Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Monday, 27 February 2012

Guan Eng dedah teks debat, cabar Soi Lek berbuat demikian juga






 

Adakah Presiden MCA Chua Soi Lek berani mendedahkan sepenuhnya teks ucapan perbahasannya dengan saya pada 18 Februari 2012 dalam Bahasa Malaysia agar rakyat Malaysia dapat baca samada MCA bersikap perkauman serta melancarkan serangan peribadi bukan sahaja terhadap saya dan mantan Presiden MCA Ong Tee Keat?

Hari ini, saya telah mengumumkan teks ucapan dan transkrip perbahasan saya dengan Chua yang bertajuk, "Adakah Sistem Dua Parti Akan Menjadi Sistem Dua Kaum?". Ini adalah untuk menjawab usaha media massa yang dikuasai BN, yang putar belit ucapan saya dengan fitnah. Pada 21 Februari 2012 suratkhabar milikan MCA, The Star telah meminta maaf kerana fitnah dalam artikel Baradan Kuppusamy di bawah tajuk "All hype but no climax?" yang cuba mengindahkan Chua.

Teks ucapan ini adalah penting untuk menangkis tuduhan puak rasis dan ekstremis yang cuba menggambarkan parti berbilang kaum seperti DAP sebagai parti perkauman sedangkan sebenarnya parti MCA adalah parti perkauman sama seperti UMNO dan MIC. Teks ucapan penuh adalah seperti berikut:-

Pendahuluan, Lim Guan Eng:

Pertama sekali saya ingin mengucap terima kasih kepada penganjur kerana menyiarkan secara langsung debat televisyen ini. Debat televisyen mencipta satu bab yang baru dalam politik demokrasi Malaysia kerana ia merupakan satu sifat penting dalam kemajuan demokrasi. Saya berharap mulai hari ini, debat televisyen akan menjadi satu fenomena umum yang lumrah dalam sistem demokrasi Malaysia seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

Oleh itu saya berpendapat bahawa, apa yang warga Malaysia benar-benar ingin saksikan, adalah debat antara Perdana Menteri Najib dengan Anwar, untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih layak menjadi Perdana Menteri. Siapa tidak berani berdebat, jangan harap nak jadi Perdana Menteri!

Chua ada menimbulkan dakwaan bahawa DAP diperalatkan oleh PAS, tetapi jikalau tuan-tuan dan puan-puan perhatikan, di kalangan orang Melayu, UMNO mengatakan bahawa PAS diperalatkan oleh DAP. Oleh itu, hujah yang bercanggah sesama sendiri ini saya percaya merupakan taktik kotor BN. Saya ingin tekankan di sini, parti komponen dalam Pakatan Rakyat, biarpun PAS, PKR atau DAP, kami tidak memperalatkan sesama sendiri, kami hanya bersiap sedia untuk "diperalatkan" oleh rakyat! Pada masa yang sama, kami bukan anti-Melayu, ataupun anti-bukan Melayu, kami cuma anti-kerajaan yang bergelumang dengan rasuah!

Tema hari ini "Adakah Sistem Dua Parti akan menjadi Sistem Dua Kaum", sebenarnya saya berasa pelik. Kerana, sekarang sudah wujud Sistem Dua Kaum, kami nak menjadikannya Sistem Dua Parti. Sistem Dua Kaum ini sememangnya ideologi BN selama ini, sejak kemerdekaan sehingga kini, BN telah membezakan rakyat sebagai Melayu dan Bukan Melayu, ini adalah taktik pecah dan perintah. Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pernah berkata, saya utamakan Melayu dahulu, barulah rakyat Malaysia. Adakah ini Satu Malaysia? Ataupun ini Tipu Malaysia? Inilah Sistem Dua Kaum!

Sebaliknya, Sistem Dua Parti itu berasaskan ideologi, idealisma dan prinsip, tanpa membezakan kaum kerana kita semua adalah rakyat Malaysia.

Dalam BN, UMNO hanya menjaga orang Melayu, MCA hanya menjaga orang Cina, MIC hanya menjaga orang India, Gerakan itu… tak tahulah dia menjaga siapa.. Itulah BN yang "kamu jaga kaum kamu, saya jaga kaum saya", ini adalah sistem Dua Kaum!

Sebaliknya, di dalam Sistem Dua Parti, kita semua sanak saudara perjuangan, kita menjaga kebaikan antara satu sama lain; setiap warga Malaysia adalah seperti ahli sekeluarga!

UMNO selalu melaung-laungkan "Ketuanan Melayu". Adakah MCA tidak terlihat, tidak terdengar dan tidak terasa, sebab itulah tidak berani untuk menghalangnya? Justeru itu, kita masih mendengar bahawa orang Cina adalah pendatang, tidak berhak menuntut hak yang saksama di Malaysia.

