Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Tuesday, 21 June 2011

SUAMI SEMACAM SALIH YACOB AKAN DAPAT INSENTIF


KOTA BARU, 21 Jun – Kerajaan negeri Kelantan bercadang memberi insentif khas kepada golongan suami yang tidak menyembunyikan perkahwinan lain daripada isteri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata pemberian insentif khas itu sebagai galakan kepada para suami agar tidak menyembunyikan perkahwinan berikutnya itu daripada diketahui oleh isteri dan anggota keluarga yang lain.

“Ada syaratnya dan kalau anda seperti Salih Yaakob (penyanyi dan juruhebah Radio Sinar FM) bolehlah ke hadapan untuk terima insentif itu.

“Apa pun ini masih di peringkat cadangan lagi dan jika dipersetujui, bukan sahaja suami yang akan mendapat penghargaan tetapi kepada isteri-isteri dan anak-anak, mereka juga akan turut mendapat insentif ini nanti,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Ketika menggulung perbahasan sebelum itu, Wan Ubaidah berkata kerajaan negeri menyambut baik cadangan itu kerana ketika ini ramai yang masih menyembunyikan perkahwinan kedua dan seterusnya.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata pada 2002 sahaja lebih 1,000 pasangan telah mendaftarkan perkahwinan berikutnya di Kelantan.

“Yang tidak daftar mungkin ramai dan ini yang kita tidak mahu kerana ia boleh mengundang masalah,” katanya.

Wan Ubaidah berkata kerajaan Kelantan tidak menyekat poligami kerana ia sebahagian daripada Islam tetapi dengan syarat suami itu perlu adil.

“Kita tidak menyokong yang kahwin cerai dan perlu adil dalam setiap perkahwinan itu,” katanya.

Katanya adalah lebih baik mereka yang berkahwin lebih itu memilih armalah (janda) sebagai pasangan hidup kerana di Kelantan sahaja terdapat 25,000 para janda yang berumur bawah 60 tahun dan masih boleh dijadikan isteri.

KENAPA MB SELAK KAIN ORANG?


Kita harap Dato Ahmad Said selaku Pengerusi Umno negeri Terengganu lebih menumpukan untuk menyelesai masalah dalam Umno Terengganu sendiri daripada menghabiskan masa beliau untuk ‘capik’ (membicarakan) hal ehwal dalaman Pas Terengganu. Nampaknya Umno Terengganu serba tak kena berpemimpinkan Dato Ahmad Said. Semakin bercakap semakin menampakkan kedangkalan (kebodohan) beliau dalam hiraki pimpinan Pas. Apa yang beliau gambarkan seolah-olah kepimpinan Pas ini sama seperti kepimpinan Umno.

Kita nasihatkan beliau, kalau tak tahu apa-apa tentang Pas jangan dok cakap merapu tak tahu ke hala. Lagi cakap, lagi terdedah kejahilan beliau. Kalau nak serang Pas pun, biarlah bermaklumat dahulu. Tetapi kalau nak menipu dihadapan ketua-ketua cawangan Umno, munasabahlah, sebab mereka akan telan semuanya. Tapi kalau nak tipu semua rakyat Terengganu… maaflah! Tak semua rakyat Terengganu ni bodoh belaka.

Perjuangan Pas semakin menyimpang

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyifatkan parti Pas kini semakin jauh dari perjuangan asal mereka berikutan barisan muka-muka baru dalam kepimpinan parti itu dipilih dari bukan kalangan ahli agama.


Katanya, hanya tiga daripada lapan Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) parti berkenaan dilantik menyertai 22 jawatankuasa Pas negeri yang diumumkan oleh Pesuruhjayanya, Haji Abdul Wahid Endut.

“Kini sudah jelas perjuangan yang mereka laungkan selama ini untuk menegakkan negara Islam adalah hipokrit semata-mata dan kini hendak wujudkan negara kebajikan pula,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua cawangan Umno seluruh negeri di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, petang semalam.


Menteri Besar, berkata kepimpinan Pas negeri sekarang bukan lagi kepimpinan yang dibarisi golongan ulamak dan perjuangan mereka semakin menyimpang termasuk sanggup menggadai maruah bangsa dan agama demi mencapai cita-cita memerintah negara ini. 

