Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Wednesday, 6 July 2011

BLOGGER MILO SUAM DI TAHAN POLIS


SUBANG JAYA, 6 Julai: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa, Ketua AMK Subang, Juzaharim dan blogger Milo Suam ditahan polis kira-kira jam 2.30 pagi tadi dan dibawa ke Balai Polis USJ 8, di sini.

Harakahdaily difahamkan, mereka ditahan kerana pihak polis menjumpai beberapa helai baju Bersih di dalam kereta semasa ditahan di Jalan Gleenmarie.

Kira-kira 100 orang termasuk ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat telah ditangkap polis sejak minggu lalu kerana memakai baju Bersih atau berwarna kuning.

Mereka yang membawa atau menjual baju T Bersih juga ditangkap.

Sementara itu Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga mengumumkan bahawa pihaknya akan berhimpun di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini, jam 2 petang.

Perkara itu diumumkan oleh Ambiga pada sidang medianya di ibu negara pagi ini.

Sehubungan itu, Ambiga juga menuntut pihak berkuasa menghentikan segala hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penyokong sejak minggu lalu dan berterusan sehingga hari ini.

Tidak kurang 100 orang termasuk wakil rakyat dari Pakatan ditangkap dan ditahan kerana memiliki dan memakai baju BERSIH. Malah ada juga yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat kerana dsidakwa terbabit dengan gejala subversif.

Ambiga juga mahu semua yang ditahan itu dibebaskan pada kadar serta merta.

Bekas presiden Majlis Peguam juga mahu sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi mengkaji tuntutan BERSIH yang mendesak pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara ini.

HUKUM MAKAN DAGING SEMBELIHAN



PRESIDEN LANCAR JENTERA PILIHANRAYA DUN AIR PUTIH








PAS Kemaman mengucapkan jutaan terimakasih atas kesediaan Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS turun ke Felda Neram pada 15 Jun 2011 bagi merasmikan pelancaran jentera PRU 13 peringkat DUN Air Putih.

DS TG diberi taklimat bilik gerakan DUN awal petang. DS TG kemudiannya berbuka puasa, diikuti perasmiannya pada jam 8.15 malam. Ucapan alu-aluan oleh Pengarah MTD Air Putih yang juga YDP PAS Kemaman, Tuan Hj Ismail Harun.

Dalam ucapan perasmian, DS TG menyingkap sejarah awal perjuangan Islam terutama di Tanah Melayu dan Malaysia, jasa-jasa PAS dalam perjuangan Islam serta konsep ‘Membangun Negara Berkebajikan’ yang menjadi tema dalam Muktamar PAS baru-baru ini.

Ucapan Tok Guru diakhiri dengan harapan kemenangan dalam PRU akan datang. Ikrar diketuai oleh ustaz Syed Shahrunudin. Bendera-bendera diserahkan kepada wakil cawangan di DUN Air Putih sebagai simbolik gerakerja pilihanraya.

Dana pilihanraya yang dikutip pada malam itu menjangkau lebih RM58 ribu. Kehadiran dalam lingkungan 400 orang- tua dan  muda, lelaki dan perempuan memeriahkan majlis dalam suasana selesai hujan dan ribut di awal Maghrib.

Tuesday, 5 July 2011

SURAT MB KELANTAN KEPADA AGONG

Mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011.

Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihanraya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya.


Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia.

Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihanraya yang adil tidak akan mendatangkan huruhara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.

Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik.

Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata.

Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibubapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.

Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.

Patik yang menjunjung kasih,

YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am
Parti Islam Semalaysia (PAS).

Monday, 4 July 2011

RTM TERSALAH SIAR KE?




Malam tadi telah diadakan rancangan Bicara Rakyat di Rakyat Tunggu Mati (RTM) di saluran 1 yang bertajuk 'Jalanan Tempat Mencabar Mandat'. Lokasi tempat berlangsungnya secara langsung itu dari Universiti Teknologi Malaysia kampus Semerak.

Tajuk 'Jalanan Tempat Mencabar Mandat' agak sedikit tersasar kerana sikap moderator, Syed Munawar seakan-akan mahu menjadi ahli ketiga bagi pihak BN. Sepatutnya beliau tidak "bias" dalam bertanyakan soalan tetapi menjadi "backup" kepada kerajaan.


Tetapi nasib baik hujah yang dilontarkan oleh moderator dan ahli panel BN dijawab dengan sempurna dan menyebabkan pemidato BN, Lokman Noor Adam terpaksa mengalih isu kepada berkaitan Anwar Ibrahim dan Negara Kebajikan.