PR berlainan dengan BN. Apa yang kita mahu bukan "Ketuanan Melayu", apa yang kita mahu ialah "Ketuanan Rakyat"! Anwar bukan sahaja bercakap tentang "Ketuanan Rakyat" di depan orang bukan Melayu, tetapi dengan orang Melayu juga beliau cakap yang sama. Saya tidak pasti sama ada pemimpin UMNO berani berhenti melaungkan "Ketuanan Melayu" tetapi menyokong "Ketuanan Rakyat".

Apabila rakyat ataupun pemimpin PR membongkar penyalahgunaan kuasa atau rasuah dan menyoalkan integriti Polis atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah, kami dituduh mencabar institusi Melayu - ini adalah sistem Dua Kaum! Rasuah itu tidak mengenali perbezaan warna kulit. Allahyarham Ahmad Sarbaini, pegawai kastam yang terkorban, bukankan beliau seorang manusia?

Pakatan Rakyat mahu hapuskan rasuah, BN mahukan rasuah! PR akan memastikan pemimpin yang jujur dan kerajaan yang bersih, termasuk mengisytiharkan aset, tender terbuka, ini barulah sistem dua parti! Yang paling penting sekali, menangkap pegawai yang benar-benar rasuah, bukan memfitnah Teoh Beng Hock yang tidak bersalah.

Pihak lawan saya selalu berkata, "Kaum lain menjadi kerajaan, Kaum Cina menjadi pembangkang". Ini salah sama sekali. Sebenarnya, "BN MCA menjadi pembangkang, PR DAP menjadi kerajaan" barulah yang resahkan MCA. Bukan sahaja orang Cina yang menyokong PR untuk berubah, orang Melayu pun sama, jika kami tidak dapat sokongan 40% orang Melayu, tsunami politik tidak mungkin akan berlaku. Saya percaya, saya pun tidak akan berpeluang berdiri di sini sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Chua pun mungkin tidak berpeluang menjadi Presiden MCA.

Dalam sistem yang demokratik, sistem Dua Parti perlu peralihan parti pemerintah secara alternatif. Biar BN tumbang jadi pembangkang, biar PR bangkit jadi kerajaan! Jikalau PR tidak memerintah dengan baik, rakyat berhak bertukar lagi selepas lima tahun. Ini barulah sistem Dua Parti, peralihan parti pemerintah secara alternatif, barulah rakyat akan ada kehidupan yang baik.

Soalan daripada moderator:

Moderator (Tang Ah Chai): Masyarakat Cina sudah mulai mengalu-alukan sistem dua parti sejak tahun 1980. Jikalau kita menggunakan keputusan 2008 sebagai satu rujukan, undi yang diberi kepada BN dan PR adalah lebih kurang separuh masing-masing. Ini menunjukkan separuh rakyat berpuas hati dengan pemerintahan BN, separuh rakyat mempunyai harapan kepada PR. Adakah ini bermaksud sekarang kedua-dua pihak telah mencapai tahap perjuangan dua parti? Macam manakah parti anda memenangi undi yang separuh lagi?

Jawapan daripada LGE: 

Kalau PR berpeluang menjadi kerajaan, dasar kami adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat. Sekarang semua harga barang naik, duit tak cukup menampung hidup rakyat, kami hendak meringankan beban rakyat. Kalau jadi kerajaan, kami akan memansuhkan toll Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang. Kami juga akan meningkatkan royalti minyak daripada 5% kepada 20% bagi Sabah dan Sarawak. Lagi, warga emas. Saya tahu, sejak Pulau Pinang memberi warga emas RM100 setiap tahun, BN ciplak, bukan sahaja BN yang ciplak, MCA pun meniru. Jadi, selain daripada berterima kasih kepada Chua, mereka (ahli MCA) harus berterima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang jugalah. Jika kami boleh mengambil kuasa di peringkat pusat, kami ingin maklumkan warga emas seramai 2.1 juta di seluruh negara bahawa kami janji akan memberi RM1,000 setiap tahun. Ini adalah kebaikan peralihan kerajaan secara alternatif. Kebaikannya adalah bahawa parti dinilai berdasarkan dasar atau polisi mereka, kami hendak jadi "negeri polisi" dan bukan negeri polis. Sekian.
Jawapan bagi Sesi Soaljawab:

LGE: Tadi itu EXCO Perak Mah Hang Soon, kan? Saya rasa kita semua tahu waktu PR menjadi kerajaan di Perak, PR lah yang mulakan inisiatif memberi tanah kepada sekolah, dan juga memberi pajakan tanah kekal kepada penduduk kampung baru dan penduduk miskin. Tetapi sejak BN menjadi kerajaan, ini sudah dimansuhkan. Sebab itu, saya berasa anda tidak layak untuk mempersoalkan sesiapa.

