Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Monday, 5 March 2012

MB KECEWA DASAR ISLAM DIEJEK

 

Oleh: NORHASRAM MOHAMAD 

KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana mengejek dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan Pas di negeri ini.

Beliau berkata, perbuatan itu memalukan kerana seluruh rakyat termasuk bukan Islam melihat bagaimana orang Melayu Islam menghina agama sendiri.

“Kenapa orang Melayu Islam datang ke sini (Kelantan) nak ejek dasar Islam? Saya malu kerana orang bukan Islam melihat perkara ini,” katanya ketika menyertai sesi penggulungan perbahasan titah Sultan Kelantan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, dasar Membangun Bersama Islam dengan menumpukan kepada ubudiyah, masuliyah dan itqan jelas bersumberkan al- Quran.

“Kita ambil semua itu daripada al-Quran bukan daripada mana-mana ideologi di dunia yang boleh diejek sesuka hati, kalau tolak al-Quran, tak jumpa jalan.

“Kita didik rakyat supaya apa sahaja yang kita lakukan mesti dengan taqwa kepada ALLAH SWT,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz meminta pelancong terutamanya dari luar negara agar menghormati tata susila ketika berkunjung ke negeri itu dengan tidak memakai pakaian yang menjolok mata.

”Ini tugas pihak berkuasa mengenai pelancongan agar memastikan suasana melancong di negeri ini berbeza berbanding negeri lain.

”Kalau di tempat mereka seperti di Eropah nak pakai apa pun tidak mengapa tetapi bila ke Kelantan ia sedikit berbeza dan mesti bersopan, berada di tempat awam mesti berbeza dengan di bilik air, mana bolah nak pakai pakaian sama,” katanya.

FITNAH TERKINI MEMBURUKKAN NEGERI KELANTAN

 

Cubaan jahat untuk memburukkan Kerajaan Negeri Kelantan sedang giat dilakukan di maya mahupun di media perdana.

Kedah: Salahudin menangis kegembiraan


Harakahdaily 

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Naib Presiden PAS,. Salahudin Ayub adalah orang yang paling gembira sekali mendengar penerimaan dua timbalan pesuruhjaya PAS Kedah terhadap keputusan PAS pusat.

Beliau yang mewakili PAS Pusat ke sana ke mari bagi menyelesaikan isu ini teresak-esak menangis kegembiraan ketika menelefon Harakahdaily.

"Benar ke berita Harakahdaily tu?" tanya Salahudin kepada Harakahdaily merujuk kepada berita bertajuk 'Exco: Phahrolrazi, Ismail akur keputusan PAS Pusat'.

Beliau terus menelefon Harakahdaily sebaik saja membaca berita yang sangat mengembirakan beliau itu.

Harakahdaily telah mengubungi kedua-dua timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu bertanya reaksi mereka terhadap keputusan PAS Pusat yang mengarahkan mereka kembali semula ke dalam barisan exco Kedah.

PAS Pusat mengarahkan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh kembali semula sebagai anggota exco negeri.

Arahan itu dibuat serentak dengan keputusan Datuk Seri Azizan Razak akan kekal sebagai MB manakala PAS Pusat membentuk Jawatankuasa Pemandu untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

Phalrolrazi dan Dr Ismail memaklumkan, mereka berdua menerima keputusan PAS Pusat itu.

Sebaik sahaja mereka membuat sidang media di rumah Datuk Ir Phalrolrazi Zawawi jam 5 petang, Harakahdaily menyiarkan keputusan yang terlebih dahulu dimaklumkan kepada Harakahdaily itu.

"Saya mengeluarkan air mata gembira membaca berita ini," kata Salahudin teresak-esak ketika menghubungi Harakahdaily.

Beliau mengucap ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menyelesaikan kemelut ini terutama sekali pimpinan PAS Kedah dan Pusat.

"Saya berbangga dengan anda semua terutama semangat sayangkan jamaah," kata Salahudin.

Sunday, 4 March 2012

PROJEK MENARA SUDAH SIAP, TUNGGU KREN SAHAJA.

4 Mac 2012 Ahad jam 9 pagi hingga 4 petang kerja-kerja finishing dilakukan sebelum kerangka menara dipasang.

Terlalu panas sangat...welder perlu pertolongan. maklumlah belum makan lagi ni... jam sudah 3 petang. Rehat sekejap kerana solat zohor. Sayang nak tinggal kerja yang belum siap.


Tapak utama yang sudah siap sepenuhnya.

