan terpaksa dimasuklan air ke badan 24 jam tanpa henti kerana tubuhnya sangat lemah tapi masih bersemangat berkempen menolak Umno BN kepada staf perubatan.

“Doktor beritahu ibu mungkin dibedah kerana ususnya cedera serius,” katanya   yang menemani ibunya sepanjang hari ini.
Keputusan mengenai pembedahan itu, katanya diketahui Khamis ini kerana doktor mahu melihat sejauh mana kerosakan usus.

Monday, 30 April 2012

BERSIH 3.0




 Setengah orang KUTUK saya sebab sertai BERSIH 3.0 Cuba kongsi pengalaman apa yang sebenarnya berlaku di sana pun, saya dipersendakan. 
Kononnya baru kena tear-gas, dah kecoh. Orang lain kena tembak live-bullet & bom phosphorus di Palestin, tak kecoh macam Bersih (walhal diaorang ni setakat sedut asap rokok je, tak pernah rasa tear-gas CS yang dinaikkan isipadunya) Malahan, ada yang kutuk duduk rumah lagi baik. Bersih 3.0 adalah satu perbuatan yang sia-sia. menyusahkan diri sendiri saja & segala tuntutan kononnya wujud penipuan & manipulasi dalam pilihanraya TIDAK AKAN DILAYAN pun...

JAWAPAN SAYA ADALAH SEPERTI DI BAWAH... Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar.
Itulah yang dilakukannya berulang kali. Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain yang kehairanan melihat perlakuan burung kecil, lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?” tanya makhluk Allah yang lain. 'Aku mahu membantu Nabi Ibrahim.
Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim,' jawab burung pipit. 'Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.
Sia-sia saja usaha kamu itu,' kata burung lain pula. Lalu dijawab oleh burung berkenaan : 'Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.
' SAYA YAKIN USAHA KAMI MUNGKIN TAK SEBESAR MANA, SEKADAR BERHIMPUN DENGAN AMAN, BANGKIT BERSAMA RAKYAT DEMI MASA DEPAN TANAHAIR... TAPI IA SUDAH CUKUP MENGGERUNKAN KERAJAAN HINGGA SANGGUP MENGARAHKAN POLIS UNTUK BERTINDAK KASAR KE ATAS KAMI... SEKURANG-KURANGNYA JIKA DITANYA ALLAH SWT. KAMI SUDAH PUN MENENTANG KEMUNGKARAN TERSEBUT & MEMBANTAH RAKYAT TIDAK RELA DITIPU WALAU SEDIKIT PUN...


Aku seorang artiskah?









 Sehingga kini belum ada suara yang berbunyi mengenai kehadiran Marina Mahathir, anak mantan Presiden UMNO selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad di himpunan aman BERSIH 3.0...saya cabar supaya mana-mana balaci UMNO labelkan segera Marina Mahathir sebagai pengkhianat negara, dihalau keluar dari tinggal dinegara ini serta mohon darjah kebesarannya ditarik balik....
 Dalam kepedihan mata selepas tempat kami duduk dibom semalam, sempat meng'amin'kan doa seorang peserta bersih yg dah berumur lebih 70 tahun, sambil berjalan terhuyung hayang, tangan ditekapkan dimuka, saya melihat air matanya meleleh keluar dari celahan jari, saya memegang lengannya dan mendengar dia berdoa, " Ya Allah aku tak bersalah, kenapalah zalim sangat kerajaan ni, engkau balaslah kejahatan ini ya Allah, Ya Allah kau lindungkan lah anak cucu aku dari jadi penyokong puak2 ni, pedihnya YaAllah" Amiiin, dia pandang saya, mata dia merah menyala kepedihan, air matanya terus mencurah, mencurah banyak kerana ia datang dari dua mata air, air mata pedih dan air mata sedih, air mata saya juga tercurah banyak, kami terpisah bila sebiji lagi bom asap dilepaskan berhampiran kami.
 Kalau kami letih, kamu juga letih, kami letih kerana membela kebenaran, tetapi kamu letih kerana membela kebatilan, keletihan kamu dibayar oleh manusia, keletihan kami dibayar oleh ALLAH. keletihan kamu dibalasi dengan wang ringgit, keletihan kami dibalasi dengan pahala, keletihan kamu memberati neraca kejahatan, keletihan kami memberati neraca kebaikan.. kita jumpa diakhirat sebagai saksi antara satu sama lain. ALLAHUAKBAR !
SubahanaAllah. BERSIH 4.0 InsyaAllah kita akan lakukan.