Menurutnya, dalam jawatankuasa baru mereka yang terdiri daripada tiga orang timbalan dan tiga orang penolong setiausaha itu jelas membayangkan mereka mempunyai masalah dalaman tetapi cuba menyembunyikannya.


http://teganukita.blogspot.com/2011/06/perjuangan-pas-semakin-menyimpang.html


Hakikatnya dalam saff baru perlantikan jawatan kepimpinan Pas negeri merupakan gabungan akrab antara Ulama, Profesional & Aktivis Parti. Semua Adun Pas ada peranan dan tugas masing-masing dalam kepimpinan Pas Terengganu. Sila perhatikan nama dibawah.

Kepimpinan Badan Perhubungan Pas Terengganu sessi 2011-2013

YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang – Penasihat (Yb Ru Rendang)

YB Wahid Endut – Pesuruhjaya (Adun Wakaf Mempelan)

Ustaz Saiful Bahari Mamat - Timbalan pesuruhjaya 1
Muhyiddin Abdul Rashid – TPJ 11
YB Dr Alias Razak – TPJ 111 (Adun Bkt Tunggal)

Ustaz Husein Awang - Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu
Ustaz Mohd Nor Hamzah - Ketua Pemuda Pas Terengganu (Adun Bukit Payong)
Hajah Safinah Jusoh - Ketua Muslimat Pas Terengganu
M Shukrimun Shamsudin – bendahari & YDP Kuala Nerus

Yahaya Ali – Setiusaha & YDP Marang
Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh - Ketua Penerangan
Ustaz Ariffin Deraman - Pengarah pilihan raya.
Hj Hanafiah Mat, Ustaz Kamaruddin Yunus dan Ustaz Zakaria Dagang - penolong setiausaha.

AJK Badan Perhubungan Pas Terengganu

YB Tuan Guru Datuk Harun Taib – YDP Hulu Terengganu (Adun Manir)
Datuk Abu Bakar Chik – (Ajk Pas Pusat)
Ustaz Harun Jusoh
Abdul Haris Abdul Malik
Zarani Othman
Dr Khazani Abdullah
Dr Azman Mohamad
Ustaz Wan azhar Wan Ahmad – YDP Besut
Ustaz Mohd Pauzi Muda – YDP Setiu
YB Ustaz Wan Hassan Wan Ramli – YDP Dungun (Adun Sura)
Hj Ismail Harun – YDP Kemaman
Ex-officio YB Dr Syed Azman – Pen S/U Pas Pusat (Adun Batu Buruk)
Setiusaha Pas Kawasan-kawasan

Bercakap soal Negara Islam & Negara Berkebajikan, sekali lagi menampakkan kejahilan MB Terengganu Darul Iman. Tidak memahami takrifan dan kehendak Negara Islam itu sendiri. Pemikiran sekular mereka masih lagi terperangkap dalam kerangka ‘Welfare State’ atau ‘Capitalism State’ tajaan barat. Diharap Dato Ahmad Said mengikuti apa yang dibuat oleh dato Idris Jusoh, pergi belajar ke Jordan untuk memahami Bahasa Arab & Pengajian Islam selama 6 bulan. Jangan dok ingat Kerajaan buat ‘Loteri Kebajikan’ itu sebagai Negara Berkebajikan ala Umno.

Kalau nak menuduh Pas hipokrit. Tengok muka dalam air sendiri. Seolah-olah Kerajaan pimpinan Umno teramat berkehendakkan Negara Islam kononnya, habis kenapa undang-undang hudud & Qisas yang diluluskan oleh Pas memerintah dahulu tidak dilaksanakan sekarang. Kuasa di tangan kenapa tidak angkat kepimpinan ulama? Bahkan sejak dahulu kepimpinan ulama Pas diserang sehingga kini tetapi dalam Umno sendiri tiada posisi ulama dalam hiraki kepimpinannya. Hanya setakat biro dan bukan sayap. Sama taraf dengan biro sukan aje status ulama. Penubuhan ulama muda pun… entah kemana.

