Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Saturday 10 September 2011

Bakal rosak salasilah


KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) membantah mekanisme yang dicadangkan kerajaan negeri Terengganu bagi membolehkan anak tak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti kepada nama bapa berikutan tidak bertepatan dengan hukum syarak.
Presidennya, Mohamad Isa Abd Ralip berkata, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada nama bapa berikutan ia menyentuh soal menetapkan keturunan atau pertalian kekeluargaan berdasarkan hubungan darah yang sah iaitu menerusi ikatan perkahwinan yang ditetapkan syarak.

Katanya, jika dilakukan, ia akan merosakkan salasilah keturunan yang pasti akan bercampur dan akhirnya mengganggu proses membabitkan pewarisan harta, wali dan mahram.

“Mungkin tujuan cadangan ini baik iaitu memastikan anak yang tidak berbin atau berbintikan bapa itu nanti tidak mengalami gangguan emosi kerana masyarakat akan mengetahui mereka adalah anak hasil hubungan luar nikah.

“Namun, itu sebenarnya merujuk kepada kepentingan segelintir individu saja. Apa yang kita perlu ambil perhatian sebenarnya adalah mengenai kemaslahatan atau kepentingan dalam masyarakat,” katanya.


Menurut Mohamad Isa, hukum syarak sedia ada menetapkan bahawa anak tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapa itu termaktub dalam al-Quran dan bukan boleh diolah sewenang-wenangnya oleh manusia.

Katanya, hukum syarak mesti diberi perhatian terlebih dulu dan bukan pandangan masyarakat atau individu tertentu.

“Kita melihat ini sebagai satu isu yang akan memberi masalah pada masa depan. Pada masa sekarang, sebilangan masyarakat masih ada rasa takut untuk melakukan maksiat walaupun kes mengenai perkara ini semakin meningkat.

“Namun, jika perkara ini dilaksanakan juga, kita khuatir masyarakat pada masa depan akan lebih berani untuk melakukan maksiat hingga melahirkan anak tidak sah taraf tanpa sedikit pun rasa takut,” katanya yang mahu cadangan itu diberi perhatian lebih teliti.

Beliau berkata, jika mahu menutup malu segelintir pihak, tidak mustahil pelaksanaannya nanti akan membuka ruang menjadikan jumlah anak tidak sah taraf semakin bertambah besar.


Kelmarin, kerajaan negeri Terengganu merumus mekanisme dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan anak tidak sah taraf didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa bagi mengelak kanak-kanak berkenaan menanggung tekanan emosi, terutama ketika mula bersekolah.


Nama bapa juga dicadangkan turut dicatatkan dalam kad pengenalan tetapi akan diikuti dengan satu kod rujukan ‘Seksyen 13’ bagi memudahkan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan mengetahui status individu apabila kanak-kanak itu dewasa, terutama untuk proses akad nikah bagi pengantin perempuan.


Mekanisme cadangan itu diumumkan kerajaan negeri dalam mesyuarat khas ketua-ketua jabatan, Isnin lalu membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), JPN negeri, Jabatan Mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengelak tekanan emosi yang terpaksa dilalui anak tidak sah taraf.


Berdasarkan prosedur JPN kini, anak dilahirkan ibu yang bernikah kurang enam bulan perlu dibinkan Abdullah dan bukan nama bapa.


Berikutan mesyuarat itu, JPN bersetuju dengan cadangan itu dan akan membuat beberapa perubahan dalam akta sedia ada di Parlimen untuk dikuatkuasakan.


No comments:

Post a Comment