Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Friday, 4 May 2012

Kerabat diraja Negeri Sembilan - BERSIH 3.0


Seremban: Seorang ahli kerabat diraja Negeri Sembilan menggesa Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatannya, dengan menyatakan bahawa beliau perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keganasan polis yang berlaku pada perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu.

Bercakap di majlis ceramah “Jelajah Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan” malam tadi di Seremban, Tunku Harmy Tunku Hannan berkata polis tiada alasan apa pun untuk melakukan keganasan.

Beliau berkata beliau berada di perhimpunan BERSIH 3.0 tersebut dari tengahari hingga 11 malam.

“Keadaan pada awalnya seperti kita pergi picnic di Port Dickson,” ujarnya di majlis itu. “Terdapat warga emas dan juga kanak-kanak. Saya tidak lihat sebarang niat yang serong di kalangan peserta perhimpunan.

“Pihak polis yang sepatutnya melindungi para peserta perhimpunan, sebaliknya mereka menjadi agresif dan memukul para peserta perhimpunan laksana segerombolan serigala.

“Anehnya ada di antara yang memakai baju Bersih tetapi pakai kasut boot. Ini menimbulkan kecurigaan di hati saya.

“Saya tidak dapat memikirkan teori lain selain dari (keganasan itu) telah dirancang rapi.
 

Hishammuddin perlu dipertanggungjawabkan terhadap kekacauan dan perlu meletakkan jawatannya dengan segera.”

Tunku Harmy juga menyifatkan Hishammuddin sebagai pengkhianat, mendakwa beliau yang bertanggungjawab memberikan IC kepada warga asing.

“Tak kisah samada MyKad itu tulen atau palsu. Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara, beliau mesti dipertanggungjawabkan kerana membiarkan keadaan terlepas dari kawalan. IC diberikan kepada warga asing untuk (membantu BN) menang di dalam pilihanraya,” tambahnya.

“Pergi dan semak di Chow Kit, Selayang dan lain-lain tempat di Kuala Lumpur. Terdapat jumlah warga asing yang ramai berniaga memiliki MyKad.”

Lain-lain penceramah malam semalam termasuklah pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook, Pesuruhjaya PAS Negeri Mohd Taufek Abdul Ghani dan Ketua PKR Rembau PKR Badrul Hisham Shaharin. 

BOB KUMAM MENINGGAL - AL FATIHAH

PETALING JAYA, 3 Mei: Jenazah pelakon Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi telah dibawa ke Kampung Sega Tengah, Rantau, Negeri Sembilan untuk disemadikan setelah disolatkan di Masjid Kota Damansara, jam 9.30 malam ini
 Jenazah dibawa ke Masjid Kota Damansara pada jam 6.30 petang ini untuk dimandikan.
Jenazah dibawa dengan van jenazah Masjid Kota Damansara yang bertolak jam 9.50 malam.

Pelakon Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi disahkan meninggal dunia di rumahnya di Apartmen Salvia, Seksyen 11 Kota Damansara, jam 4.38 petang ini.

Menurut jirannya, Razali, buat masa ini jenazah allahyarham masih berada di rumah dan belum diputuskan tempat untuk dikebumikan.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau memberitahu keluarga terdekat allahyarham akan membuat keputusan itu apabila tiba di rumah nanti.

 Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Salehin Muhyi mengimamkan solat tersebut kira-kira jam 9.20 malam yang disertai lebih 200 jemaah. 


Jenazah akan disolatkan selepas Isyak dan kemudiannya akan dibawa untuk dikebumikan di kampung allahyarham di Rantau, Negeri Sembilan.
 Pada 17 April lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan rombongan termasuk Nazir Masjid Kota Damansara menziarahi Bob selepas menyampaikan kuliah Maghrib di masjid berkenaan.

Hisham Rais: Belum habis gas pemedih ditembak, saya ditanya bila BERSIH 4.0?

