Di sekolah, antara didikan guru kepada anak muridnya ialah
cara-cara menerima hadiah. Biasalah budak-budak naik pentas kerana menang
pelbagai pertandingan dan cemerlang dalam bidang akademik. Apa yang
diperhatikan, ada anak-anak yang menyalahi adab ketika menerima hadiah. Lantas,
para guru selalu mengajar anak-anak didik cara yang betul.
Apakah antara kesalahan dalam adab menerima hadiah?
Antaranya, tidak mengucapkan terima kasih atau ucapan yang tak didengari kerana
terlalu perlahan, tidak bersalam dan tidak memandang wajah penyampai hadiah. Budak-budak katakan. Bukan mereka sengajakan.
Mereka masih dalam peringkat belajar. Peranan guru dan ibu bapalah membina
sahsiah mereka.
Orang dewasa mudah peka apabila anak-anak melakukan
kesalahan. Macam kes berikut. Apabila anak tersepak gelas di atas lantai, lalu
si ayah akan berkata, “Budak ni, mata letak kat mana?” Tetapi apabila si ayah
pula tersepak gelas, si ayah akan berkata pula,” Siapa yang letak gelas atas
lantai ni?” Inilah sikap orang dewasa yang lebih dulu makan garam.
Mari kita perhatikan orang dewasa yang beriman , ya beriman,
ketika berjabat salam selepas selesai solat jamaah. Ramai yang berjabat tangan
ala kadar, macam sudi tak sudi menyambut jabatan salam dari rakan jamaah. Bertentang wajah pun tidak. Tangan berjabat
tetapi pandangan mata ke lain. Yang lebih teruk lagi; sambil berjabat salam,
sambil bercakap dengan orang lain. Betulkah cara bersalam begini mengikut
sunnah?
![]() |
Contoh bersalam penuh ukhuwah dan mesra |
Agaknya berjabat salam itu dah jadi rutin, maka
keistimewaannya tidak terserlah lagi. Macam orang yang tak pernah naik keretapi, sekali-sekali
naik keretapi rasa amat seronok. Tetapi apabila tiap-tiap hari berulang kerja
naik keretapi, tak rasa apa-apa keistimewaan lagi. Begitulah agaknya analogi
yang sesuai untuk para jamaah yang dah merutinkan salam selepas berjamaah.
Bukan semua, tetapi kalau itulah kita, bagaimana?
oleh:
BayangDiAir.
No comments:
Post a Comment