Tentang soalan bahawa kerajaan Pulau Pinang memberi janji kosong, saya nak menekankan bahawa kami sudah menunaikan semua janji pilihan raya. Tentang kenapa tol Sungai Nyior tidak dimansuhkan, para hadirin harus ingat bahawa itu di bawah bidang kuasa kerajaan pusat. Kami belum mengambil kuasa kerajaan pusat, jadi sabarlah… Bila kami mengambil kuasa kerajaan pusat, sudah tentu kami akan memansuhkannya, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang. Tetapi, walaupun belum dimansuh, kami sudah membina satu jalan untuk memintas tol Sungai Nyior itu, jadi samalah, tidak perlu membayar tol tak munasabah ini.

Kejayaan Pulau Pinang, saya percaya ia boleh dibuktikan. Selepas Mac 2008, semua orang boleh lihat, sentuh dan rasa perubahan yang berlaku. Di Semenanjung Malaysia, papan tanda dwibahasa dengan Bahasa Cina yang pertama didirikan. Papan tanda berbahasa Tamil yang pertama di Malaysia juga terletak di Pulau Pinang. Pulau Pinang pertama kali mendirikan papan tanda berbahasa Arab, juga kerana kejayaan kerajaan PR. Kejayaan Pulau Pinang dalam membanteras rasuah pun yang paling terserlah, sehingga kami dapat pujian Transparency International. Kalau ada orang yang bersalah, kami tidak akan melepaskannya sebegitu sahaja, tetapi Pulau Pinang yang mempunyai rasuah sifar adalah satu hakikat yang diakui oleh organisasi dunia. Kami tidak makan duit itu memang tidak makan duit. Terima kasih.

Soaljawab sesama lain:

CSL: Kita dengar polisi yang populis, beri RM100, mansuh ini mansuh itu, adakan anda boleh memberitahu atas persada ini apakah model pembangunan masyarakat dan ekonomi Pakatan Rakyat supaya Malaysia boleh keluar daripada situasi berpendapatan rendah dan mencapai pendapatan tinggi, termasuk menunaikan janji-janji dalam Buku Jingga?

LGE: Saya rasa ini perbezaan antara saya dengan Presiden Chua. Beliau tidak risau kepada isu rasuah, saya pula risau sangat tentang isu rasuah. Kita perlu ada satu kerangka untuk mengurus hal ehwal negara. Apakah rancangan untuk membawa pembangunan ekonomi? Saya ingin mengambil model Pulau Pinang sebagai contoh. Ini semua adalah hasil daripada amalan sistem pemerintahan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang mempraktikkan sistem "wang gandakan wang". Sistem ini menekankan empat aspek utama iaitu yang pertama, wang kumpulkan wang melalui inisiatif kerjasama antara pihak awam dan swasta dalam menjalankan projek pembangunan. Kedua ialah wang untungkan wang. Melalui amalan sistem tender terbuka, Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan kos pembiayaan. Ketiga ialah wang hasilkan wang menerusi pendekatan kreatif dan inovatif. Dan yang terakhir ialah wang jimatkan wang. Sekiranya kita tidak makan wang, sudah tentu wang akan sentiasa ada.

Oleh itu, dalam empat tahun berturut-turut ini, Kerajaan Pulau Pinang mendapat keuntungan tiap-tiap tahun dan mampu beri balik duit kepada rakyat melalui Program Warga Emas RM100 setiap tahun, pewaris kepada warga emas yang meninggal dunia akan menerima RM1000 sekali sahaja, malah lahir bayi pun dapat RM200 di bawah Program Anak Emas. Semasa Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang, satu sen pun tidak beri, tetapi dengan prinsip "wang gandakan wang" ini, kami memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang, dan ini sebenarnya dividen anti-rasuah!

Di samping itu, di Malaysia, saya percaya jika kita boleh membanteras rasuah, dan bukan makin banteras makin rasuah, kita boleh menjimatkan banyak wang dan memberi balik kepada rakyat jelata. Inilah janji kami, Pulau Pinang adalah bukti yang terbaik! Jikalau kita berani membanteras rasuah, kita tentu akan perolehi wang. Terima kasih.

Jawapan bagi Sesi Soaljawab & Penutup, LGE:

Pertama sekali saya ingin membalas sesetengah tuduhan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak memberi tanah kepada sekolah Cina, saya rasa ini bukan sahaja hendak menipu diri sendiri tetapi juga hendak menipu orang lain. Ini kerana kami mempunyai bukti, sekolah pun boleh mengesahkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah memberi tanah. Jangan lupa, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sekarang memberi peruntukan yang diinstitusikan kepada semua aliran sekolah, selain daripada sekolah Cina, ada lagi sekolah Tamil, sekolah agama rakyat dan sekolah swasta Cina. Dulu tidak ada langsung, kini tiap-tiap tahun dapat peruntukan.