Sungguhpun adegan polis membelasah peserta perhimpunan BERSIH 3.0 yang menyarat dalam laman internet amat menyayat hati ketika disaksikan, namun semangat di sebalik perjuangan ini cukup memberangsangkan. Dalam satu forum semalam, Hishamuddin Rais, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH telah mengisahkan pengalamannya di situ, melihat bagaimana anak muda bangkit menentang penguasa.

 Pada kira-kira jam 6.30 petang, Hishamuddin Rais bersama kawannya duduk di situ sambil memperhatikan bagaimana anak muda berkejaran dengan polis. Apabila polis berundur, anak muda ini kejar dari belakang; dan apabila gas pemedih mata dilepaskan, anak muda itu pula melarikan diri. Kerja-kerja yang suka dilakukan dirinya dahulu, akui Hishamuddin Rais. Kemudian beliau menerima panggilan daripada Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, yang memesan agar Hishamuddin Rais "menyuruh budak-budak ini balik".

"Masalah yang paling besar sekali untuk saya ialah memadamkan perjuangan anak-anak muda. Saya tak berani. Apabila tiba-tiba saya lalu situ ada satu budak datang. Dia pandang muka saya. Eh, abang Hisham ke? Ya, betul. Tu masih tembak-tembak (gas pemedih mata di sana). Budak tu tanya, bang, BERSIH 4 bila?"

Semua hadirin bertepuk dan bersorak mendengar ceritanya. Hishamuddin Rais menghabiskan ayatnya, "Saya ingat saya nak tampar dia. Belumpun habis pertempuran, dia tanya pula bila BERSIH 4.0?"

 Selepas Hishamuddin Rais (gambar kanan) berkongsi kisahnya, seorang ibu mengambil kesempatan dalam sesi soal-jawab untuk berkata, bahawa dirinya telah bersedia dari segi fizikal mahupun mental, bahkan spiritual, untuk menghadiri BERSIH 4.0.

Demikianlah keadaannya dalam forum "Pasca BERSIH 3.0: Keganasan Polis dan Media 'Blackout'", anjuran Akademi Pak Sako dan laman JalanTelawi.com, di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Selain Hishamuddin Rais, panelis yang diundang termasuklah Aziz Bari (Pakar Perlembagaan), Latheefa Koya (pemimpin PKR), Haziq Abdul Aziz (Aktivis mahasiswa, KAMI) dan Haijan Omar, peguam yang dibelasah sewaktu himpunan BERSIH 3.0. Forum tersebut menarik kira-kira 200 orang, sehingga dewan tersebut penuh dan sesak.

Janji Hishamuddin Rais: Jutaan akan turun


Perbincangan dilanjutkan apabila seorang hadirin bertanya, apa seterusnya apabila kita berdepan dengan tiga kemungkinan senario, dengan pertamanya, Barisan Nasional menang; kedua, Pakatan Rakyat menang dan ketiga, "hung parliament" (parlimen tergantung, situasi di mana tiada parti mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mutlak).

 Pakar perlembagaan, Abdul Aziz Bari (gambar kiri) memperingatkan agar media memainkan peranannya untuk menghalang campur tangan istana, seandainya situasi "parlimen tergantung berlaku". Beliau menjangkakan pihak tertentu akan memohon agar istana mencampur tangan, namun Aziz Bari tidak yakin istana mampu memainkan peranannya dengan baik, melihat kepada pengalaman krisis negeri Perak pada tahun 2009.

Berbeza dengan Abdul Aziz Bari, yang mengelak untuk membincangkan senario "seandainya Barisan Nasional menang", Hishamuddin Rais terus menganjurkan perhimpunan jalan raya seandainya Najib Razak bersama kerajaannya menang dengan pilihan raya yang kotor.