Seorang ulama dari Kedah.

Radio base station

 
Sesiapa yang berada di lokasi perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April kemarin pasti mengalami kesukaran untuk menggunakan talian telefon bimbit termasuk broadband selama beberapa jam iaitu dari pukul 1 tengahari hingga 5 petang.Kemungkinan talian sesak akibat terlalu ramai pengguna memang tidak dapat dinafikan tetapi adakah selekeh itu sistem telekomunikasi di ibukota? Lagi pula ibukota memang mempunyai berpuluh-puluh rbs (radio base station) dari berbagai syarikat telekomunikasi. Biru,hijau,kuning,merah semuanya ada.Mana mungkin berlaku kesesakan?

Satu lagi kemungkinan yang tidak boleh diperlekehkan ialah penggunaan alat frequency jammer bagi menghalang isyarat selular.Tujuannya ialah untuk menghalang komunikasi antara orang ramai.

Untuk pengetahuan anda,jammers telefon bimbit adalah satu alat yang digunakan untuk mencegah telefon bimbit daripada menerima isyarat daripada stesen pangkalan(base stations.Jammers telefon bimbit menyekat penggunaan telefon bimbit dengan menghantar gelombang radio yang berfrekuensi sama dengan yang digunakan oleh telefon selular. Apabila digunakan,jammers berkesan melumpuhkan telefon bimbit.Alat ini diharamkan untuk penggunaan biasa oleh beberapa negara di dunia.Biaqpila kat depa kalau betul nak buat naya kat orang,terimalah balasan nanti.

Jika benar apa yang disangkakan ini memang terdesak sangatlah kerajaan UMNO BN yang memperkudakan semua kuda-kudanya mengawal Dataran Merdeka dari dimasuki peserta BERSIH 3.0.Hinggakan talian telefon bimbit pun nak disekat.Apa kejadahnya?

Dataran sanggup dibiarkan kosong ketika rakyat bermandi darah,bersabun gas pemedih mata dan berubat gigikan garam.-biaqpila.blogspot.com

Sila lihat pada gambar-gambar di bawah,kenderaan ini kelihatan berada di beberapa lokasi kawasan perhimpunan BERSIH 3.0 pada Sabtu lalu.Jika hendak dikatakan syarikat telekomunikasi ingin menambah kapasiti talian memang tak masuk akal kerana talian memang tidak dapat digunakan ketika perhimpunan,malah tiada lambang syarikat pada kenderaan tersebut.Lagipun mana logiknya syarikat telekomunikasi menyokong perhimpunan ini?


Sunday, 29 April 2012

Semburan air kimia dilepaskan di Dataran Maybank

 

TEMERLOH, 29 April:PAS mengecam tindakan ganas polis terhadap peserta Bersih 3.0 semalam kerana melangkaui perintah mahkamah sedangkan mereka berhimpun untuk menuntut keadilan dalam pilihan raya umum (PRU).

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perintah mahkamah tidak mengizinkan perhimpunan di Dataran Merdeka sebaliknya tindakan polis pula meliputi kawasan lain.


“Bayangkan tembakan gas pemedih mata dan semburan air kimia dilepaskan di Dataran Maybank, Masjid Jamek dan berhampiran Masjid Negara dan dalam keadaan peserta sudah mahu bersurai.


“Mereka yang berhimpun di ibu negara bukan suka-suka tetapi menuntut sistem yang adil dalam PRU yang amat dipertikaikan pada masa ini sedangkan ketelusan dalam sistem pemilihan pemimpin amat penting dalam sesebuah negara demokrasi,” katanya.