Masalah dalaman Umno Terengganu yang tak berkesudahan menyebabkan Ahmad Said dengki dengan kesepakatan dan kerjasama yang mantap dikalangan pimpinan Pas Terengganu sehingga sanggup menuduh bahawa pas ada masalah dalaman. Hasil tarbiyyah dan ukhuwwah dalam Pas insyaAllah dapat melahirkan kemenangan dalam Pru 13 nanti. Meskipun tanpa kuasa memerintah, tiada habuan kebendaan dan projek tetapi kepimpinan Pas yang ada istiqamah atas dasar islam yang diperjuangkan.

Diharapkan pembantu dan penolong MB serta Pengerusi Umno Terengganu itu dinasihati. Kasihan kat beliau, kejahilan beliau itu nanti dipersendakan oleh rakyat Terengganu sendiri. Jangan dok sibuk selak kain orang... cuba tengok dalam kain sendiri tu dulu... apa ada?

Hentikan tindakan samseng ugut rakyat


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) beri amaran kepada Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan ahli-ahli pertubuhan itu agar menghentikan tindakan samseng mereka dan ugutan kepada rakyat Malaysia khususnya kalangan bukan Melayu yang mahu menyertai Himpunan Bersih 2.0. Pemuda PAS bersedia menjadi perisai kepada rakyat pelbagai kaum yang hadir dalam perhimpunan Bersih 2.0 sekaligus menolak sebarang tindakan provokatif yang cuba diadakan oleh Perkasa untuk menimbulkan suasana tegang dan huru-hara.

DPPM kesal dengan risalah perkauman yang diedarkan Perkasa yang menyebut "Awas!!! Ambiga Wanita Hindu yang Merbahaya". Ini sudah melampau dan jelas satu penghinaan kepada Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dan kaum lain. DPPM juga kesal kerana Ibrahim dalam ucapannya di Kelab Sultan Sulaiman turut memberikan amaran kepada Kaum Tiong Hua supaya membeli makanan tambahan untuk disimpan dirumah jika Himpunan Bersih 2.0 tidak dihentikan kerana Perkasa akan lakukan apa sahaja bagi menghentikannya. Mereka mahu lakukan apa? pukul orang India, pecah rumah dan kedai orang cina? bakar rumah ibadat? atau pijak kepala babi dan lembu di dataran Merdeka?

Siapa Perkasa yang mahu melawan kebangkitan rakyat. Apa tujuan mereka membuat ugutan kepada kaum bukan Melayu. Negara ini milik semua dan rakyat berhak turun ke jalan raya untuk menyatakan tuntutan mereka secara aman.

DPPM yakin bahawa Perkasa bekerja untuk Umno yang kini terdesak untuk menahan asakan Bersih 2.0. Mereka memperkudakan Ibrahim dan ahli mereka dalam Perkasa untuk mewujudkan suasana huru hara. Perkasa cuba mengumpan supaya pihak Polis membuat tangkap awal termasuk mengunakan akta ISA. Malah mereka cuba mencabar Polis untuk menangkap pemimpin mereka sendiri sebagai korban untuk menunjukan keadilan Polis dalam bertindak, walhal yang mahu membuat huru hara adalah pelampau Perkasa sendiri.

DPPM melihat Perkasa cuba untuk mewujudkan 13 Mei kedua, mereka mahu Operasi Lalang berulang. Ugutan-ugutan ekstrim mereka menunjukan bahawa mereka memang kumpulan pelampau yang wajar diambil tindakan oleh pihak Polis. Kenapa pihak Polis berdiam bila Perkasa membuat ugutan? Diharapkan Polis tidak menutup mata dan telinga hanya kerana Perkasa melaungkan slogan yang kononnya mahu membantu Menteri Dalam Negeri didalam menghadapi Bersih 2.0.

DPPM memberikan jaminan kepada orang-orang Melayu dan bukan Melayu bahawa Himpunan Bersih 2.0 akan berjalan dengan aman dan selamat. Semua peserta dilarang membawa sebarang senjata atau melakukan kerosakan dan provokasi. Peserta Bersih 2.0 yang akan hadir diminta menghormati peniaga dan penduduk Kuala Lumpur serta menjaga kebersihan sepanjang himpunan berlangsung.

Ayuh! semua rakyat, semua anak muda. Jangan hirau, jangan takut pada pelampau Perkasa. Tunjukan kuasa rakyat, bersama kita perkukuhkan desakan rakyat untuk memastikan Pilihanraya Bersih dan Adil dilaksanakan di negara ini.

