Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Sunday, 16 December 2012


 BERKATILAH UMUR DENGAN 4 PERKARA
Seandainya kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun apakah yang akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan umur kita saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi, jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat singkat, tidak terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun itu telah pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda: “Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.

Wednesday, 12 December 2012

Tuesday, January 22, 2008


MUHASABAH DIRI

Rasulullah s.a.w telah mendedahkan satu hakikat yang wujud dalam perjuangan dakwah supaya umat Islam dapat mengambil sikap yang bijaksana, di mana Baginda mendedahkan bahawa terdapat manusia yang bergelumang dengan maksiat, berjiwa munafiq dan tidak beriman turut serta berjuang menegakkan syiar Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang fajir (jahat)".(Riwayat Bukhari)

'Fajir' di sini bermaksud orang yang bergelumang dengan maksiat-maksiat dan perbuatan-perbuatan yang haram.

Sesetengah pandangan Ulama' Islam mengatakan orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya sedangkan orang lain mendapat faedah dan beramal dengan ilmu yang diajar olehnya dikira dalam golongan 'fajir'. Golongan pemerintah yang zalim juga dikira golongan manusia yang fajir.

Di dalam sejarah perjuangan Islam sejak zaman dahulu hingga sekarang terdapat banyak contoh-contoh yang menunjukkan betapa manusia yang bersifat'fajir' ini dapat mengaburi pandangan orang Islam dengan perjuangan mereka yang gigih unuk menegakkan Islam. Mereka ini sering melaungkan kata-kata berbentuk perjuangan tetapi sebaliknya lain pula tindakan yang dilakukan.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Kebanyakan para syahid umatku adalah orang yang mencari nama. Dan betapa banyak yang terbunuh antara dua barisan, Allah sahajalah yang mengetahui dengan niat masing-masing".(Riwayat Muslim)

Jadi, seharusnya niat seseorang pejuang itu hendaklah berhati-hati dari sifat 'fajir' dan juga bersifat riya' yang membolehkan segala amalan terhapus dan terlepas dari ciuman bau syurga.

Wassalam...

Thursday, 6 December 2012

ADAB BERSEMBANG


Sesungguhnya Islam agama yang indah. Setiap perkara mempunyai adab dan aturannya yang tersendiri. Semuanya diajarkan Nabi SAW sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti masuk dan keluar tandas.
Pernah terjadi beberapa orang Musyrikin mengejek Salman al-Farisyi r.a., kata mereka,
"Nabi kamu mengajarkan semua benda sehingga perkara berkaitan istinjak. Kata Salman, "Memang benar! Nabi kami menegah daripada membuang air besar atau kecil dalam keadaan menghadap kiblat, beristinjak menggunakan tangan kanan, beristinjak kurang daripada tiga biji batu." (Hadis Riwayat Muslim)
Antara adab yang selalu dipandang ringan oleh umat Islam adalah adab bersembang. Apakah perbualan atau cara kita bersembang setiap hari menepati tuntutan Islam?
1. Suara yang rendah dan lembut.
Menurut Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah, meninggikan suara terhadap seseorang itu menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Seeloknya kita bercakap dengan kadar yang sederhana, sebagaimana yang kita inginkan apabila mendengar daripada seseorang.
Adab ini perlu diamalkan sama ada ketika bersama sahabat mahupun musuh, orang yang dikenali mahupun tidak, orang kecil mahupun dewasa. Lebih- lebih lagi ketika bersama kedua-dua orang tua dan orang yang setaraf dengan mereka.
Menurut Abdullah bin Zubair r.a., selepas turunnya ayat ke-2 surah al-Hujurat iaitu "Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi".  Sayidina Umar r.a. terus berubah sikapnya. Sekiranya bercakap dengan Nabi, dia akan bercakap seperti orang berbisik-bisik sehingga terpaksa disuruh ulang beberapa kali kerana tidak dapat difahami .
Imam Zahabi menyebut, "Jikalau orang tidak mengenali siapa Muhammad bin Sirin (ulama Tabi'in), mereka akan menyangka dia seorang yang sakit kerana terlalu rendah suaranya apabila bercakap dengan ibunya." Lihatlah, betapa beradabnya golongan salaf dalam berkata-kata.