"Ini bukan ancaman daripada saya, ini adalah janji," tegas Hishamuddin Rais. Beliau berkata, setelah melalui BERSIH 1, 2.0 dan 3.0, maka rakyat sudah menjadi graduan. Maka tidak perlu lagi rakyat menunggu kenyataan media Ambiga untuk BERSIH 4.0, dan boleh terus menganjurkan perhimpunan sendiri di jalan raya dengan melaungkan "Tipu! Tipu!", katanya.

Tuntutannya agar keputusan PRU dibatalkan, ditubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru yang bukan dari kalangan ahli UMNO, dan kemudian mengadakan pilihan raya yang baru - seandainya Najib enggan tunduk untuk membersihkan sistem pilihan raya sebagaimana yang dituntut dalam BERSIH 3.0. Untuk Hishamuddin Rais, kemenangan melalui penipuan perlu ditolak oleh rakyat.
 

GAMBAR POLIS PUKUL PESERTA BERSIH 3.0















 






Wednesday, 2 May 2012

CATATAN



Jadual Kuliah Ustaz Azhar Idrus Bulan Mei 2012

Nenek termuda di Malaysia.

InsyaAllah kuliah maghrib pada 6 Mei 2012 Ahad akan disampaikan oleh Ustaz Ahmad Ibrahim. Semua dijemput hadir.

InsyaAllah kuliah maghrib pada 8 Mei 2012 Selasa akan disampaikan oleh Ustaz Suhaimi Md Saad dengan kupasan Bersih 3.0. Semua dijemput hadir.

InsyaAllah kuliah maghrib pada 4 Mei 2012 Jumaat akan disampaikan oleh Ustaz Zulkifli Ahmad. Semua dijemput hadir.

InsyaAllah kuliah maghrib pada 3hb, 7hb, & 10hb Mei 2012 (Isnin/Khamis) akan disampaikan oleh Ustaz Harun. Semua dijemput hadir.

InsyaAllah Kuliah maghrib pada 9 Mei 2012 Rabu akan disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus bertempat di Pondok Mustaqim Binjai Kemaman. Dan Kuliah Muslimat pada 11 Mei 2012 pagi Jumaat "DIBATALKAN" - Tok Batin.

InsyaAllah kuliah maghrib pada 9 Mei 2012 Rabu akan disampaikan oleh Ustaz Mohd Najib Ali. (sekiranya ustaz tidak ke Pondok Mustaqim)

Catatan seorang ibu: Wajah teruja anakku berubah...

Asiah ditengah

Oleh Nashita Md Noor

"Ummi, cepatlah Ummi, cepatlah Ummi!" Jerit Asiah girang sangat sambil menarik-narik tangan kanan saya menghala ke depan. Tangan kiri memegang tangan Asma' yang berdiri di belakang.

"Sabarlah Asiah, perlahan-lahan, kenapa ni?" tanya saya kepada Asiah.

"Dah boleh masuklah Ummi, dah boleh masuk ke Dataran." Jerit Asiah lagi masih dalam keadaan yang sangat teruja dan girang sekali.

Masih terbayang wajahnya.

Saya masih bertahan. Sukar juga saya mahu mempercayainya. Namun dek kerana mahu menurutkan rasa teruja Asiah yang seolah Dataran Merdeka itu satu tempat yang bakal membebaskannya dari "kesesakan" yang ada, saya turutinya perlahan-lahan.

"Bagi laluan, bagi laluan!" Tiba-tiba kedengaran suara jeritan sambil kelihatan seorang lelaki India dengan tongkat di sisinya diusung keluar berama-ramai. Keadaan sedikit kelam kabut.

Asiah masih menarik-narik tangan saya ke hadapan. Bersama kami sejak awal berjalan dari hadapan SOGO ialah Atikah dan Hakim anak-anak Hatta Ramli. Kami sentiasa beriringan dari satu tempat ke satu tempat. Ada peluang duduk kami duduk, ada arahan duduk kami duduk walau berhimpit-himpit.