Riduan Mohd Nor
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

KUALA TERENGGANU DI LANDA RIBUT





Kuala Terengganu – Hampir 150 buah rumah di 13 buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, Manir, mengalami kerosakan akibat dilanda ribut malam tadi.

Gambar: SEBUAH kereta Perodua Kelisa di timpa sebatang pokok di Pantai Batu Buruk akibat dilanda ribut kuat. 

Wakil rakyatnya, Datuk Rahin Mohd Said berkata, bilangan rumah yang terbabit dalam kejadian pukul 9 malam itu mungkin meningkat kerana bancian belum diselesaikan.

Katanya, ribut berserta hujan lebat itu telah menyebabkan banyak rumah mengalami kerosakan bumbung serta banyak pokok tumbang dan menghempap bumbung rumah, kereta dan kabel elektrik di sepanjang jalan.

"Ribut ini antara yang terburuk dalam sejarah di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah-rumah mangsa ribut di beberapa buah kampung hari ini.

Rahin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, berkata, Kampung Kebur Air merupakan yang paling buruk apabila lebih 30 buah rumah mengalami kerosakan.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi bantuan awal seperti atap dan peralatan bagi membolehkan rumah mangsa dibaiki.



Monday, 20 June 2011

Jurutera Nuklear - LYNAS

KUANTAN, 20 Jun - Jurutera Nuklear, Encik Ahmad Bongsu Hamid Tuah (foto)
mengesahkan bahawa memang ada kepincangan nyata yang cuba disembunyikan oleh kerajaan terhadap projek kilang memproses rare aerth, Lynas Corporation di Gebeng sekarang ini. 

"Banyak perkara teknikal yang tidak diperjelaskan secara terperinci kepada rakyat. Malah, rakyat terus dikelirukan dengan berbagai kenyataan yang tidak berasas oleh pihak terbabit selama ini. 

Saya tetap tegaskan bahawa projek Lynas ini memang berbahaya dan wajar dihentikan segera jika kerajaan prihatin dengan risiko dan ketakutan yang menghantui rakyat", kata beliau semasa menyampaikan ceramah bertajuk "Bahaya Bahan Radioaktif Dari Kilang Lynas Di Gebeng" dalam Majlis Penerangan Bahaya Lynas di Pusat Tarbiyah Islam Kg.Peramu (PUTIP) dekat sini semalam. 

Program anjuran Lajnah HEP, Alam Sekitar dan NGO PAS Kawasan Parlimen Kuantan itu telah dirasmikan ioleh Ustaz Rosli Abdul Jabar (YDP PAS Kuantan). 

Turut menyampaikan ceramah pada program itu ialah En.Najib Husin, seorang Peguam yang turut terlibat dengan NGO Save Malaysia dalam menyatakan bantahan isu Lynas selama ini. Beliau menyampaikan ceramah yang bertajuk "Isu-Isu Sosio-Legal Berkaitan Pembinaan Kilang Lynas Di Gebeng". 

Program dipengerusikan oleh Tn.Hj Syed Mohd Anis Sy Husin dan moderator majlis pula ialah Tn.Hj Ismail Abu Bakar (Save Malaysia). 

Menurut Ustaz Rosli, objektif program tersebut ialah untuk memberi penerangan tentang bahaya Lynas kepada masyarakat setempat tertutamanya tentang hak-hak mereka sebagai rakyat dan juga hal-hal berkaitan undang-undang. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Save Malaysia iaitu Tan Bun Teet dan jawatankuasa mereka. Program diakhiri dengan sessi dialog sekitar jam 1.20 petang itu.

KENYATAAN TUAN GURU NIK ABD AZIZ TENTANG TUAN GURU ABD HADI


“ Dua, tiga hari lepas ada sorang nama Puad Zarkashi, ambe tok kenal dia. Dia cabar ambe, Mursyidul Am dalam Utusan Malaysia muka depan: Puad Zarkashi cabar Nik Aziz supaya buang Islam. Allah…Puad Zarkashi ni namo orang melayu, kalo boh (letak) nama Ah Chong munasabah. Kalo Ah Chong cabar ambo buang Islam munasabah mugo dio tidok Islam. Fuad Zarkashi: Fuad pun Bahasa Arab, Zarkashi pun nama gelaran bagi seorang ulama’ besar..feqah..tok terpikir dale kepala kito seorang yang Melayu, namo pulok nama arab keduo cabar buang Islam…Allah