Kisah Yang Boleh Menginspirasikan Para Pendakwah


Oleh: al-bahanj

"Seorang Sheikh telah mendapat jemputan ceramah agama dari sebuah perkampungan yang letaknya sejauh 400km.Untuk tidak menghampakan penganjur dan penduduk setempat, maka Sheikh tersebut pun bersetuju untuk datang ke perkampungan itu.  Sampai sahaja di perkampungan tersebut, beliau telah disambut oleh seorang lelaki yang merupakan penganjur kepada program ceramah yang diadakan.  Si Sheikh agak terkejut dengan penampilan lelaki itu.  Bukan sahaja pakaiannya tidak sesuai dengan majlis ilmu, malah tangannya pula asyik memegang puntung rokok yang berasap.
Si Sheikh dapat mengagak latar belakang penduduk perkampungan itu dengan melihat kepada peribadi lelaki penganjur itu.  Jika si penganjur majlis agama pun sudah macam itu, tentu agaknya penduduk lain lebih kurang macam itu atau lebih teruk lagi.

Betullah anggapan si Sheikh itu.  Tidak sampai 15 minit ceramah disampaikan, penduduk yang hadir dalam majlis ilmu tersebut mula bercakap sesama sendiri.  Ada yang tidur.  Ada yang keluar dan masuk.  Dan malah ada yang mula menghisap rokok.  Situasi ini amat tidak menyenangkan si Sheikh itu.  Sudahlah datang dengan memandu sejauh 400km untuk memberi ceramah, begini pula layanan para penduduk kepada beliau.  

Selesai ceramah, si Sheikh pun pulang dengan sedikit hampa.  Dalam hatinya berkata, “selepas ini memang aku tak datang dah ke sini…”

Setahun berlalu.

Tiba-tiba si Sheikh itu menerima panggilan dari seorang lelaki untuk menjemput beliau untuk memberi ceramah.  Suara dan gaya percakapan lelaki tersebut dapat dicam oleh si Sheikh itu.  Lelaki yang sama yang menjemput beliau ke perkampungan yang terletak 400km itu.  Sheikh tersebut masih ingat.

Walaupun Sheikh itu telah mengatakan bahawa beliau tidak akan lagi ke kampung itu kerana terlalu jauh, namun jauh di sudut hatinya mengharapkan ada perubahan selepas setahun berlalu.  Si Sheikh itu pun bersetuju untuk hadir memenuhi jemputan ceramah agama tersebut.

Sampai sahaja di kampung itu selepas pemanduan sejauh 400km, lalu Sheikh itu disambut oleh lelaki yang menelefon beliau dengan mesra.  Rupa-rupanya lelaki tersebut masih tidak berubah.  Masih dengan penampilan seperti setahun yang lalu dan juga dengan rokok di tangannya.  Si Sheikh menguatkan semangat beliau untuk memberikan ceramah.

Selepas 20 minit ceramah, perkara yang sama berlaku.  Iaitu ada bercakap sana-sini.  Ada yang tidur.  Ada yang mundar-mandir di dalam majlis ilmu dan ada juga yang menghisap rokok.  Tidak berubah dari tahun yang lalu.  Si Sheikh berasa sedikit kecewa namun ceramah tetap diteruskan demi untuk menyampaikan dakwah.

Seperti biasa, selepas ceramah lalu diadakan sesi soal-jawab.  Hanya 3 soalan diajukan.  Ini menggambarkan betapa tidak berminatnya penduduk tersebut dengan majlis ilmu yang beliau telah sampaikan.  Mengikut kebiasaan, biasanya di mana-mana pun beliau berceramah, banyak soalan diajukan dan ia menandakan betapa seronoknya pendengar dengan majlis ilmu.  Tetapi di sini hanya 3 sahaja.

Walaupun agak kecewa dengan layanan penduduk terhadap beliau yang datang dari jauh, namun setelah membaca salah satu surat dari pendengar yang mengajukan soalan, kekecewaan beliau terubat.  Beliau kembali semakin bersemangat dan tersenyum.  Kandungan surat itu berbunyi:

“Sheikh, demi ALLAH, saya tidak pernah meninggalkan walau satu hari pun solat sunnat Witir sejak setahun lepas selepas saya mendengar Sheikh menceritakan tentang solat Witir dalam ceramah yang tuan Sheikh sampaikan tahun lalu.”

ALLAHU AKBAR!

Rupa-rupanya ada juga insan yang mengambil manfaat atas apa yang beliau telah sampaikan.  Walaupun persoalan solat sunnat Witir itu cuma salah satu daripada banyak perkara yang beliau telah sentuh dalam ceramah, tetapi apabila mendapat tahu bahawa ada orang mengamalkannya asbab dari ceramah tersebut, malah orang itu istiqamah pula, ia cukup menggembirakan Sheikh tersebut.