"Buka, buka, masuk, masuk!" Tiba-tiba keadaan jadi sungguh kecoh dengan orang ramai tiba-tiba bertolak-tolak ke hadapan. Saya sudah menghidu sesuatu bakal berlaku, segera saya menarik tangan Asiah, menjerit nama Atikah dan Hakim mengajak mereka berpatah balik ke belakang.

Namun semuanya sudah terlambat. Kami tersepit. Semua cuba menyelamatkan diri. Ketika itulah apa yang saya jangkakan akan berlaku telah berlaku. Kami tersepit, terhimpit. Tidak perlu lagi melangkah. Ditolak, ditolak dan ditolak ke hadapan sehingga tidak ada ruang lagi untuk bergerak. Gerun, takut, bayang-bayang tragedi menghantui diri saya. Saya tidak ingat jeritan sesiapa, hanya terdengar jeritan Asiah, sayu, sedih, ketakutan dan trauma.

"Ummi, ummi, ummi!"

Kuat-kuat saya pegang tangan Asiah di tangan kanan. Kuat-kuat saya pegang tangan Asma' di kiri. Pada masa yang sama, gas pemedih mata menyelubungi, kelat, kesat, ketat dada dan hidung. Asiah terus menjerit.

Saya sudah tidak hiraukan diri sendiri lagi, tiada masa untuk menarik tuala kecil dan air menutup hidung. Saya tenangkan diri tarik nafas. Saya harus selamatkan anak-anak saya. Kami masih tersepit. Wajah Asiah sipi-sipi saya lihat tersepit.

"Tenang Asiah, tenang, jangan jerit jangan nangis." Berkali-kali saya tenangkan Asiah.

Asma' di sebelah kanan saya kelihatan sudah tumbang, jatuh, cepat-cepat saya tarik tangannya dan Asma' berjaya berdiri dengan stabil semula.

Bagaimana saya mahu menyelamatakan anak-anak saya. Toleh ke belakang, kosong, lapang hanya gas pemedih mata memenuhi segenap ruang. Saya harus bertindak segera dari kami terus terhimpit dan tersepit dan Asiah terus trauma.

Saya mengambil risiko itu, menarik tangan Asiah dan Asma' dan masuk ke dalam kepulan asap gas pemedih mata. Asiah terus-terusan menangis dan menjerit. Asiah sudah hilang kawalan diri terus, saya tidak berupaya mententeramkannya lagi. Asiah lari lintang pukang dari saya, melepaskan genggaman tangan saya. Saya hanya mampu menjerit namanya.

"Asiah! Jangan lari dari Ummi, mari sini."

"Tak nak, Asiah tak nak." Asiah terus lari. Dari jauh saya lihat berkali-kali Asiah jatuh dan bangun. Sambil terduduk saya lihat satu pasangan Tionghua juga duduk berteleku menyelamatkan diri dari kesesakan. Semua orang kelihatan cuba menyelamatkan diri masing-masing dari asap gas pemedih mata yang menyesakkan.

Akhirnya setelah mengumpul kekuatan sambil tangan sebelahnya kekal memegang tangan Asma' kami berlari mendapatkan Asiah dan menyelamatkannya. Datang seorang lelaki memberikan Asiah garam dan membasuh mukanya. Tanpa segan silu saya merayu kepada lelaki itu, "Encik tolong selamatkan anak saya, tolonglah."

Lelaki itu terus duduk dan mengarahkan Asiah naik ke atas belakangnya. Asiah dibawa lari ke arah kawasan lapang di sekitar bangunan DBKL.

Pemandangan ketika saya berjaya keluar dari terhimpit di hadapan kolam DBKL yang di depannya tembok sungguh menyedihkan. Ramai yang terjun ke dalam kolam seolah tiada tempat lain untuk menyelamatkan diri. Ramai tertunduk-tunduk dengan baju dan seluar yang hampir tertanggal untuk cuba melegakan diri dari kesesakan gas pemedih mata.