Pesuruhjaya PAS Pahang itu berucap mengulas kekecohan dan provokasi perhimpunan duduk bantah di Kuala Lumpur semalam, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya dalam Mesyuarat Agung PAS Kuala Krau di Darul Hikmah, Kerdau di sini hari ini.

Mesyuarat Agung kali ke-26 tersebut dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Tuan Ibrahim yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau, melahirkan rasa hairan setelah Bersih 3.0 dianggap tiada ancaman oleh Menteri Dalam Negeri dan diluluskan akta perhimpunan yang baru seiring dengan transformasi dibawakan Perdana Menteri, sebaliknya menerima reaksi dan layanan yang keras daripada polis.


“Rakyat berhimpun menuntut sistem yang adil adalah mencegah mungkar. Mungkar bukan saja minum arak tetapi juga penipuan dalam sistem memilih pemimpin.


“Sepatutnya semua pihak sedar bahawa 8 tuntutan Bersih adalah demi untuk memastikan pemimpin benar-benar dipilih secara adil, mewakili rakyat  dan tanpa sebarang penipuan yang akhirnya dikembalikan kebaikannya kepada negara ini juga,” tegasnya.


Dalam pada itu Tuan Ibrahim turut menganggap borang pinjaman bank untuk membeli saham yang diagihkan Felda dan ditanda tangan peneroka baru-baru ini tidak sah dari segi syarak kerana mereka dipaksa dan tidak faham isi perjanjian dalam bahasa Inggeris itu.


“Ada peneroka yang menghubungi saya menyatakan rasa kesal kerana dipaksa tanda tangan borang pinjaman bank dalam bahasa Inggeris. Mereka tidak tahu jumlah pinjaman dan untuk tempoh berapa lama beerhutang.


“Tentulah peneroka yang kebanyakannya berusia lanjut itu kesal kerana dipaksa terbabit dengan riba’ kerana faedah dikenakan 6.5 % tetapi dipaksa tanda tangan. Dari segi syara’ hutang itu tak sah kerana peneroka tak faham isi perjanjian,” katanya.


Tambahnya, peneroka mengharapkan durian runtuh sebagaimana yang diuar-uarkan, malangnya hutang dan riba pula yang diberikan kepada peneroka sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holding Bhd. (FGVH) ke Bursa Malaysia.


Tuan Ibrahim turut mengingatkan peneroka, sebagai institusi kewangan sesebuah bank apabila menghutangkan wang mereka perlukan cagaran justeru jika jaminan saham tidak mencukupi risikonya nanti ialah slip pendapatan peneroka akan jadi cagaran.


Mengenai PRU, Tuan Ibrahim mengingatkan hampir 70% pengundi kawasan parlimen Kuala Krau terdiri daripada peneroka Felda justeru beliau meminta warga tanah rancangan itu bertindak bijaksana dengan memilih Pakatan Rakyat  yang komited untuk mengubah nasib mereka dan generasi seterusnya.

Terpaku dengan kebiadaban PDRM


Oleh Warga Marhain 

Saya amat kecewa dan terpaku dengan kebiadaban dan tindakan pihak PDRM membuat "search party" di Stesen LRT Bandaraya berhampiran pusat membeli belah SOGO yang ketika itu rata-rata sudah mahu pulang ke destinasi masing-masing. 

Waktu itu jam menunjukkan 7.00pm, saya berserta isteri dan anak keluar dari Pasaraya SOGO kerana dimaklumkan pasaraya tersebut akan ditutup kerana faktor keselamatan. 



Kami seterusnya menuju ke Stesen LRT Bandaraya yang tidak jauh dari situ. Ketika berada di platform atas, ramai orang sedang beratur untuk mengambil "token" di mesin tiket. Keadaan ketika itu begitu tenang dan kelihatan segelintir peserta Bersih 3.0 berpakaian kuning turut sama beratur untuk mengambil tiket untuk pulang. 

