Untuk Sumbangan No. Akaun Bank Islam : 130-260-1004-2403

Thursday 27 June 2013

10 Pintu Syaitan dalam Diri Manusia

Mengikut ulama', syaitan akan menguasai tubuh manusia melalui 10 pintu iaitu:
1- Melalui sifat SOMBONG dan ANGKUH. Dua sifat ini mudah tersemai dan subur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada sifat manusia yang ego dan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.
2- Melalui sifat BAKHIL dan KEDEKUT. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah. Ia seharusnya dibelanjakan ke jalan yang benar dan fisabilillah (di jalan Allah).
3- Melalui sifat TAKABBUR dan BONGKAK. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan bahawa dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidupnya. Mereka lupa bahawa kesenangan dan kemewahan serta nikmat yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. Allah berfirman yang bermaksud
"Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur."
-Surah an-Nahl. ayat 23-

4- Melalui sifat KHIANAT. Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya. Manusia yang melanggari peraturan Allah juga dikira mengkhianati, malah igu merupakan khianat yang sangat besar.
5- Melalui sifat TIDAK SUKA MENERIMA ILMU DAN NASIHAT. Nabi Muhammad S.A.W sentiasa menasihati sahabat-sahabat baginda agar menjauhi sifat ini melalui hadis baginda :
Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w , sabdanya yang bermaksud,

"Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang      mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi       (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan  binasa." (Al-Bazzar)
6- Melalui sifat HASAD. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah S.A.W pernah bersabda bermaksud;
"Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu seperti api yang memakan kayu yang kering"
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
7- Melalui sifat SUKA MEREMEHKAN ORANG LAIN. Sifat ego manusia akan selalunya lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah beriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda bermaksud;
"Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah ORANG TUA, ORANG YANG BERILMU  dan IMAM(PEMIMPIN) YANG ADIL.
(Riwayat Muslim)
8- Melalui sifat UJUB atau BANGGA DIRI. Menurut Imam Ahmad, Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud;
"Jangan kamu bersenang-lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja."
( Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
9- Melalui sifat SUKA BERANGAN-ANGAN. Islam agama yang menentang sifat malas. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.
10- Melalui sifat BURUK SANGKA. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dahulu amat dicela oleh Islam. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
"Nanti akan ada seseorang yang berkata kepada oarang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah yang sebenarnya rosak dirinya."
( Riwayat Muslim)
Jadi InsyaAllah, marilah kita sama-sama merenung diri kita sekiranya kita mempunyai mana-mana sifat-sifat di atas. Dan InsyaAllah, bersama-samalah kita mengatasi dan menukar sifat-sifat mazmumah dalam diri kepada sifat-sifat mahmudah....
Sebar-sebarkan dan selamat beramal :D
Wallahu'alam.

Tuesday 18 June 2013

Tazkirah Pendek : Syurga



Setiap insan tentunya mendambakan kenikmatan yang paling tinggi dan abadi. Kenikmatan itu adalah Syurga. Dalam Al Qur'an banyak sekali ayat-ayat yang menggambarkan kenikmatan-kenikmatan Syurga.
"(Apakah) perumpamaan (penghuni) Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamr (arak) yang lazat rasanya bagi peminumnya, dan sungai-sungai dari madu yang disaring dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka sama dengan orang yang kekal dalam neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong-motong ususnya?" (Muhammad : 15)

Di samping mendapatkan kenikmatan-kenikmatan tersebut, orang-orang yang beriman kepada Allah SWT kelak akan mendapatkan pendamping (isteri) dari bidadari-bidadari Syurga nan rupawan yang banyak dikisahkan dalam ayat-ayat Al Qur'an yang mulia, di antaranya :
"Dan (di dalam Syurga itu) ada bidadari-bidadari yang bermata jeli laksana mutiara yang tersimpan baik." (Al Waqiah : 22-23)
"Dan di dalam Syurga-Syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan, menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni Syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin." (Ar Rahman : 56)
"Seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan." (Ar Rahman : 58)
"Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan penuh cinta lagi sebaya umurnya." (Al Waqiah : 35-37)
Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam menggambarkan keutamaan-keutamaan wanita penduduk Syurga dalam sabda beliau :
" ... seandainya salah seorang wanita penduduk Syurga menengok penduduk bumi niscaya dia akan menyinari antara keduanya (penduduk Surga dan penduduk bumi) dan akan memenuhinya bau wangi-wangian. Dan setengah dari kerudung wanita Syurga yang ada di kepalanya itu lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari dari Anas bin Malik radliyallahu 'anhu)
Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda :
Sesungguhnya isteri-isteri penduduk Syurga akan memanggil suami-suami mereka dengan suara yang merdu yang tidak pernah didengarkan oleh seorangpun. Di antara yang didendangkan oleh mereka : "Kami adalah wanita-wanita pilihan yang terbaik. Isteri-isteri kaum yang termulia. Mereka memandang dengan mata yang menyejukkan." Dan mereka juga mendendangkan : "Kami adalah wanita-wanita yang kekal, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita yang aman, tidak akan takut. Kami adalah wanita-wanita yang tinggal, tidak akan pergi." (Shahih Al Jami' nombor 1557)