Pedih mata, pedih lagi hati ini yang melihat keadaan itu. Suasana seolah di medan perang, walhal ianya tidak. Kami rakyat biasa tiada bersenjata.

Dari Dataran Merdeka gas pemedih mata ditembak dan dilontarkan hingga ke Bangunan DBKL. Peluru gas pemedih mata jatuh bertubi-tubi di sisi saya. Kami masih tidak selamat rupanya.

"Ummi, kenapa, dia orang (polis) buat macam tu, kenapa ummi?" Berkali-kali Asiah bertanya kepada saya dalam keadaan beliau masih terbatuk-batuk dan termuntah-muntah, dalam esakan. Sayu dan sedih betul untuk saya menjawabnya.



Bila saya gagal memberikannya jawapan, Asiah bertanya lagi "Bukankah dia orang (polis) kena jaga kita Ummi." Saya masih mendiamkan diri dan cuba memujuknya untuk terus berjalan menyelamatkan diri.

"Sabar ya Asiah, kita jalan ke depan cari perlindungan." Asiah masih lagi trauma dan kami cuba mencari tempat untuk berlindung.

Pintu masuk ke DBKL semuanya dikunci rapat. Pintu cerminnya membuatkan kami dapat melihat terlalu luas ruang di dalamnya untuk kami dapatkan perlindungan. Polis beruniform dan bervest hijau memenuhi segenap ruang di dalamnya.

Asiah dalam keadaan yang masih trauma menjerit-jerit sambil mengetuk-ngetuk pintu cermin DBKL memohon simpati agar mereka di dalam membukanya dan membenarkannya masuk. Asiah terus mengetuk-ngetuk sambil menjerit "Bukalah, bukalah, bukalah" berkali-kali.

Saya lihat setiap wajah dan tubuh badan anggota polis di dalamnya terus berpeluk tubuh tanpa ada sekelumit perasaan simpati di wajah-wajah mereka.

"Ummi, dia orang gelakkan Asiah Ummi. Ada polis tu gelakkan Asiah Ummi." Sedih sayu suara Asiah. Pedihnya hati. Kami teruskan perjalanan menyelamatkan diri hingga terjumpa Fuziah Salleh yang memegang "gas mask". Tanpa segan silu saya memohon meminjam dan meletakkan di muka Asiah. Syukur Asiah kembali tenang. Ramai yang menghulurkan garam, air serta minyak angin untuk melegakan Asiah.

Saya tidak akan melupakan bagaimana gembira dan terujanya Asiah apabila kami sudah berdiri bersama ratusan ribu rakyat hampir tiba ke destinasi Bantah dan Duduk akhirnya kami telah diperdaya dengan membiarkan kami terperangkap di dalam lautan orang ramai yang kemudiannya dibedil dan dilemparkan dengan gas pemedih mata yang bertubi-tubi tanpa belas kasihan.

Anak-anak kami yang turut bersama Ammar, Asma' dan Asiah bersemangat terus dan tidak akan gentar untuk bersama lagi kerana sesebuah perhimpunan aman adalah aman hingga pihak berkuasa memulakan serangan. Itu saya percaya dan akan terus percaya. Perjuangan ini adalah perjuangan membebaskan rakyat dari ketakutan kepada sang penguasa. Anak-anak kami dan ribuan anak-anak lagi yang turut serta akan terus berani untuk membebaskan diri dari kezaliman.

LAWAN TETAP LAWAN

Admin: Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara. Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.

'Ini baju kuning tangkap'

Dr Abdul Aziz Bari 

11:18AM Mei 3, 2012

SAKSI MATA Saya ditahan sekitar jam 350 petang semalam dekat OCBC ketika hendak pergi basuh muka di paip di situ. | 

Penguatkuasa DBKL dan polis ramai-ramai keroyok saya dan menjerit: "Ini baju kuning tangkap!". 

Saya tak kenal atau ingat identiti mereka tetapi saya terus diseret dan dimaki hamun. 