15 minit kemudian keadaan disitu menjadi tegang dengan kehadiran sekumpulan anggota PDRM beranggaran 15-20 orang berpakaian uniform operasi biru gelap. Mereka menyerbu stesen itu dengan tujuan membuat "search party" bagi menangkap mereka yang berpakaian kuning. Apa yang menyedihkan saya, anggota PDRM tersebut tidak menjalankan tugas dengan cara berhemah dan profesional dengan orang awam yang berada disitu. Mereka memasuki kawasan itu dengan jerit pekik seolah-olah hendak menakut-nakutkan orang awam di situ yang rata-ratanya terdiri daripada golongan bekerja, wanita dan kanak-kanak. Macam samseng jalanan dalam filem-filem bercorak gangster, cuma kali ini ianya dilakukan oleh mereka yang beruniform bertugas untuk melindungi ketenteraman awam. 

Mereka berada dalam keadaan seolah-olah hilang ingatan dan semacam dirasuk ketika "search party" tersebut. Untuk makluman saudara, keadaan disitu sama sekali tidak ada aktiviti perhimpunan. Semua orang sedang bergegas untuk pulang. Sangat menyedihkan saya apabila beberapa anggota PDRM berbangsa Melayu menarik baju salah seorang peserta Bersih berbangsa Melayu juga yang boleh dianggap seusia dengan bapanya dengan kasar sekali. Sungguhpun demikian, beliau tidak melawan dan memberi jawapan "dah nak balik.." dan diarahkan supaya menanggalkan baju kuning tersebut serta merta. rupa-rupanya beliau bekas anggota PDRM juga. Beliau meluahkan perasaan kepada saya, sewaktu bertugas dahulupun beliau tidak pernah berkasar sedemikian rupa, tidak dengan apa yang berlaku pada hari ini. Wajah kecewa beliau sangat ketara sekali.

Di satu sudut berhadapan dengan saya seorang remaja belasan tahun memakai baju jersi bolasepak Kedah turut dicekup dengan alasan berbaju kuning serta diheret keluar seolah-olah penjenayah besar. Saya amat hairan dan khuatir dengan keadaan yang berlaku ini. Begitu zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Mereka seolah-olah hilang kewarasan apabila melompat naik melintasi kaunter laluan untuk ke platform menunggu bagi mencari saki baki baju kuning yang lain. Samseng berlesen barangkali. 

Saya amat menghormati serta berterima kasih dengan tugas serta pengorbanan anggota PDRM, tetapi oleh kerana segelintir daripada mereka yang tidak profesional dan 'kekampungan' telah mengikis tanggapan tersebut. Memang jelaslah bahawa negara ini merupakan "police state" acuan dan tinggalan penjajah. Apabila agama dan lunas-lunas kewarasan ditinggalkan jauh dari jiwa mereka, hanya sekadar untuk mengisi kekosongan jawatan dan cari makan..maka kesan dan akibatnya amatlah serius. Inilah PDRM masa hadapan yang dicorakkan oleh pemerintah untuk melindungi ketenteraman awam abad mendatang. Sekiranya ini berterusan, kita khuatir budaya gangsterisma ini bakal menggugat keharmonian negara. 

Persoalannya, apakah peranan Institusi Raja Berperlembagaan ketika ini hanya sekadar tunggu dan lihat diatas segala kelancangan yang dilakukan oleh sekeliaan hulubalang-hulubalang dan juak-juak mereka? Apakah mereka tidak mengenal sejarah sebelum ini? Dimanakah rakyat disisi mereka? Apakah suara rakyat tidak laku lagi di istana-istana mewah mereka? Apakah mereka tidak akan disoal oleh Allah Azza Wajalla di atas amanah yang diberikan oleh rakyat kepada mereka? Apakah definasi rakyat ini adalah kakitangan awam sahaja dan bukan rakyat marhain seperti saya? 

Wallahualam. Hanya Allah SWT sahajalah tempat kita mengadu kali ini. 


Sekian. Terima kasih.