2. Tidak menunjuk pandai.
Antara adab bersembang juga, kita tidak memalukan sahabat kita dengan menzahirkan kepada mereka apa yang kita ketahui sedangkan mereka tidak memahaminya. Sabda nabi SAW,
"Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka."
(Hadis Riwayat Muslim)
Contohnya jikalau kita seorang pakar ekonomi dan berhadapan dengan seorang petani kampung, elakkan bercakap tentang kerja kita yang jauh di luar bidang mereka serta sukar difahami dengan mudah. Sebaik-baiknya, tunjukkanlah perhatian kepada mereka dan lebihkan mendengar daripada berkata-kata.
Seorang Tabi'in yang terkenal iaitu Imam Ata' bin Abi Rabah berkata, "Seorang pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi."
Khalid bin Safwan berkata, "Jikalau seseorang bercerita dan aku telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah mengetahuinya."
Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah diketahui.
3. Biarkan mereka menghabiskan ucapan.
Sekiranya kita musykil tentang sesuatu yang diperkatakan, hendaklah bersabar sehingga seseorang menghabiskan ucapannya. Kemudian, soallah dengan adab dan berhemah. Jangan memotong di tengah-tengah percakapan. Ia akan menghilangkan adab serta menimbulkan rasa tidak senang orang yang sedang bercakap. Melainkan ketika dalam kelas pengajian, kita boleh bertanya dan berbincang sekiranya guru mengizinkan.
Menurut Ibrahim bin al-Junaid, "Belajarlah cara mendengar yang baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara ciri pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu ketahui."

Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.
Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan ulama-ulama Islam. Kata pepatah Arab, "Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus."
Rujukan: Kitab Min Adabil Islam, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah
Nota : Artikel ini pernah dimuatkan dalam majalah Anis beberapa bulan yang lalu.

Biodata Penulis

Abdul Wahab Md Ali merupakan seorang editor syariah Majalah QA dan salah seorang kolumnis Majalah Anis.