Mereka kelihatan hendak mengejar orang lain tetapi bila mereka gagal mereka terus cekup saya hanya kerana saya pakai baju kuning BERSIH! Aneh. Sejak bila pakai baju kuning satu jenayah di Malaysia? 

Itu sudah cukup jelas untuk memberi kita isyarat tentang integriti polis dan agensi lain termasuk DBKL. 

"Tua tak sedar diri, dah tua duduk rumah sajalah." 

Itulah antara ejekan yang saya dengar sewaktu diheret oleh anggota polis untuk dikumpul di depan DBKL. Kemudian saya ada mendengar rungutan yang polis turut mengejek kami: "Ini semua anjing Anwar Ibrahim'" 

Sewaktu diheret polis mengugut seorang petugas media yang cuba mengambil gambar saya ditangkap. Begitu juga ketika kami semua dikumpul dekat Kelab Diraja Selangor. 

Macam samseng 

Pelik, adakah undang-undang menyekat orang ambil gambar di negara ini? Seorang pelajar fotografi mengadu kameranya yang berharga ribuan ringgit dimusnahkan oleh seorang anggota polis. 

Umumnya saya lihat polis bertindak ganas dan memihak kepada Umno-BN. Pada saya hari itu polis kelihatan macam samseng PERKASA. Mereka nampak jelas marah dengan Pakatan Rakyat. 

Tetapi yang lucunya bila saya tinggikan suara dan tanya undang-undang apa yang mereka gunakan anggota polis tersipu-sipu dan cepat-cepat beredar. Ini berlaku ketika kami dihimpun macam pendatang asing dekat Kelab Diraja Selangor. 

Itulah gelagat anggota polis berpangkat rendah yang mulanya cuba tunjuk garang dan samseng. Para pegawai mereka duduk jauh-jauh. 

Pada satu peringkat saya jerit seorang pegawai supaya segera beri rawatan kepada seorang Orang Kena Tahan (OKT) yang terbaring kesakitan. Pegawai ini panik dan tak tahu buat apa-apa. Saya kata, "awak ada budi bicara dan kalau orang ini mati awak akan disoal." 

Pegawai ini pucat tak terkata apa-apa. 

Itu semua menunjukkan pasukan polis ini jahil dan keliru dan takut dengan kerajaan Umno-BN. Mereka hanya berani bila mereka bergerak dalam gerombolan. Mereka mungkin tak ada akses kepada Internet dan hanya dengar arahan bos mereka saja. 

Sikap samseng dan mentaliti gerombolan pasukan polis ini kelihatan apabila ada tahanan baru sampai. 

Tahanan ini akan dibawa melalui kumpulan anggota polis pangkat rendah dan ketika inilah anggota polis ini akan mengambil kesempatan mengejek dan memaki hamun tahanan yang sudah lemah longlai diheret itu. 

Ada juga yang akan mengambil kesempatan menumbuk, menyepak dan menampar tahanan itu. 

Pada satu tahap seorang anggota Unit Amal PAS yang sedia ditahan bersama kami diseret ke dalam gerombolan anggota polis itu. Riuh rendah kedengaran di sebalik van dan trak itu. 

Apa yang kelihatan apabila anggota Unit Amal itu diseret kembali ke dalam kumpulan, beliau lembik; mungkin telah dipukul oleh anggota-anggota polis yang menyeringai macam singa dalam kandang menunggu mangsa itu. 

Dalam garang dan samseng itu polis ini tidak tahu apa-apa. Ketika di Kelab Diraja Selangor, saya lihat pihak polis panik bila kami ramai-ramai tanya sama ada kami ini ditahan atau ditangkap. Maklumlah konstabel dan koperal apa tahu. 

Pegawai pun tidak berani duduk dekat sebab ada OKT yang tanya soalan dalam bahasa orang putih. Lucu. Masa di DBKL seorang sarjan yang tadinya kasar dan sombong mula berlembut apabila makin ramai di kalangan tahanan yang panggil saya "profesor". 