Saturday 1 June 2013

KEMBALI KEPADA TUJUAN KITA DICIPTAKAN



“Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada-Ku”
                                                                                                            Surah az-dzariyat: 56

Para remaja yang soleh dan solehah sekalian,
Lihatlah mentari yang mula naik di ufuk timur pada waktu pagi dan dan menghilang di ufuk barat pada waktu senja. Perhatikan pucuk-pucuk muda yang segar selepas hujan dan daun-daun kering yang berguguran. Renungi burung yang berterbangan, air yang mengalir dan gunung yang menunjangi bumi dengan kukuhnya. Semua itu ada pengajaran untuk diambil. Semua itu ada hikmah dan tujuan yang ditentukan Allah pada  kejadiannya. Bagaimanakah pula tentang kejadian kita yang menjadi khalifah di bumi ini?

Persoalan pokok tentang kejadian manusia mungkin pernah kalian fikirkan. Kalian tertanya-tanya mengapa Allah jadikan kita dan atas tujuan apa Allah jadikan manusia. Mungkin selama ini kita sibuk sehingga tidak berkesempatan untuk mencari jawapannya. Kita hanya menghabiskan masa dengan  kerja buat  yang dipandu oleh matlamat kita sendiri.

Para remaja yang dikasihi lagi disayangi sekalian,
Ayat di atas dari surah azd-dzariyat menjadi jawapannya wahai anak-anak remajaku. Maknanya cukup jelas dan mudah difahami. Itulah sebenarnya Allah menjadikan kita dan manusia seluruhnya. Kita diciptakan bukan untuk sesuatu tujuan yang tidak pasti. Kita juga tidak diciptakan untuk sibuk dengan urusan sendiri. Apalagi kalau kita tenggelam dalam keseronokan dunia yang penuh dengan hiburan dan tipudaya yang melalaikan. Itu sangat jauh menyimpang daripada tujuan Allah menjadikan kita. Itu kesesatan namanya.

Wahai remaja yang dirahmati semua,
Adakah kalian sedang bernafas atas landasan dan tujuan kalian diciptakan? Apakah ertinya beribadat seperti yang dimaksudkan Allah dalam surah di atas? Ibadat itu luas maksudnya wahai anak-anak remajaku. Ibadat bermakna mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Beribadat bererti kita menjadi hamba dan memperhambakan diri kepada Yang Maha Pencipta. Solat, puasa dan berzikir adalah ibadat. Belajar dan bekerja untuk Islam juga ibadat. Tidur juga ibadat. Malah tidak melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah juga dinamakan ibadat. Semuanya menjadi ibadat apabila dilakukan mengikut syariat dan peraturan Allah. Semuanya menjadi ibadat apabila dilakukan kerana Allah.

Anak-anak remajaku berada pada jalan yang benar sekiranya kalian melakukan aktiviti dan rutin kehidupan selaras dengan kehendak agama. Kalian menepati tujuan diciptakan seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam ayat suci di atas. Kalau anak-anakku berada di jalan yang bertentangan dengan perintah Allah , ayahanda menyeru kalian membetulkan semula langkah di bumi yang bersifat sementara ini.  Tinggalkanlah amalan yang melalaikan diri kalian  daripada mengingati dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Ingatlah bahawa sesiapa yang gagal melakukan pengabdian diri kepada Ilahi bererti dia gagal menepati tujuan Allah menciptanya. Sudah pasti balasan yang amat menakutkan menanti manusia yang menyimpang hidupnya daripada landasan agama. Ayahanda yakin pesanan ini dapat menjadi renungan kalian. Ayahanda doakan keselamatan dan kesejahteraan untuk kalian wahai permata hati.

                        Buluh perindu tumbuh di hutan,
                                    Dibuat serunai merdu sekali;
                        Taat beribadat kepada Tuhan,

                                    Baru menjadi hamba sejati.