Monday, 3 December 2012

MARHALAH SEBUAH PERJUANGAN


Mengambil keputusan menyusuri jalan dakwah penuh cabaran, bukan suatu keputusan yang datang dalam keadaan senda gurau untuk bermain-main dan mencuba-cuba. Kewajipan dakwah adalah satu hakikat dalam kehidupan seorang muslim, untuk mengislahkan manusia, dan juga menyeru manusia untuk kembali kepada Allah.
Sepertimana iman, dakwah seorang daei juga berada dalam marhalah (tingkatan) tertentu. Setiap daei mungkin menjalani marhalah-marhalah dakwah ini dalam kehidupannya, bergerak dari satu peringkat dakwah ke peringkat yang lebih tinggi. Senantiasa sang dae'I membaiki diri, metod dan pendekatan dakwahnya. Marhalah dakwah ini boleh kita ibaratkan seperti langkah-langkah kehidupan seorang bayi yang menjalani tumbesaran hidup dengan ceria dan kesungguhan.
Meniarap : Kecil-Kecilan
Mungkin seorang pendakwah itu bermula dengan dakwah secara kecil-kecilan. Menegur ala kadar apa yang tidak enak dimatanya. Mula menegur orang-orang yang dirasakan lebih lemah darinya seperti adik-adiknya sendiri, isterinya atau orang yang berada dibawahnya. Melalui teguran-teguran itulah, dia membina keyakinan untuk menapaki usaha dakwah ke peringkat lain.
Ibarat bayi yang baru mengenal dunia, begitulah dae'i yang baru mengerti kehidupan seorang pendakwah. Bermula dengan rendah diri, dengan wajah sentiasa tertiarap ke bawah. Masih berkira-kira layakkah aku menggalas beban ini sedangkan beban dosa menggunung tinggi. Meniarap sang daei adalah tanda kerendahan hati, namun meniarapnya dia bukan tanda kekalahan bahkan sebuah permualaan kepada sebuah kebangkitan.
Duduk : Meredah Medan Maya
Ada juga dari kita yang mula dengan berdakwah di medan maya. Lebih gemar menggunakan identiti –identiti 'anonymous' supaya tidak dikenali, maka kita mula menghasilkan artikel-artikel yang menyeru kepada kebaikan. Kita juga kerap menghantar bahan-bahan berfaedah melalui Email, Facebook, YM dan sebagainya.
Pernah sekali, masih teringat seorang sahabat yang setiap hari menghantar sepotong hadith atau ayat al-quran di YM, kalau tidak pun pesanan-pesanan lain. Jika berkesempatan saya membacanya, jika serabut cepat-cepat saya memadamkannya dan akan membacanya pada masa terluang.
Namun, begitulah usaha dakwah kita. Tidak susah sebenarnya untuk melakukan dakwah dalam bentuk ini. Tambahan pula fenomena Facebook dan YM sangat dekat di hati masyarakat dan anak muda. Maka kesempatan itu harus diambil sewajarnya. Duduk sahaja di hadapan laptop dan komputer, kerjanya memang mudah sekali. Namun tumbesaran sebagai dae'i tidak terhenti di sebalik kemudahan itu. Duduk seorang daei' memikirkan idea dan strategi, duduknya seorang daie, cuba menghurai masalah ummah. Duduknya cermat dengan akhlak dan budi.
Merangkak : ABC
Kemudian, ada juga dari kita yang sudah bersedia untuk bergerak ke peringkat yang lebih tinggi setelah lama selesa menguasai lapangan dakwah maya. Maka kita bergerak dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menyeru kepada kebaikan. Kita menggiatkan tamrin, program kerohanian, kem ibadah dan memperkasakan usrah. Usaha penganjuran aktiviti ini pastilah lebih susah kerana sudah pasti pelbagai cabaran perlu ditempuhi. Menganjurkan satu program bukanlah semudah ABC, namun memerlukan Azam, Bekalan (ilmu) dan Cekal dalam mengharungi setiap ujian yang mendatang. Ianya perlu jua kepada semangat yang sentiasa berkobar-kobar dalam sesuatu penganjuran yang ada. Barulah ianya sentiasa 'hidup' walaupun beribu rintangan yang menghalang.
Merangkak mungkin mengambil masa untuk sampai ke destinasinya, namun, di saat itulah kita mula melatih kesabaran diri, bekalan untuk menempuh sebuah perjuangan yang masih jauh. Merangkak menuju kepada sebuah cita-cita yang panjang, walau payah akan terus gagah.

