Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Thursday 15 November 2012



DETIK MULA MENGAPA AKU CENDERUNG KEPADA PAS

Anak saudaraku, N (nama samaran)  mula berubah sejak menghadiri persembahan konsert di Pantai Batu Buruk. Itulah cerita rintihan kakakku bagaimana N mula derhaka kepadanya. Kini N bukan lagi seperti N yang dulu. N dulu tak berani bantah cakap ibu ayah. N dulu tak berani keluar rumah pada waktu malam, kalau orang tuanya tak izin. N dulu tak intim dengan lelaki yang tak dikenalinya. Tetapi N kini terbalik kuang. Entah apa yang dilakukannya ketika keluar rumah bersama teman lelakinya, hanya Tuhan yang tahu.

Saudara-mara dah tahu perubahan pada diri N. Orang kampung dah lihat N bermotor ke sana-sini dengan budak lelaki.  Bukan sahaja ibu bapa N, aku sebagai ayah saudaranya juga turut tebal muka melihat perlakuan N. Pantang ada konsert, N akan pergi. Keluar sebelum Isyak balik lewat malam. Kakakku kata N pernah pulang waktu pagi. Di mana N bermalam entahlah.

Susahnya hati ibu bapa N. N pernah dirotan. Pernah juga dia dikurung berhari-hari tapi N tidak juga berubah. Takkan nak kurung sepanjang masa. Sekolah nak kena pergi. Takkan nak rotan separuh mati, lain pula jadinya nanti. Yang lebih mengejutkan ibubapanya ialah N dah mula ugut tak akan balik ke rumah lagi kalau dia dikurung. Mengalir  air mata kakakku apabila menceritakan kisah N.
Dari wajah cengkung kakakku, aku tahu betapa penderitaan batin kakakku. Bagaimana nasib N seterusnya nanti? Mengandungkah dia? Buang anakkah dia? Malu. Malu. N dah sukar dikawal.

Demikianlah senario yang mula mencipta detik dalam hatiku hingga aku mula mendekati PAS. Aku lihat konsert yang seperti cendawan tumbuh selepas hujanlah yang merosakkan anak saudaraku. Konsert yang berleluasa di bawah kuasa kerajaan BN menyebabkan remaja semakin rosak akhlaknya. Bila jadi begini ibu bapa yang disalahkan. Ibu bapa yang dikatakan tak pandai didik anak. Di rumah kita didik anak, di luar sana terhidang segala program dajal. Kerajaan tak rasa bertanggungjawab pun.
Terfikir juga aku, manakah program pembinaan sahsiah remaja yang dianjurkan oleh kerajaan negeri? 

Di manakah institusi pemulihan akhlak remaja? Kerajaan yang aku pilih buat apa? Apa yang aku bimbangkan ialah nasib anak-anakku pula. Kini mereka masih di sekolah rendah. Apa akan terjadi apabila mereka meningkat remaja nanti? Apakah nasib yang dialami oleh kakakku akan tertimpa pula padaku?

Sejak itulah aku curi-curi ke ceramah PAS. Kadang-kadang aku beli Harakah. Ada masa aku buka internet. Kini aku hanya menunggu hari mengundi PRU13. Aku harap berlaku perubahan. Ya perubahan sebelum anak-anakku melangkah ke alam remaja. Aku takut terlambat. Kisah yang terjadi kepada anak saudaraku, N, adalah detik mula mengapa aku mula cenderung kepada PAS.







No comments:

Post a Comment