Gambaran kebodohan dan ketakutan 

Sewaktu di Pulapol, Ketua CID Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin ada datang. Bukan main lagilah Cawangan Khas (SB) dan komando polis mengiringi dia. Begitu juga pegawai-pegawai lain yang datang bersama. Berdesup-desup mereka tabik dan hentak kaki. 

Itulah agaknya gambaran kebodohan dan ketakutan mereka. Ikut perintah orang atas tak kira apa. 

Di Pulapol peguam tak dibenarkan masuk langsung. Dan suasana dalam khemah kelam, di situ tak teratur. Pihak polis macam tak pasti apa yang perlu dibuat sedangkan ini bukan kali pertama mereka menangani demonstrasi BERSIH. 

Ini jauh berbeza dengan imej tenteram yang cuba ditunjukkan oleh media milik Umno-BN termasuk RTM. 

Satu lagi yang saya nampak ialah majoriti anggota polis yang bertugas ialah Melayu. Ada segelintir India dan Cina. Tapi yang bongkak, sombong dan ganas ialah Melayu dan India. Mereka inilah yang bongkak dan ganas. Anggota Cina amat tertib dan beradab. 

Para pegawai meskipun ramai Melayu tidaklah sombong sangat. Mungkin kerana mereka mudah dikenali melalui uniform mereka. 

Sewaktu di Pulapol saya dibawa ke meja Cawangan Khas (SB). Meskipun saya ditanya soalan-soalan yang saya kira aneh, ia tidak lama. Saya tidak tahu kenapa. Mungkin kerana mereka tidak mahu berdebat dengan saya. 

Pesta pukul orang 

Atau mungkin mereka simpati. Mereka ada bertanya sama ada saya disakiti. Saya kata saya cuma sakit hati. Saya sempat sebut pada mereka: "Wah hari ni polis berpesta pukul orang." 

Saya sakit hati kerana polis tidak peduli hak asasi rakyat. Buktinya cukup banyak. Ada yang mengadu dicekup sewaktu sedang makan dalam dalam restoran. Ada yang ditangkap ketika di lobi hotel. Dan ada juga yang ditahan ketika dia hendak membeli tiket di stesen LRT. 

Mereka berada jauh dari Dataran Merdeka yang diisytihar kawasan larangan. Mereka juga sudah bersurai. Mereka dipukul dan diheret oleh polis hanya kerana mereka pakai baju kuning. Malah ada yang tidak pakai baju kuning pun dicekup sama. 

Ertinya hari itu polis geram dengan orang ramai. Polis sudah menjadi seolah-olah kaki pukul Umno-BN dan gerombolan anti-Bersih. Ini salah di sisi undang-undang. Apa lagi perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan utama negara. 

Pasuka polis, sebagaimana cabang-cabang perkhidmatan awam yang lain termasuk angkatan tentera, perlu bersikap berkecuali dan menjaga undang-undang. 

Tanggapan saya terhadap polis, khususnya selepas BERSIH 3.0, mereka jahil, keliru dan tertekan. Akhlak mereka juga rendah. Ini ternyata bila Suruhanjaya Dzaidin sendiri merakamkan bahawa pasukan polis antara agensi kerajaan yang paling korup di negara ini. 

Sebab itu saya tidak hairan apabila polis gagal membezakan antara menjunjung undang-undang dengan mengampu atau mempertahankan Umno-BN. 

Apa pun jika lihat gambar besar kita itu semua tidak memeranjatkan. Kalau para hakim dan anggota Suruhanjaya Pencegahan SPR yang dilindungi oleh perlembagaan secara jelas pun takut dengan Umno-BN siapalah anggota-anggota polis ini. 

Admin: DR ABDUL AZIZ BARI pakar perlembagaan dan bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau antara yang ditahan semasa perhimpunan BERSIH Sabtu lalu.