Berdiri : Berorganisasi
Setelah itu, kita merasa sudah bersedia untuk bergerak ke medan yang lebih luas, maka kita mula bergiat aktif dalam medium-medium persatuan agar usaha dan kerja berorganisasi lebih teratur dalam mengembangkan dakwah. Bekerja secara organisasi memerlukan iltizam, toleransi dan semangat juang.
Namun, bekerja secara organisasi merupakan satu nikmat Allah yang tidak akan dirasai kecuali oleh mereka yang melaluinya. Melalu kerja-kerja organisasi kita mula mengasah bakat kepimpinan, kita mula lantang berbicara di hadapan audien, kita mula membawakan usrah dan memberi pengisian. Kita juga mula diberikan amanah berupa jawatan dan posisi, dan kita mula mentadbir organisasi. Kerja-kerja dakwah dan cabaran kian lama kian bertambah. Maka kesabaran dan kecekalan hati perlu lebih padu dan jitu dalam menghadapi mehnah-mehnah ini.
Tika berdiri, kita merasakan kita sudah tinggi, memandang ke bawah melihat orang lain masih duduk di bawah kita. Namun, sang dae'i perlu sentiasa berwaspada daripada sikap riya' dan meninggi diri, kerana itulah seburuk-buruk amal yang dilakukan oleh dae'i. Berdirinya seorang daei bukan kerana kemegahan, tetapi kerana keyakinan akan kemenangan sebuah perjuangan.
Berjalan : Turun Padang
Kemudian dakwah kita diteruskan dengan lapangan yang lebih mencabar. Kita mula turun ke medan dakwah sebenar bertemu dengan masyarakat. Kita mula berdakwah turun padang mendekati golongan-golongan yang perlu disentuh hatinya agar sentiasa menerima risalah Islam ini. Mulalah kita menerima hamburan dan caci maki golongan-golongan yang tidak sukakan dakwah kita. Saat kita mengetuk pintu rumah mereka, mereka mengunci dan melarikan diri. Saat kita cuba untuk memberikan sepatah dua perkataan yang baik, mereka mentulikan pendengaran. Namun, ramai juga yang terkesan dari usaha dakwah kita. Banyak masa dan pengorbanan yang perlu dilakukan untuk mengembangkan dakwah ini.
Berjalan melaungkan dakwah ini bukan mudah, kadangkala perjalanan itu meletihkan kita, maka kita duduk sebentar berehat menghela nafas, setelah segar kembali, sang dae'i kembali meneruskan sebuah perjalanan dakwahnya.
Berlari : Ma'ruf vs Mungkar
Kemudian, jika keazaman kita untuk hidup dan berjuang menegakkan agama Allah di jalan dakwah ini, maka kita akan menapaki marhalah seterusnya. Elemen dakwah itu terbahagi kepada dua bahagian besar dan sama pentingnya, ' Menyeru kepada kebaikan' dan ' Mencegah kemungkaran'. Firman Allah dalam menghuraikan 'Amal Makruf' amat jarang dipisahkan dengan 'Nahi Mungkar'.Seharusnya, kedua-dua ini berjalan seiringan.
Jika kita imbas metodologi dakwah kita sebelum ini, kita akan menyedari bahawa usaha dakwah kita lebih banyak tertumpu kepada usaha-usaha menyeru kepada kebaikan. Kita lebih selesa mengambil jalan dakwah yang mengajak manusia kepada kebaikan kerana kita merasakan cukuplah itu bahagian dakwah yang kita jalankan. Sedikit sekali usaha kita dalam mencegah kemungkaran. Kerana apa, kerana saatnya kita mula melakukan usaha dakwah mencegah kemungkaran, maka saat itulah kita akan ditentang dan diuji dengan pelbagai cabaran.

Dakwah Rasulullah di Makkah juga menghadapi Marhalah yang sama. Masyarakat Jahiliyah tidak menghalang Rasulullah untuk menyebarkan kebaikan, namun mereka mula terasa terancam dan bertindak balas melalui penentangan saat Rasulullah mencegah mereka dari kemungkaran menyembah berhala dan pelakuan-pelakuan jahiliyah yang keji.
Sebagai seorang Islam, kita adalah seorang pendakwah bukan secara pilihan tetapi ianya adalah ketetapan. Saat syahadah dilafazkan, maka tugasan menyampaikan dakwah adalah amanah kita. Sahabat Abu Dzar yang hanya beberapa kali bertemu Rasulullah, saat telah memeluk Islam, beliau terus kembali kepada kaumnya dan berjaya mengislamkan penduduk kampungnya. Begitulah juga peranannya kita. Saat berlari pasti jatuh dan tersadung kaki, namun sang dae'i pasti bangun kembali dengan senyum terukir dibibir tanda sebuah ketabahan hati. Tidak mudah mengalah pada mehnah dan cabaran yang membaluti sebuah perjuangan ini.
Marhalah Tertinggi?
Sudah kita menelusuri marhalah-marhalah dakwah ini, dihambat pula persoalan apakah peringkat dakwah yang paling tinggi?
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
"Sebaik-baik jihad adalah memperkatakan sesuatu yang benar dihadapan penguasa yang zalim " .
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Jihad dan dakwah yang disebutkan dalah hadith ini adalah tidak lain dan tidak bukan ialah 'jihad politik' sebab ini bertujuan untuk menjadikan system pemerintahan sebagai pemerintahan yang terbaik dan 'adil' ( Petikan Ustaz Sai'd Hawaa dalam buku Jundullah, Jihad Fi Sabilillah)
Walhal Nabi SAW ada menyebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim dan disahihkan oleh adz-Dzahaby, begitu juga al-Albani di dalam Silsilah ash-Shahihah. nombor 374, kata Nabi;
"Penghulu orang yang mati syahid ada dua. Yang pertama ialah Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib, dan yang kedua ialah seorang yang berdiri dan menegur di hadapan raja yang zalim, tiba-tiba dia dibunuh atas ucapannya itu."
"Penghulu orang yang mati syahid ada dua. Yang pertama ialah Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib, dan yang kedua ialah seorang yang berdiri dan menegur di hadapan raja yang zalim, tiba-tiba dia dibunuh atas ucapannya itu."
Maka, begitulah peringkat dan marhalah perjuangan kita sebagai seorang daei. Biar di mana pun kita berada, pastikan kita sentiasa memberikan ynag terbaik, dan keazaman untuk menjadi lebih baik sentiasa mendorong hati kita untuk mengejar kebaikan.
Walau dimana pun bayi itu berada, saat jatuh dia pasti bangun kembali, saat tersungkur pasti dia berdiri dengan megah walau tangis menjurai air mata buat seketika. Namun pasti dicubanya lagi. Itulah kita, Itulah Babysteps Sebuah Perjuangan seorang dae'i.
Wallahu Anta A'lam