Di sini, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia, beranilah untuk berubah, kita tidak harus serah diri kepada nasib. Kita berhak menikmati peluang yang saksama. Kita tidak harus melutut untuk minta, kita harus bangkit dengan berani dan bermaruah untuk berubah! Kita tidak mahu ditipu lagi, berubah sekarang juga! Tengok, presiden MCA juga sudah berubah, pertama kali berdebat dengan Roket. Tetapi berdebat itu tidak penting, yang penting itu, beranikah MCA cakap "Tak Nak" kepada UMNO?

Kenapa harus cakap "Tak Nak" kepada UMNO? Kerana UMNO menggunakan sentimen perkauman dan agama, termasuk menyokong PERKASA untuk menghasut dan memecah-belahkan rakyat! Kedua, UMNO menyalahgunakan undang-undang yang menyalahi hak asasi manusia. UMNO rasuah, isu Kak Shahrizat dengan Lembu itu hanya "tip of the iceberg". Yang lagi serius itu, dalam 10 tahun yang lalu, sejumlah RM1 trillion wang haram (rasuah) telah dibawa keluar dari negara ini secara curi-curi. Yang ini (RM1 trillion) macam mana kira?

Seperti apa yang diakui oleh mantan presiden MCA Ong Tee Keat tentang MCA bekerjasama dengan UMNO, dulu MCA sekurang-kurangnya boleh makan semeja saki baki hidangan UMNO. Sekarang paling baik pun dapat cebis dan sisa roti sahaja.

Ramai Melayu tidak dapat menikmati pembangunan negara, tidak ada RM250 juta untuk menternak lembu, kerana terlalu banyak "buah-buah yang baik dimakan oleh kroni BN", rakyat hanya boleh tertunggu-tunggu, makan sisa buah!

Masalah yang dihadapi masyarakat Cina, saya percaya para hadirin pun tahu, berlonggok-longgok, kita semua tahu apa masalahnya. Selain daripada masalah sijil sekolah swasta (UEC) tidak diakui, sekolah Cina tidak mendapat peruntukan yang mencukupi, guru-guru yang tidak arif berbahasa Cina dihantar ke sekolah Cina, ada juga masalah guru sandaran yang belum diselesaikan. Oleh itu kesemua isu peluang yang tak saksama dalam ekonomi dan pekerjaan ini, saya percaya bukan sahaja orang Cina tetapi kaum lain juga menghadapinya. Oleh sebab itu kita harus mengambil peluang ini untuk berusaha dengan kaum lain untuk membawa perubahan.

Apa yang kita menitikberat sekarang adalah masa hadapan anak-anak kita. Masa depan generasi saya sudah dirompak BN selama 50 tahun ini, jangan biar masa depan anak-anak kita dirompak juga. Oleh itu, kita sedang menunggu peluang untuk berubah.

Pagi ini sebelum saya datang, saya beritahu anak perempuan saya, kalau ada peluang, saya hendak menjadi suara generasi muda kamu. Saya harap kita ada polisi yang terbuka untuk membolehkan kamu tinggal di sini, jangan berhijrah keluar lagi. Kita hendak menitikberatkan bakat. Ingat, hanya dengan menitikberat, menghargai dan memilih bakat, barulah masa depan Malaysia akan cerah dan makmur.

Kita lihat Korea Selatan, pada tahun 1970, pendapatan purata mereka hanya USD260 seorang, pada tahun 1970 Malaysia lebih baik, ada USD380. Tetapi sekarang Korea Selatan sudah melangkaui Malaysia, sekarang Malaysia mempunyai pendapatan purata USD7760, manakala Korea Selatan sudah mengecapi USD20,000!

Kenapa Korea Selatan boleh menjadi negara berpendapatan tinggi, tetapi Malaysia masih terkandas? Faktor terutama ialah Korea Selatan adalah negara demokrasi, ada sistem Dua Parti, ada peralihan parti pemerintah secara alternatif. Oleh itu, sekiranya kita mahu berubah, kita mahu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, kita perlu ada keberanian untuk bangkit dan berubah, ada keberanian untuk merealisasikan sistem dua parti. Jalan ini sememangnya tidak mudah, tetapi saya mahu mengingati semua, kerjasama kami dengan PAS, PKR adalah satu manifesto deklarasi yang bertulis, Ini sudah diumumkan kepada semua, PAS ada ideologi PAS, DAP ada ideologi DAP, tetapi jangan lupa, PAS tidak pernah membunuh walau seorang pun orang Cina. Ini realiti, biarlah kita bertabah hati, bertekad untuk berubah, walaupun susah, tetapi demi generasi muda, kita harus sempurnakan jalan perubahan ini! Sekian.

*Teks ini disediakan dari pejabat Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment