BAGAIMANA
ALLAH MENJAGA KITA DAN BAGAIMANA PULA KITA MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH?
“Katakanlah
(wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara
kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta
benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan
(daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasik (derhaka).”
Surah
At-Taubat: 24
Wahai akhi yang dikasihi Allah sekalian,
Ibu bapa kita mencari rezeki untuk menyara kita tetapi
belum tentu mereka memperoleh apa yang dicari. Ibu bapa menjaga kita daripada
sakit dan penyakit tetapi belum tentu kita sihat sepanjang masa. Ibu bapa
mengawasi dan mendoakan keselamatan kita tetapi belum tentu kita selamat. Yang
menentukan segala-galanya ialah pemilik ibu dan bapa kita iaitu Allah
s.w.t.
Allah-lah yang mengizinkan rezeki diperoleh dan usaha ibu
bapa kita berhasil. Allah-lah menentukan kita sihat dan selamat dari segala
musibah dan bencana baik ketika kita jaga ataupun ketika kita tidur. Allah jaga
dan jamin keperluan kita dengan jagaan yang terbaik dari segi kesihatan,
keselamatan, rezeki dan sebagainya. Allah menjaga kita begitu rapi dan sempurna
seolah-olah kita seorang sahaja hamba-Nya.
Dalam kehidupan sehari-hari, Allah mengutuskan malaikat
untuk menjaga kita. Cuba fikirkan kenapa semut tidak masuk ke dalam rongga
telinga dan hidung kita sewaktu kita tidur? Bukankah rongga-rongga itu tidak
pernah tertutup sedangkan semut ada di merata-rata tempat? Tentulah ada sesuatu
yang menjaga kita dari gangguan makhluk-makhluk kecil tersebut. Sudah pasti
jawapannya ialah Allah. Kalau Allah tidak menjaga kita, entah apa yang berlaku
kepada kita setiap hari dan setiap saat. Adakah kita juga menjaga hubungan kita dengan Allah
sedemikian rupa sedangkan hanya Allah satu-satunya Tuhan kita? Adakah kita jaga solat kita?
Adakah kita menambahkan kecintaan dan ketaqwaan kita? Adakah kita memuja dan
memuji Allah umpama kekasih yang tenggelam dalam keasyikan rindu?
Wahai akhi yang dikasihi sekalian,
Setelah kita sedar betapa Allah menjaga kita, marilah
kita mempertingkatkan hubungan kita dengan Allah. Khusyukkanlah hati ketika
beribadat dan berzikir. Buanglah cinta palsu yang berasaskan nafsu yang bertakhta di hati. Persadakan cinta
Ilahi di mercu hati. Semoga dengannya
kita sentiasa dirahmati Ilahi.
Kata-kata
Hikmat:
“Allah
menjaga kita seolah-olah hanya kita seorang sahaja hamba-Nya.”
No comments:
Post a Comment