Biodata Penulis
Mohd Redhuan Abdul Muin merupakan seorang pelajar tahun akhir perubatan di Ireland. seorang bapa dan suami yang ingin membawa keluarga bersama menuju Jannatul Firdaus. Berkongsi karya di www.ataphijau.com

Saturday, 1 December 2012


Maksud Hadis ‘Redha Allah Sebagai Tuhan, Islam Sebagai Deen, Muhammad Sebagai Rasul’

redha Allah sebagai Tuhan
















Imam Muslim meriwayatkan satu hadis bermaksud :
‘Seorang akan merasai manisnya iman apabila ia redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai deen dan Muhammad sebagai Rasul.’ 
Dari segi bahasa, apabila disebut: ‘radhitu bisyyai’ (Saya redha dengan sesuatu) ertinya memadai, mencukupi dan tidak mencari bersama sesuatu itu yang lain darinya. 
Oleh itu makna hadis ialah:  ’Seseorang itu tidak mencari selain Allah Taala, tidak menjalani satu jalan melainkan jalan Islam, tidak melalui melainkan  perkara yang selaras dengan syariat Muhammad SAW.’ 
Sesiapa yang mempunyai sifat-sifat ini, dia akan merasa lazatnya iman dalam dirinya. Al-Qadhi Iyad berkata: ‘Makna hadis ialah benar imannya, dirinya menjadi tenang, sebati dalam dirinya kerana redhanya dengan perkara-perkara yang disebut menjadi dalil benar makrifatnya, dalam pandangan mata hatinya dan bersebati sifat itu dalam hatinya, kerana mereka yang redha dengan satu perkara, mudahlah baginya mendapatkan apa yang ia ingini. 
Demikianlah seorang mukmin, apabila iman masuk ke dalam hati, mudahlah baginya untuk taatkan Allah Taala dan merasai lazat dengannya.’ Syarah hadis Muslim oleh Imam Nawawi j 2 ms 193.

- oleh Ustaz Nik Nasri A.Malek.

Wednesday, 28 November 2012



 

Biodata Rasulullah S.A.W


Biodata Nabi Muhammad S.A.W : 

Nama penuh: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
Nama datuk: Syaibah bin Hâsyim dikenal dengan nama ‘Abdul Muttalib

Bapa-bapa saudara:
• Al-Harith bin Abdul Muthalib
• Muqawwam bin Abdul Muthalib
• Zubair bin Abdul Muthalib
• Hamzah bin Abdul Muthalib
• Al-Abbas bin Abdul Muthalib
• Abu Thalib bin Abdul Muthalib
• Abu Lahab bin Abdul Muthalib
• Abdul Kaabah bin Abdul Muthalib
• Hijl bin Abdul Muthalib
• Dzirar bin Abdul Muthalib
• Ghaidaq bin Abdul Muthalib