Cerdik cina MCA ni dia duk diam. Dio alot puak-puak ni. Alot..alot ni alat la. Ibarat orang panggil terompah kayu. Orang ni jadi terompah kayu bagi MCA. Terompah ni bila kio pakai, gi dale selut pon takpo mugo mu terompah, gi dale najis pon takpo mugo mung mugo mu terompah. Pakai terompah ni supaya kaki aku bersih. Jadi, hamba Allah ni a lot orang melayu supaya cakap mende lagu ni. Dia duk diammm. Dai tepuk punggung.

Para hadirin semuo, dio suruh buang Islam ni kerananyo negara berkebajikan. Dio kata PAS sekarang takdop doh Islam; kebajikan. Mu orang UMNO, aku orang PAS aku reti masalah PAS lebih daripada UMNO, lebih dari mu. Tu jawab pertama. Nok main kasar. Mu orang UMNO, mu reti gapo..aku orang PAS, aku reti la mende ni
Hok buat ucapan di Kuala Lumpur nu bukan sebarang orang. Orang yang berkelulusan. Nok royat ari ni satu benda; Ustaz Hj Hadi ni dio royat ke ambo dia jupe ngan Nabi, tiga kali. Mimpi jupo Nabi tigo kali doh. Orang lain duk jupo syaitan dalam tidur. tindih di hantu.. Dio jupo ngan Nabi tiga kali, dan di akhir sekali –hok dio mimpi akhir sekali- dia sebut, Nabi sebut ke dio ‘siiru ‘ala barakatillah’. Nabi mitok Ustaz Hadi bergerak atas berkat Allah Taala. Ambo mimpi sekali je jupo dengan Rasulullah, dio tiga kali. Jangan main-main. Dio orang mengaji di Madinah, pah buat di Kaherah. Orang ni buatnya ilmu…..”

PAS Terengganu bentuk pasukan baru

KUALA TERENGGANU, 18 Jun:PAS Terengganu membentuk pasukan serba baru selepas pesuruhjaya yang baru, Mohamad Abdul Wahid Endut (gambar) (dilantik untuk negeri itu.

Timbalan pesuruhjaya (TPj) III sesi lepas, Ustaz Saiful Bahari Mamat dilantik TPj I sementara dua lagi adalah bekas bendahari, Muhyiddin Abdul Rashid (TPj II) dan timbalan ketua penerangan yang juga Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak (TPj III).

M Shukrimun Shamsudin pula dilantik bendahari. Selain Saiful, TPj I dan II sesi lalu ialah Datuk Abu Bakar Chik dan Mohd Abdul Wahid Endut. Kedua-duanya dipilih sebagai AJK PAS Pusat pada Muktamar Tahunan PAS ke-57 awal bulan ini.

Abdul Wahid dilantik Pesuruhjaya PAS negeri yang baru bagi menggantikan Datuk Harun Taib sebagaimana yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 12 Jun lepas.

PAS negeri sesi ini mengekalkan setiausaha, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya iaitu Yahaya Ali, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ariffin Deraman.

Hanafiah Mat, Kamaruddin Yunus dan Zakaria Dagang pula dilantik penolong setiausaha.

Di samping mereka, ahli perhubungan yang dilantik adalah Datuk Abu Bakar Chik, Abdul Haris Abdul Malik, Zarani Othman, Dr Khazani Abdullah, Dr Azman Mohamad, Ustaz Harun Jusoh dan Ini bermakna, hanya seorang sahaja bekas lima Adun PAS 1982 yaang masih kekal dalam pasukan ini iaitu Abu Bakar Chik.

"Ini adalah pasukan yang dipilih sendiri oleh pesuruhjaya baru," kata Yahaya Ali yang menjadi setiausaha perhubungan di bawah Datuk Mustafa Ali dan Datuk Harun Taib, pesuruhjaya PAS Terengganu sebelum ini.

Ketua dewan ulamak PAS Terengganu adalah Datuk Husein Awang, ketua pemuda Ustaz Mohd Nor Hamzah manakala ketua muslimat adalah Safinah Jusoh.