Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Friday 1 February 2013

ANTARA 3 TANGISAN: DI MANA KITA?


 

Kita masih menangis kerana gagal mencapai cita-cita. Kegagalan tersebut amat mengecewakan sehingga tak sedar air mata tertumpah dari birai mata. Kita masih menangis kerana sakit. Apabila tidak tahan menanggung kesakitan lantas air mata tertumpah lagi. Kita masih menangis kerana hati disakiti. Sakitnya hati apabila orang sanggup membuat fitnah dan mengkhianati kita. Luka hati hanya Allah yang tahu. Air mata bisa tertumpah lagi.

Sedarkah kita, di sana ada orang yang sedang menangis dalam keheningan malam kerana mengenangi dosa-dosa lampau. Dosa-dosa yang telah tersimpan dalam lipatan usia  terulang tayang satu persatu dalam mata batin penyesalan. Rasa bersalah kepada Allah membuatkan air mata memenuhi kelopak mata bagai kepingin membasuh segala dosa.

Ketika kita masih menangis kerana terkenangkan dosa-dosa di siang hari atau dosa-dosa lampau, ada orang lain yang sedang menangis kerana kecewa dan takut disebabkan oleh ibadat yang tidak khusyuk. Solat tidak khusyuk. Apabila berzikir, hati tidak khusyuk. Dalam apa-apa sahaja majlis mendekati Allah, fikiran sering melayang kepada urusan dan masalah hidup harian. Ketika mulut mengucap ‘subhana rabbial  a’la wabihamdih’, hati tidak memuji dan meninggikan Ilahi, sebaliknya hati teringat pelbagai urusan keduniaan. Tasbih di mulut tidak lagi selari di hati. Rasa berdosa mula menguasai diri. Lalu ketika berseorangan di dalam gelap atau terang, mengalirlah air mata kerana rasa berdosa kepada Ilahi.

Ya, ketika kita menangis kerana hal-hal dunia, ada orang lain di sana yang menangis kerana dosa-dosa lampau. Dan ketika kita menangis kerana dosa-dosa lampau, ada di sana orang menangis kerana solat dan zikir di mulut tidak selari pula di hati. Apabila hilang khusyuk dalam ibadat, seolah-olah terasa solat dan zikir dilemparkan kembali ke mukanya bagai kain buruk.

Aduh terbang segala semangat. Bagaimana aku harus berdiri di depan Tuhan?

No comments:

Post a Comment