Nama Ibu susuan Rasulullah:
- Ibu susuan pertama Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
- Ibu susuan kedua Halimah binti Abu Zuaib As-Sa‘diah (lebih dikenali Halimah As-Sa‘diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

Nama isteri pertama dan usia baginda berkahwin:
Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah pada 25 tahun

Nama isteri-isteri Rasulullah:
1. Khadijah bt. Khuwailid al-Asadiyah r.a
2. Saudah bt. Zam’ah al-Amiriyah al Quraisiyah r.a
3. Aisyah bt Abi Bakr r.a (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah bt. Umar bin al-Khattab r.a (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab
5. Ummu Salamah Hindun bt. Abi Umaiyah r.a (digelar Ummi Salamah)
6. Ummu Habibah Ramlah bt. Abi sufian r.a
7. Juwairiyah ( Barrah ) bt. Harith
8. Safiyah bt. Huyay
9. Zainab bt. Jansyin
10. Asma’ bt. al-Nu’man al-Kindiyah
11. Umrah bt. Yazid al-Kilabiyah
12. Zainab bin Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

Nama anak-anak Rasulullah:
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’
8. Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).[anak tiri Rasulullah]

Pengalaman bekerja Rasulullah:

* Semenjak kecil lagi, baginda telah menternak kambing dan berniaga membantu bapa saudaranya.
* Abu Talib telah membawa baginda ke Syam (Syria) bagi membantunya berniaga.
* Apabila baginda telah agak dewasa, baginda telah mula menjalankan perdagangan baginda sendiri secara kecil-kecilan dan menjalankan perniagaan dengan menggunakan modal orang lain kerana baginda sedar bapa saudaranya bukanlah terdiri daripada orang yang berada dan beliau terpaksa menyara sebuah keluarga yang besar.
* Ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, baginda telah pergi ke Syam untuk kali kedua bagi menjalankan perniagaan Sayidatina Khadijah. Bukti Rasulullah adalah seorang ketua keluarga yang patut dicontohi: Rasulullah merupakan seorang yang pengasih.
* Sebagai seorang suami, baginda sering membantu isteri menjalankan urusan rumah seperti memasak, menampal pakaian yang koyak, memmbersih rumah dan menjaga anak.
* Sebagai seorang bapa, baginda memberi pendidikan agama yang secukupnya dan menjadi seorang contoh yang baik kepada anak-anak.

Gelaran Al-Amin: Baginda merupakan seorang yang jujur, amanah dan budi pekerti. Perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai sehingga baginda diberi gelaran al-Amin oleh masyarakat Arab Quraisy.

Sifat-sifat terpuji Rasulullah:
- Berkata benar (siddiq)
- Boleh dipercayai (amanah)
- Penyampai ajaran Islam (tabliq)
- Bijaksana (fatanah)

kepimpinan Rasulullah disebalik peristiwa banjir di kota Mekah ketika Rasulullah berusia 35thn: Kota Mekah telah dilanda banjir kilat yang menyebabkan dinding kaabah pecah dan runtuh. Kaum Quraisy telah membina semula bahagian yang runtuh. Kemudian timbul perbalahan antara ketua kaum Quraisy yang berebut untuk mengangkat dan meletakkan Hajar Aswad di penjuru sebelah timur bangunan kaabah. Perbalahan ini hampir menimbulkan peperangan. Rasulullah telah menjadi hakim bagi menentukan kedudukan Hajar Aswad dan secara tidak langsung Rasulullah telah meleraikan perbalahan antara ketua kaum Quraisy.

Peristiwa Rasulullah menerima wahyu:
- Wahyu pertama diterima Rasulullah pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Ketika itu Rasulullah berusia 40 tahun.
- Wahyu tersebut diterima baginda di Gua Hirak al-Jabar Nur.
- Surah al-Alaq, wahyu pertama yang berbunyi “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. ”
- Wahyu kedua, surah al-Muddasir (ayat 1-7) diturunkan di Bukit Nur berhampiran Makkah.
- Wahyu kedua ini menandakan pelantikan baginda sebagai Rasulullah atau pesuruh Allah.