Ahli panel dari Universiti Pertahanan Nasioanl Malaysia (UPNM), Dr Ridhuan Tee Abdullah pula terperangkap dengan isu berkaitan demonstrasi dalam stadium. Beliau mencadangkan agar demonstrasi diadakan dalam stadium dan pada masa yang sama beliau berkata dalam stadium juga tidak selamat. Beliau terperangkap dengan isu yang cuba dilontarkannya sendiri.

Pemidato dari Barisan Nasional pula berkata bahawa demonstrasi sepatutnya tidak diadakan kerana akan menggangu peniaga yang mencari makan. Namun hujahnya juga memerangkapnya sendiri kerana beliau tidak sedar bahawa Pemuda BN juga akan berdemonstrasi. Apabila hujah tersebut cuba dipatahkan oleh Dr Dzulkifli, beliau mengalihkan isu kepada skandal Anwar Ibrahim dan isu Negara Berkebajikan PAS.

Moderator pula berkata untuk mengelakkan kemaslahatan besar, perlu mencari kemaslahatan yang kecil. Cadangan moderator ialah mengadakan demostrasi dalam stadium kerana ia merupakan kemaslahatan kecil tetapi Dr Dzulkifli membalas dengan isu yang diperkatakan oleh Dr Ridhuan Tee adalah tidak selamat.

Dr Dzulkifli cuma menjawab dengan tenang bahawa kemaslahatan kecil dapat dielakkan dengan hanya Perkasa dan Pemuda BN harus tidak terlibat dalam demonstrasi bersama Bersih kerana jika Perkasa dan Pemuda BN berkumpul, maka itu adalah kemaslahatan yang besar. Jadi, untuk menjadikan itu kemaslahatan kecil maka Perkasa dengan Pemuda BN cari satu tarikh yang lain jika mahu berdemonstrasi.

Malam tadi juga menunjukkan cara-cara berhujah dari pihak BN dan PR. Namun hujah BN agak tidak realistik dan banyak mengalih isu dari tajuk 'Jalanan Tempat Mencabar Mandat' ke isu skandal seks Anwar Ibrahim. Itulah hujah UMNO yang tidak bersedia.

APA YANG ANDA PERLU LAKUKAN


Pertubuhan Bukan Kerajaan 'Lawyers For Liberty'(LFL) mengadakan sesi penerangan kepada masyarakat umum mengenai bagaimana berdepan dengan provokasi polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 berlangsung, 9 Julai depan.

Sesi Penerangan itu dibuat berikutan keengganan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) memberikan kerjasama kepada penganjur serta penyokong Bersih 2.0 seraya mengugut untuk mengenakan tindakan undang-undang serta mengisytiharkan darurat pada hari tersebut.

Bercakap pada forum anjuranya yang bertajuk "Hak Untuk Berhimpun" di Dewan Perhimpunan Cina Wilayah dan Selangor malam tadi, peguam Hak Asasi Manusia, Fadiah Nadwa Fikri bersama barisan peguam lain memberi penjelasan terperinci tentang hak-hak kemanusiaan yang boleh digunapakai sekiranya polis bertindak melangkaui batasan undang-undang negara.

Katanya, berdasarkan pengalaman beliau menyertai perhimpunan umum sebelum ini, rata-rata masyarakat kurang jelas akan hak-hak individu yang ditahan hingga menyebabkan polis menyalahgunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

Sehubungan itu, Fadiah menasihatkan rakyat yang ingin berhimpun pada 9 Julai ini supaya mengetahui alasan penahanan mereka di samping merekodkan nama dan nombor anggota polis terbabit.

"Saya sangat pasti pada hari itu nanti, mereka (polis) tidak ada alasan untuk menahan anda. Oleh yang demikian penahanan tersebut tidak sah.

"Kalau mereka tanya lebih, tanya mereka adakah saya ditahan?" ujar beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, anggota polis di negara ini sering kali bertindak diluar bidang kuasa mereka selain menafikan hak individu yang ditahan.

Katanya, ini kerana rata-rata pegawai polis yang bertugas pada waktu demonstrasi tidak akan menyatakan apakah alasan seseorang itu ditahan, sebaliknya menggunakan kekerasan dengan mengheret peserta demonstrasi ke balai mahupun trak polis.

Malah, peserta demonstrasi itu juga tidak akan dibenarkan untuk membuat panggilan telefon mahupun kebenaran diwakili oleh peguam.

"Sekiranya peserta demo ditangkap, polis hanya berhak menahan anda dalam tempoh 24 jam sahaja. Jika lebih daripada itu mereka perlu memohon daripada mahkamah. Katakan mereka menahan anda lebih daripada tempoh tersebut tanpa sebarang dokumen mahkamah, maka anda boleh saman mereka (polis) dengan asalan penahanan tanpa sebab," ujar beliau.

