SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli menuduh
NFCorporation (NFCorp), yang mengambil langkah susulan dengan membuat laporan
polis dan Bank Negara, tidak menghormati undang-undang dan mengkhianati amanah
rakyat dan rela didakwa.
Katanya, beliau sedia maklum bahawa keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang mengendalikan NFCorp,
sedang berusaha untuk menyabitkan beliau di bawah Akta Bank dan Institusi
Kewangan (Bafia) di samping tindakan saman yang telah dibuat setakat ini.
"Saya menghormati hak mereka membuat laporan sekiranya dirasakan ada
peruntukan undang-undang yang telah dilanggar.
"Saya sedia bekerjasama jika ada siasatan demi menjamin proses
undang-undang berjalan dengan sebaiknya.
"Malangnya, sementara (Pengerusi Eksekutif NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamed
Salleh Ismail dan keluarganya begitu tegas dalam soal Bafia, keadaannya cukup
berlainan apabila mereka sendiri dilihat tidak menghormati undang-undang dan
mengkhianati amanah rakyat," kata beliau lagi.
Semalam, Salleh menemui pegawai-pegawai Bank Negara untuk memberikan
butir-butir perbuatan melanggar peraturan-peraturan kewangan yang didakwa
berlaku melibatkan Rafizi. Salleh mengulangi dakwaannya bahawa pegawai PKR itu
telah mengedarkan kepada media butir-butir perbankan peribadi dan sulit serta
kredit rating NFCorp dan syarikat-syarikat berkaitan, serta butiran peribadi
bank pengarah-pengarah dan pemegang saham syarikat tanpa kebenaran syarikat dan
pengarah.
Sejumlah 21 pelanggaran didakwa dilakukkan oleh Rafizi dan
pelanggaran oleh sebuah bank tempatan telah dilaporkan kepada Bank Negara,
menurut kenyataan NFCorp.
Mohamad Salleh membuat laporan polis mengenai pelanggaran yang dikata dilakukan
di bawah Bafia pada 26 April.
Beliau menggesa polis dan Bank Negara menyiasat pelanggaran Bafia itu.
Dalam kenyataannya, Rafizi menuduh bahawa sehingga hari ini mereka masih terus
menggunakan dana rakyat sewenang-wenangnya.
"Mereka juga belum menyerahkan mana-mana harta mewah yang telah dibuktikan
dibeli atau disyaki dibeli menggunakan dana RM250 juta yang sepatutnya
digunakan bagi tujuan lain," katanya lagi.
Rafizi seterusnya mendakwa dalam siri pendedahan yang dibuat, buktinya jelas
bahawa setiap ahli lembaga pengarah termasuklah anak-anak Salleh telah
melanggar pelbagai undang-undang dan tatakelola yang baik, namun sehingga kini
tidak ada seorang pun didakwa di mahkamah.
Malah menurut Rafizi, tidak ada satu pun dari kenyataan Salleh semalam yang
boleh meyakinkan rakyat bahawa beliau telah menggunakan dana awam RM250 juta
untuk mendapatkan pinjaman bank membeli lapan unit hartanah mewah di KL Eco
City.
"Beliau mendakwa saya telah memfitnahnya kerana kononnya beliau tidak
pernah membuat pinjaman untuk membeli unit-unit tersebut.
"Hakikatnya, beliau memang ada membuat pinjaman tersebut tetapi dibatalkan
oleh bank apabila skandal NFC menjadi panas.
"Buktinya, tawaran pinjaman dibuat oleh bank pada 23 Mei 2011 tetapi dibatalkan
pada 4 Januari 2012," kata Rafizi lagi.
Sehubungan itu, Rafizi berkata, beliau rela berhadapan dengan apa-apa tindakan
berikutan peranannya mendedahkan skandal NFCorp.
"Bukanlah sesuatu yang memalukan jika kita dihukum kerana berkata benar
dan mengambil tindakan yang betul.
"Tetapi jika kita dibuktikan menyeleweng wang rakyat yang sepatutnya
sampai kepada orang miskin tanpa sedikit pun rasa bersalah atau rendah diri,
kita akan dipandang hina di mata rakyat," tambah Rafizi.
Rafizi menambah, cubaan NFCorp untuk meletakkan dirinya di kandang orang
bersalah akan dipandang sinis oleh rakyat.
"Bukan saya yang dibicarakan rakyat tetapi NFCorp yang gerak gerinya terus
dihakimi rakyat," katanya.