Tokoh-tokoh awal memeluk Islam:
• Zaid bin Harithah (anak angkat nabi)
• Ali bin Abu Talib (sepupu nabi berusia 10 tahun)
• Khadijah binti Khuwailid (isteri nabi dan orang pertama memeluk Islam)
• Abu Bakar al-Siddiq (sahabat karib)

wahyu pertama yg diterima oleh Rasulullah, masanya dan usia Rasulullah:
- Wahyu pertama iaitu dari surah al-Alaq yang berbunyi “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. ”
- pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Berusia 40 tahun.

Keadaan Rasulullah ketika menerima wahyu:
Pada suatu ketika sedang dia bertafakkur itu datanglah malaikat kepadanya, lalu berkata: “Bacalah!” (Iqra’). Lalu Rasulullah menjawab; “Saya tidak pandai membaca.” Lalu kata beliau: “Maka diambilnya aku dan dipagutnya sampai habis tenagaku. Kemudian dilepaskan¬nya aku dan dia berkata pula: “Bacalah!” Tetapi aku jawab: “Aku tidak pandai membaca!” Lalu dipagutnya pula aku sampai habis pula tenagaku.

Kemudian ditegakkannya aku baik-baik dan dikatakannya pula: “Bacalah!”, yang ketiga kali, lalu berkatalah malaikat itu: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menjadikan,” sampai kepada ujung “Yang telah mengajarkan kepada manusia apa yang dia tidak tahu.” Setelah sampai pada ujung ayat tersebut malaikat itu pun ghaiblah dan tinggallah beliau seorang diri dalam rasa kengerian.

Lalu beliau segera pulang kepada isterinya Khadijah. Lalu beliau berkata: “Selimutilah aku, selimutilah aku.” (Zammiluuni, zammiluuni). Maka segeralah orang-orang dalam rumah menyelimuti beliau, sampai rasa dingin itu hilang. Lalu berkatalah beliau kepada Khadijah: “Hai Khadijah, apakah yang telah terjadi atas diriku ini?” Lalu beliau ceriterakan segala yang telah beliau alami itu, akhirnya beliau berkata: “Aku ngeri atas diriku.”

Monday, 26 November 2012

MUHASABAH DIRI



Telah bersabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Ada empat perkara yang berharga dalam diri manusia dan dia boleh hilang dengan empat perkara juga. Adapun yang berharga itu ialah akal, agama, malu, dan amal soleh, maka:
  1. Akal boleh hilang disebabkan marah
  2. Agama boleh hilang disebabkan dengki
  3. Malu boleh hilang disebabkan tamak
  4. Amal soleh boleh hilang dan terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.
Manusia akan menghadapi empat penarikan:
  1. Malaikat pencabut nyawa akan menarik rohnya
  2. Para ahli waris akan menarik hartanya
  3. Ulat akan menarik tubuhnya
  4. Orang yang dimusuhi atau dianiayai akan menarik barang kepunyaannya di hari kiamat iaitu amalnya.”
Dari Ali r.a yang bermaksud:
“Sesungguhnya amalan yang paling sukar ada empat macam:
  1. Memberi maaf pada waktu marah
  2. Suka memberi pada waktu susah
  3. Menjauhi yang haram pada waktu sunyi
  4. Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.”
Dari Hatim al-Asom yang bermaksud:
“Empat perkara yang hanya diketahui oleh empat jenis orang akan nilainya iaitu:
  1. Nilai masa muda hanya diketahui oleh orang- orang tua
  2. Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah ditimpa bencana
  3. Nilai kesihatan hanya diketahui oleh orang- orang sakit
  4. Nilai kehidupan hanya diketahui oleh orang-orang yang telah mati.”
Pesan Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda:
“Peliharalah titah perintah Allah nescaya Dia akan memelihara engkau(sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati Dia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu memohon hendaklah kamu memohon pertolongan dari Allah.
Ketahuilah,
Seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan suatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan semuanya.”