Justeru Fadiah berkata maklumat yang disampaikan sekurang-kurangnya dapat membantu penyokong-penyokong mengelakkan mereka daripada ditahan tanpa sebab ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh peserta demonstrasi yang ditangkap :

(1) Pastikan nama dan nombor tang tertera pada kad kuasa polis dicatat.
(2) Minta pihak berkuasa jelaskan alasan penahanan.
(3) Elak sebarang keganasan fizikal
(4) Tidak membenarkan polis merampas barang peribadi seperti dompet, kamera, telefon bimbit dan lain-lain.
(5) Memastikan balai polis mana anda ditahan.
 -tvsnews

Hak-hak anda bila ditahan polis Malaysia
- Harakahdaily

RED BOOK (BAHASA MALAYSIA)

1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam,

Minta Pengenalan Diri Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; "Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda."

1.2 Kad Kuasa Polis

Merah: Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna:

• Biru: Berpangkat Inspektor dan ke atas.

• Kuning: Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.

• Putih: Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 Pengenalan Diri Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Bilakah anda ditahan

Anda ditahan apabila anggota polis itu:

• menjawab "ya";

• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke Balai Polis; atau

• menggari anda.

Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Penyataan saksi/112 Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112

Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.

• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).

• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.

• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.

• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan didalam Nota Peribadi anda.

• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.

• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda

Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.

• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.

• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.

• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?" Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?" Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:

1. Keluarga atau rakan; dan/atau

2. Seorang peguam.

Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).

Maklumkan kepada mereka:

• yang anda telah ditangkap;

• masa, tempat dan alasan ditangkap;

• Balai Polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap

Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:

• Di Balai Polis, atau

• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam

Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM

6.1 Siapakah Majistret Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada24 jam.

6.2 Tujuan Perintah Reman Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda.

6.3 Berapa lamakah Perintah Reman Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam. Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.

Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:

• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya melepaskan anda; atau

• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.

Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.

6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapans eorang Majistret untuk proses reman

Maklumkan kepada Majistret:

• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu menghubungi peguam, pusat bantuan guaman dan keluarga anda;

• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau telah dipukul;

• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa dalam tahanan;

• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;

• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;

• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan semasa anda dalam tahanan.

6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat

Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila masa dan tidak akan melarikan diri" dll).

7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN

7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan

Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/ pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu. Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas.

7.2 Apa yang perlu dilakukan

• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.

• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.

• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/ saku/beg anda.

7.3 Hak-hak anda

• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional dan sopan.

• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.

• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:

1. Bantah;

2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan

3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.

8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU

8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian

• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.

• Anda ditangkap.

• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.

8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan

Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis pemeriksaan badan:-

1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah- pemeriksaan pakaian luaran.

2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.

3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung and telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.

4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.

8.3 Hak anda

• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan sopan.

• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda semasa pemeriksaan dilakukan.

• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.

9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP

9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda

Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.

9.2 Hak anda untuk berdiam diri

Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya: bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda (Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi, anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri."

9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan

Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.

9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti

Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah, sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda bolehmenggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda semasa perbicaraan.

PUSAT BANTUAN GUAMAN / LEGAL AID CENTRES (LAC)

• Kuala Lumpur : 03-2691 3005 / 03-2693 2072
• Selangor : 03-5510 7007 / 03-3281 2428
• Negeri Sembilan : 06-6013 844
• Melaka : 06-2845 519 / 06-2864 514
• Johor : 07-2235 698
• Perak : 05-2550 523
• Kedah & Perlis : 04-7333 467
• Kelantan : 04-7448 660
• Pahang : 09-5159 244 / 09-2969 410
• Pulau Pinang : 04-2617 451

LARANGAN POLIS TIDAK SAH LANGGAR PERLEMBAGAAN


Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berpendapat tindakan pihak polis malarang perhimpunan BERSIH pada 9 Julai depan bukan sahaja tidak sah, malah melanggar perlembagaan.

"Mereka bertindak secara tidak sah apabila secara umum memaklumkan tidak akan mengeluarkan permit.

"Sebagai pihak berkuasa awam, mereka hanya boleh membuat keputusan apabila permohonan dibuat," kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu kepadaMalaysiakini.

Abdul Aziz (kanan) menjelaskan, bawah perlembagaan, polis perlu menimbangkan setiap permohonan permit dan tidak patut membuat sebarang pertimbangan tidak wajar.

Beliau berhujah, polis membuat penghakiman awal berhubung perkara itu dan sekali gus menentang undang-undang. 

Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan.

Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Perskutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.

"Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang itu.