Selepas peristiwa itu, si Sheikh cuba untuk membuangkan perasaan kecewa atau hampa akibat dari layanan para pendengarnya.  Mengingati peristiwa tersebut membuatkan beliau sentiasa bersemangat untuk menyampaikan dakwah walau sejauh mana pun tempat itu dan bagaimana pun layanan masyarakat setempat.

Ternyata, dalam ramai-ramai orang kampung itu, walaupun majoriti tidak memberikan perhatian, namun di sana tentu ada orang yang menyambut seruan dakwah.  Kalau tidak ramai, seorang pun sudah cukup.  Memang suatu yang menggembirakan buat pendakwah jika mengetahui apa yang disampaikannya diamalkan oleh para pendengar yang hadir.

Tuan/puan sekalian yang dirahmati ALLAH sekalian,

Kisah di atas cuma secuit contoh dari masyarakat yang boleh diambil iktibar dan pengajaran.  Sudah tentulah kisah-kisah besar dari para Nabi, Rasul dan para pejuang yang memperjuangkan agama ALLAH sentiasa menjadi pedoman ampuh buat kita semua dalam terus bersemangat mencari redha ALLAH melalui usaha dakwah.

Dan hadith dari Abu Mas`ud `Uqbah bin `Amr al-Ansori al-Badri radhiAllahu `anhu ini sentiasa menjadi motivasi dan inspirasi besar buat para pendakwah untuk terus menyampaikan dakwah, iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:

“Barangsiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya” 

(HR Muslim)

Dan jika tiada langsung yang menyahut seruan dakwahmu wahai pendakwah, jangan bersedih dan layu semangat, kerana ALLAH sentiasa melihat usahamu dan pasti akan membalasinya.

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Maksudnya:  ”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.”  

(Surah al-Zalzalah, ayat ke-7.)

Kebaikan dari sisi ALLAH buat penyeru kebaikan dan pendakwah pasti ada walau zahirnya nampak seperti gagal atau tidak berhasil.

Peranan pendakwah adalah terus menyampaikan seruan-seruan kebaikan.  Adapun tentang perubahan yang bakal terjadi kepada orang yang didakwah itu serahkan sahaja pada ALLAH.  Terpulang kepada ALLAH.  DIA lah memberikan hidayah dan taufiq kepada hamba-hambaNYA.

Sebagaimana kisah di atas telah memberi inspirasi buat saya, saya berharap kisah ini bermanfaat juga buat tuan/puan yang membacanya, khususnya buat para pendakwah.  Dan kena ingat, kita semua adalah pendakwah.

Sekadar menyampaikan,

Shahmuzir Nordzahir

Panas! Gadis Melayu bangga mabuk minum arak!


SALAH seorang sahabat pembaca MiLo SuaM meminta ReJaM© menyiarkan sekeping gambar yang dimuat naik di Facebook. Difahamkan gambar ini memaparkan seorang gadis Melayu dengan sebotol arak jenama terkenal Jack Daniel (betulkan jika silap).

Gadis ini dipercayai baru berusia 17 tahun, tidak diketahui asal usul dan agamanya. Apa yang jelas dia berbangsa Melayu dan kelihatan bangga apabila menyambut hari jadinya dengan cara mabuk bersama rakan-rakan lelaki di salah sebuah hotel.

Tambah memeranjatkan, dia tidak tahu bahawa arak itu ibu segala maksiat, sambil mendakwa dirinya hanya mabuk tanpa melakukan sebarang maksiat. Berderau jantung melihatkan sampai begini sekali keruntuhan akhlak remaja hari ini.

Inilah salah satu tanda akhir zaman, apabila ramai orang menunjuk-nunjuk malah bangga dengan perbuatan maksiat yang dilakukan. Semoga dijadikan iktibar kepada anda di luar sana. Barangkali di luar pengetahuan kita, lebih banyak perkara yang lebih dahsyat dari ini.

ReJaM© " Melayu tidak semestinya Islam..."



Hakim, Nenek Dan Ubi Kayu


Oleh: blalang

Sangat mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu.


Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain.

Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu.

”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp 1 juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda harus masuk penjara 2.5 tahun, seperti tuntutan undang-undang”.

Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang Rp 1 juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah.

‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp 50 ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya.

“Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh”

sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp 3.5 juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang termasuk wang Rp 50 ribu yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya.

Kisah ini sungguh menarik dan boleh di share untuk menjadi contoh kepada penegak undang-undang di Malaysia agar bekerja menggunakan hati nurani dan mencontohi hakim Marzuki yang berhati mulia ini.